
Anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal diberi layanan VVIP dan dihidangkan makanan berbuka puasa dalam talam.
DALAM Islam, menggembirakan anak-anak yatim dianggap amalan paling mulia malah Allah menjanjikan ganjaran besar bagi mereka yang bersusah payah membantu golongan itu selain asnaf dan ibu tunggal.
Amalan memuliakan anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal bukan hanya mendatangkan manfaat untuk mereka yang menerima bantuan, tetapi juga membuka pintu kebahagiaan dan keberkatan bagi kita yang memberi.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku dan penjaga anak yatim akan bersama-sama di syurga seperti ini,” sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah yang tidak terpisah.
Bendahari merangkap Biro Penggerak Pertubuhan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), Ustazah Norhayati Sulaiman, berkata sempena
Majlis Iftar Misi Amal di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi, Selangor pertubuhan itu meraikan 85 tetamu VVIP terdiri dari anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal.

Ustazah Norhayati Sulaiman
Beliau berkata, malam itu mereka adalah "raja" dan mesyuarat bersetuju memberi layanan sebaik mungkin dengan sajian secara hidangan bagi setiap keluarga berbanding 22 AJK termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi Misi Amal yang perlu mengambil makanan sendiri.
"Kami mahu mereka merasakan dihargai, bukan sekadar hadir untuk berbuka puasa atau menerima sumbangan tapi menjadi tetamu istimewa yang layak dilayan seperti "raja" walaupun majlis itu diadakan setahun sekali.
"Anak yatim tidak sama seperti anak-anak lain yang mempunyai ibu bapa kerana mereka sering menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kehilangan kasih sayang dan keperluan asas. Justeru, kita bertanggungjawab membantu mereka memenuhi keperluan harian seperti pendidikan, pemakanan, dan perubatan," katanya.
Menurutnya, anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal itu dikumpulkan dari sekitar Sungai Ramal Dalam, Desa Putra dan Hulu Langat.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal), Tina Wardi (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang ibu tunggal.
Program Iftar itu berjalan lancar dan mendapat kerjasama semua ahli termasuk penaja yang memberi sumbangan bagi memeriahkan acara tahunan itu.
"Program Iftar ini diadakan setiap tahun, seminggu sebelum Aidilfitri. Memang meriah dan seronok dapat melakukan program ini, sambil berbuka puasa, kami menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang.
"Alhamdulillah, majlis sebegini dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini terutama menjelang Syawal yang bakal tiba," katanya lagi.
Sempena iftar bersama anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf, Misi Amal turut memberi sumbangan kotak rezeki yang mengandungi barangan mentah seperti beras, telur, ayam sejuk beku, tepung, minyak masak dan gula.
Tetamu VVIP turut menikmati aiskrim selain duit raya yang ternyata memberi kegembiraan berganda kepada golongan terbabit.

Penasihat Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Ustaz Mohamad Raffe melayan sebahagian anak-anak yatim dan asnaf selepas majlis berbuka puasa.
"Saya mewakili pertubuhan Misi Amal berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini memberi senyuman kepada mereka pada bulan mulia ini.
"Insya-Allah, program Iftar ini akan menjadi acara tahunan sempena Ramadan dan sebagai tanda penghargaan kepada golongan yang memerlukan.
"Semoga Iftar ini menggembirakan anak-anak yatim dan asnaf kerana tiada keseronokan kami selain melihat mereka tersenyum, ketawa dan mengucapkan terima kasih. Kami berdoa mereka menjadi anak-anak yang soleh, berjaya dunia akhirat," katanya.
Mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, katanya Misi Amal memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan setiap minggu, antaranya menyantuni 16 keluarga di Kampung Sg Jai, Beranang dan tiga kampung berhampiran, berkunjung dari rumah ke rumah 16 keluarga asnaf sekitar Hulu Langat, memasak bubur lambuk di ibu pejabat Misi Amal dan sumbangan untuk keluarga asnaf di Kuala Krai, Kelantan.

Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Roslan Abdullah menyampaikan sumbangan kepada seorang anak yatim.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Siti Nuraishah Mohd Ali, yang kehilangan suami, pekerja penghantar makanan yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Ampang pada 2023, 10 hari sebelum hari jadinya ke-30, menganggap apa yang berlaku takdir Allah .
"Saya terkejut menerima panggilan dari Hospital Ampang memberitahu suami, Mohamad Khairul Nizam meninggal dunia dalam kemalangan dan mayatnya masih ada di Jalan Bukit Ampang. Kejadian itu menyebabkan saya kemurungan kira-kira enam bulan.
"Alhamdulillah, selepas tempoh itu saya bangun dari kemurungan kerana memikirkan anak-anak yang memerlukan saya selain tanggungjawab mencari mencari rezeki buat keluarga. Syukur, keluarga banyak memberi sokongan moral sehingga saya pulih dan redha menerima takdir Allah ," katanya.

Siti Nuraishah Mohd Ali, ibu tunggal yang kematian suami hadir di majlis Iftar Misi Amal bersama anak-anaknya.
Dia mengakui suami amat baik dengan anak-anak tapi seminggu sebelum kemalangan maut itu, dia perasan seperti ada perubahan kerana arwah kerap mengajak mereka keluar jalan-jalan dan makan berbanding sebelum ini.
"Malah, saya perhatikan matanya tidak bersinar dan ada bertanya tapi arwah memberitahu tiada apa-apa padahal itulah tanda-tanda suami akan meninggalkan saya dan empat anak buat selama-lamanya," katanya.
Siti Nuraishah yang juga anak yatim ketika berusia tujuh tahun menasihatkan wanita yang mengalami nasib sepertinya agar tabah menghadapi ujian dan menerima takdir Allah, teruskan hidup kerana anak-anak memerlukan mereka selain melakukan kerja-kerja yang sesuai untuk mengisi masa dan menghilangkan kesedihan.

Inilah tulang belakang di sebalik penganjuran Iftar bersama anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal anjuran Misi Amal.
Dalam perkembangan yang sama, orang ramai boleh mengikuti aktiviti pertubuhan Misi Amal melalui FB, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan oleh ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bernombor 562263560241 (Maybank) atas nama Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor. - KitaReporters

Bergambar kenangan pada Majlis Iftar Misi Amal bersama anak-anak yatim, asnaf dan ibu tunggal di Bandar baru Bangi.