Insan & Komuniti 08 Jul, 2023

Sembang-Sembang| Video| Wanita desa bersemangat kental! Gigih cari rezeki! Positif, reda dan tawakal!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Jauh berjalan luas pengalaman. Banyak pengajaran yang dikutip. Tak perlu pergi luar negara dalam negara pun banyak kisahnya. 

Itu yang saya peroleh dalam misi masuk kampung sedekah telekung baru-baru baru ini. 

Kagum saya melihat semangat wanita desa yang gigih bekerja dan berusaha membantu meningkatkan rezeki keluarga. 

Tanpa mengeluh, tidak merungut malah ceria mercerita sambil menyapu peluh pada muka yang kepanasan disambar asap kuali . 

Sepanjang jalan ke Pokok Sena melalui Kampung Bukit Payung, Mukim Bukit Lada saya menyaksikan betapa kerajinan mereka sangat luar biasa. 

Di tengah mentari yang terik masing masing sibuk menggoreng jualan. Ada pisang dan ubi kayu keledek goreng. Ada karipap, kuih bijan, keropok likur dan pelbagai makanan ringan lain. 

"Saya berniaga pisang goreng dan kuih muih sejak berhenti bekerja lebih kurang 5 tahun lalu kerana hendak fokus pada keluarga. 

"Anak-anak sedang membesar ketika itu. Saya melihat pelajaran mereka juga baik. Lalu saya dan suami nekad untuk buat berniaga kecil kecilan di hadapan rumah bagi menampung hidup kami sekeluarga," kata Yati semasa ditemui. 

Pengorbanannya tak sia-sia kerana dua orang anak perempuannya kini berada di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 



Berlainan pula dengan empat sahabat yang hanya mahu dikenali sebagai Na, Rozie, Asma dan Angah yang berganding bahu menjual makanan ringan seperti hotdog, kentang goreng, nugget dan minuman botol dan air kelapa. 

"Saya nak bersalin tak lama lagi jadi mereka inilah yang akan mengambil alih perniagaan kecil saya ini," kata Nayang mengusahakan perniagaan ini untuk mencari rezeki yang dikongsi dengan tiga sahabatnya itu. 

Begitu juga dengan sekumpulan wanita yang ceria bercerita tentang usaha mereka berniaga di gerai tepi jalan setiap hari tanpa mengira panas terik atau hujan lebat. 

Mereka ada alasan sendiri kenapa berbuat demikian. 

"Hidup di kampung mesti rajin. Kalau malas alamat dapur tak berasap la jawabnya," kata salah seorang dari mereka yang hanya mahu dipanggil Ana. 

Semangat setia kawan sesama mereka sangat menyerlah. Sambil menggoreng bergurau senda dan bergelak ketawa. 

Sementara Rafeah Said pula menjual mihun sup, laksa, rojak buah, dan minuman dii tepi jalan berhampiran rumahnya.

"Hidup di kampung mesti rajin. Jika tidak 

berusaha alamat rezeki tak masuk. Alhamdulillah hasil jualan banyak membantu menambah pendapatan keluarga saya," katanya. 



Terfikir saya sejenak. 

Suasana yang jarang kelihatan di bandar di mana wanita berkerjaya 

berehat dengan selesa di bangunan tinggi sambil memasang pendingin hawa dengan kemudahan lengkap serba moden. 

Sedangkan mereka ini hanya duduk di bawah khemah kecil, meja kerusi terhad serta peralatan memasak yang sederhana. 

Yang penting rezeki perlu dicari. Hujan panas tetap diredah demi rezeki. 

Begitulah aturan Allah. Hidup dan rezeki berbeza-beza. Terserah pada diri sendiri memilih

Allah buka jalan selebihnya usaha kita. Kita buat kita dapat. 

Begitu juga dengan kelangsungan hidup wanita-wanita hebat yang menyentuh hati saya ini. 

Pertemuan dengan mereka tidak dirancang. Saya melaksanakan amanah menyampaikan telekung kepada mereka hasil sedekah saudara dan sahabat melalui projek amal saya masuk kampung sedekah telekung. 

Semuanya dipermudah. Bukan setakat silaturahim terjalin malah saya juga belajar tentang kenapa Allah temukan saya dengan mereka. 

Walau di negeri kecil yang sederhana, saya bangga jadi orang Kedah. Jelapang padi Malaysia yang menyimpan rahsia semangat kental kaum wanitanya dan kisah unik sejarah Mahsuri. 

Sesungguhnya wanita atau perempuan sebenarnya insan pilihan Allah yang unik dan cantik fitrahnya. Insan mulia dan diangkat darjatnya oleh Allah SWT. 

Doa saya buat mereka semua. 

Semoga Allah permudahkan urusan kalian murahkan rezeki dan diberi keafiatan berterusan untuk membahagiakan diri sendiri dan keluarga. Amin!! - KitaReporters


10
13
0
13
0
You will be interested