Insan & Komuniti 01 Jul, 2025

Opah Ngomel| Video| Pengakhiran hidup seorang wartawan! Sebatang kara jadi jaga untuk terus hidup!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Grup Editor Majalah IBUBAPA. Emel: kartini.mdnoor63@gmail.com

Share this

.



"SAYA sebenarnya dah tulis panjang kemudian tak save (simpan), tulis lagi.... Tapi saya nak kongsikan cerita tentang kenangan seorang wartawan Utusan yang dulu kerja di London dan pernah temu ramah bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher tetapi pada akhir hayatnya, hidupnya dalam keadaan lara dan mati bersendirian.

"Daripada seorang wartawan yang pernah berada di persada antarabangsa, orang tu akhirnya terpaksa menjadi pengawal keselamatan @ jaga (security guard) selepas duit simpananya habis digunakan untuk membiayai rawatan kansernya yang sudah berada pada tahap empat.

Bekas wartawan itu ialah Mohd Sidek Salleh, 68, meninggal dunia akibat kanser pada 19 Oktober 2024."


Allahyarham Sidek Salleh yang menerima bantuan Tabung Kasih @ HAWANA


Orang yang berkongsi kisah itu adalah bekas wartawan Utusan, Syahril A. Kadir yang dulu kerja di meja jenayah. Wartawan meja jenayah ini selalunya dikenali sebagai  orang yang "kering hati" kerana sepanjang tugasan dia kena bergelumang kes kematian termasuk mangsa  bunuh, kemalangan jalan raya dan mangsa penderaan yang boleh meninggalkan trauma.

Syahril menjadi pembicara pada Forum Kenangan Utusan Melayu yang berlangsung di Tirai Ratu, Pusat Beli-Belah Subang Parade pada Sabtu 28 Jun 2025. Sambil bercerita air mata mengalir laju di pipinya, tanpa dipaksa-paksa.

Memulakan kenangan itu, Syahril memberitahu dia bertemu seorang India yang menceritakan dia ada kawan, seorang "jaga" yang mengaku jadi wartawan dan pernah menemu duga bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thachter (gambar bawah). 

Orang India itu dia tidak percaya cerita itu dan meminta Syahril pergi bertemu rakan yang "menipunya".  


British Prime Minister Margaret Thatcher

Margaret Hilda Thatcher menjadi Perdana Menteri Britain dari 1979 hingga 1990.



Setibanya di tempat kerja lelaki itu bertugas pada syif petang di Jalan Pasar, terkejutlah Syahril kerana orang itu adalah wartawan Utusan yang pernah menjadi wakil biro akhbar itu berpejabat di Kota London dan bila pulang ke Malaysia pernah menjadi Ketua Biro Utusan Perak.

Syahril memberitahu arwah Sidek itu adalah orang pertama yang menyambutnya ketika melaporkan diri untuk bekerja di Utusan. Selepas 20 tahun bertemu kembali, arwah  sudah tua, bersendirian, menghidap kanser tahap empat.

Katanya keadaan rumah arwah Sidek yang hidup membujang itu seperti stor besi buruk dan kereta Proton Saga yang dipandunya tidak ada rupa kereta kerana terlalu buruk sangat. 

Alangkah sedihnya apabila arwah mahu menjual barangan termasuk pinggan mangkuk yang dibeli ketika bertugas di London bagi menampung  kos rawatannya.

"Saya kemudian bertemu Datuk Zaini pemilik (portal) BebasNew dan mendapat bantuan bagi meringankan kos rawatan. Abang Sidek meninggal dunia tahun lalu (2024)," katanya sambil digenangi air mata yang mengalir laju pada pipinya.


Muhammad Basir Abu Bakar


Bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia akibat ...


Syahril turut mengenangkan betapa hebatnya dapat mengenali rakan setugas iaitu pasangan wartawan dan jurufoto, Muhammad Basir Abu Bakar serta Isterinya, Nor Azlina Jaafar (gambar-gambar atas) yang bertungkus-lumus berusaha mencari bantuan untuk menolong kawan-kawan mereka dalam kesusahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), padahal mereka juga dalam kesulitan akibat kehilangan kerja selepas penggulungan Kumpulan Utusan pada 2019.

Wabak Covid-19 melanda seluruh dunia termasuk negara ini pada 2020.  

Muhammad Basir meninggal dunia pada 15 Februari 2025, di Hospital Serdang akibat masalah kesihatan kronik manakala Nor Azlina meninggal dunia pada 17 Oktober 2023. 

"Kita bernasib baiklah jika meninggal dunia, Utusan menyiarkan berita dalam dua tiga para," katanya.

Katanya lagi, ketika ramai wartawan ditawarkan untuk meninggalkan Utusan dengan gaji lumayan, tetapi mereka (Basir dan Azlina) tidak sanggup sebab jiwa mereka sudah sebati dan sayang yang mendalam kepada Utusan. Malah gaji lumayan bukan lagi daya penarik," jelas beliau.


Syahril A Kadir dengan Ainol Amriz Ismail (kanan)


Syahril turut menceritakan betapa hebat ujian yang dilalui Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Ainol Amriz Ismail Ismail yang pernah diserang penyakit strok serta terlibat dalam kemalangan jalan raya dan patah kaki. Namun cabaran itu tidak melemahkan beliau malah bangkit kembali sehingga kini diberi tanggungjawab di MPI.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad secara rasminya menggulungkan operasinya pada 9 Oktober 2019, selepas lebih 80 tahun diterbitkan. 

Ia merupakan sebuah syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Utusan Melayu Press Limited ketika ditubuhkan di Singapura pada tahun 1938. Pada tahun 1967, syarikat ini diperbadankan sebagai sebuah syarikat awam berhad di bawah Akta Syarikat. - KitaReporters



Forum Kenangan Utusan Melayu.... Tetamu dan bekas wartawan Utusan yang datang berkongsi pengalaman pahit manis

13
26
0
14
0
You will be interested