.

MACAM-MACAM cerita akan diviral bila berlaku kemalangan jalan raya. Hendak pula kalau nahas itu membabitkan kenderaan berat seperti lori, bas atau kenderaan pelbagai guna (SUV). Bila bawa ramai penumpang dan malang tidak diduga, berlaku pula nahas, maka banyak nyawa terkorban.
Kemalangan terbaharu membabitkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terjadi jam 1 pagi pada Isnin, 9 Jun 2025 -- seperti kisah malang yang bertimpa-timpa dengan angka korban bukan sikit itu.
Nahas ini kali ketiga di Perak, dua kes di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) menyebabkan seekor anak gajah maut di celah tayar lori pada 11 Mei, 2025 sempena Hari Ibu Sedunia, manakala kedua, kemalangan maut melibatkan lori membawa kerikil dengan kenderaan yang membawa anggota FRU berhampiran Teluk Intan, Perak pada pagi 13 Mei 2025 meragut nyawa sembilan anggota FRU.
Dan yang terbaharu itu, sekelip mata seramai 15 anak muda yang juga bakal guru maut.
Nahas yang terbaharu itu juga ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang disambut pada 6 Jun 2025 lalu.
Masyarakat faham apa makna pengorbanan. Maka bila berlaku nahas itu, kita semua "terduduk" tidak sangka ramainya anak muda kita turut menjadi "korban" di jalan raya yang sepatutnya menjadi kemudahan yang selesa.
Bila nahas membabitkan anak gajah yang mati di celah tayar lori di lebuh raya yang sama. Banyak cadangan dan komen dikemukakan termasuk meminta lebuh raya Gerik itu dipasang lampu solar atau buat satu kaedah yang boleh menambahbaikkan kemudahan di situ.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat bertemu menenangkan keluarga pelajar.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenaan berangkat bertemu, menenangkan keluarga pelajar di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun turut bertitah, sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan perlu dikenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang.
Baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita, dan ucapan takziah dengan kejadian berkenaan.
Titah baginda dalam satu kenyataan walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan Ilahi, baginda berpendirian bahawa Allah SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.
Baginda turut menzahirkan simpati kepada ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi, dalam usia yang begitu muda, dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.
Bila kemalangan terbaharu itu berlaku, sebenarnya nahas yang membabitkan anak gajah itu belum sepenuhnya reda, berlaku lagi satu nahas membabitkan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan ( FRU) maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan.
Kenderaan mereka bertembung dengan lori membawa muatan batu pada 13 Mei 2025. Sepatutnya tindakan segera ke atas pemandu kenderaan berrisiko supaya berhemah di jalan raya.
Takdir rezeki, jodoh dan mati sudah ditetapkan tetapi melihat kepada cara pemanduan di negara ini juga menjadi asabab kemalangan yang turut berpunca daripada pemandu.
Sikap panas baran di jalan raya, terburu-buru dan berlumba-lumba memandu untuk sampai ke destinasi, kejar trip, mengantuk (mikrosleep), malah tidak ada lesen juga menjadi punca penyebabnya.
Kenapa kerajaan tidak memperketatkan syarat pemandu supaya wajib mengikuti piawaian yang dibuat oleh syarikat cari gali minyak Petronas.
Dilaporkan lori tangki (tanker) minyak Petronas itu bukan saja mempunyai pemandu terlatih, yang betul-betul seorang profesional malah ciri-ciri keselamatan mereka sangat tinggi termasuk dipasang dengan had kelajuan.
Ya, treler tangki minyak itu berbahaya jika kemalangan yang melibatkan saiz kebakaran.

Tetapi bas juga membawa puluhan penumpang harus diambil kira kerana nyawa bukan ada dua tiga kali. Nasib tak mati tetapi mungkin melibatkan kecacatan kekal.
Kerajaan boleh menggunakan garis panduan Petronas kepada syarikat bas tidak kiralah bas ekspres atau bas charter (tempah khas). Pemandunya mesti ada rakaman video, dilatih dengan taraf profesional dan janganlah galakkan syarikat memberi pemandu itu kejar trip demi mendapat duit saku tambahan.
Opah melihat nahas membabitkan anak gajah itu sebagai satu amaran kepada kerajaan supaya menambah lebuh raya di Gerik.
Tak apa jika kerajaan menyediakan tol dan RnR kerana demi keselamatan. Asalkan pemandu, penumpang dapat kemudahan untuk rehat dan rawat kenderaan.
Malah Jabatan Perhilitan juga boleh mengawal haiwan yang melintas jalan itu untuk mencari makanan. Sepatutnya kemalangan dapat dielakkan jika semua pihak lebih bersedia dan berhati-hati.

Membaca cerita sedih dan luahan ibu bapa, Hati Opah juga terasa sangat sayu sebab mangsa adalah anak-anak muda yang berjihad menimba ilmu dan bakal menjadi pendidik. Mereka tidak sempat kongsi ilmu dengan anak-anak bangsa. Fikirkan juga masa, duit dan tenaga hilang begitu saja.
Ada diceritakan mangsa meninggal dunia sedang mendakap al-Quran, ada yang membawa bekal rendang dan ketupat kerana masih dalam suasaha hari raya Aidiladha.
Ada yang selamat kerana membatalkan perjalanan pada saat-saat akhir sebab menunggu ayah yang lambat pulang dari masjid untuk bersalam. Ada itu anaknya sudah naik ke dalam perut bas tetapi turun balik, semata-mata untuk bersalam, memeluk ibunya sambil berkata, "ibu kena kuat."
Sedih sangat bila melihat video pemandu yang didakwa memecut dengan laju dengan alasan brek bas tidak "makan" menimbulkan banyak persoalan. Tengok dalam media sosial bagaimana bas itu "terbang" dan terbalik mengiring ke besi penghadang, sekali gus menyebabkan mangsa kemalangan sukar dikenali.
Dikatakan empat jenazah saja yang lengkap. Yang lain sukar dikenali. Menunjukkan betapa impak kemalangan itu sangat ngeri. Tambah pula perjalanan di laluan gelap dan pada waktu malam.

Rangka bas selepas kemalangan
Malah pemandu dikatakan mengambil jalan pintas bagi menggelakkan kesesakan. Kena ingat juga memandu pada waktu jam 1 pagi itu selalu mata sudah mula mengantuk dan badan pun dah mula penat.
Adakah mangsa akan mendapat perlindungan insurans kerana urusan menyewa bas itu dikendalikan oleh pelajar berkenaan dan pertukaran pemandu pada saat-saat akhir dengan dikatakan diambil alih oleh seorang drebar lori. Juga dilihat sebenarnya satu tindakan tidak sepatutnya dilakukan.
Apapun nyawa 15 pelajar sudahpun hilang. Pemandu dikatakan mempunyai banyak saman atas pelbagai kesalahan. Pihak syarikat bermati-matian memberitahu pemandu berkelakuan baik dan tiada rekod kesalahan jalan raya. Namun sebaliknya.
Bila kita ambil mudah soal keselamatan akhirnya ibu bapa, universiti, negara dan seumpama ibarat nasi sudah menjadi bubur. -KitaReporters
