Insan & Komuniti 22 May, 2025

Langit Langkawi bergema! LIMA ’25 pukau ribuan pengunjung! Pertunjukan udara dramatik, berani, cekap!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

Persembahan yang dinantikan oleh penonton.

Setiap pertunjukan menarik perhatian orang ramai yang hadir. - Kredit foto: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)

Deruman enjin pesawat pejuang membelah langit Langkawi apabila pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’25) berjaya memukau ribuan pengunjung dari seluruh pelosok negara.

Pertunjukan yang dinanti-nantikan dua tahun sekali ini menyaksikan aksi mendebarkan daripada pasukan aerobatik pelbagai negara termasuk kemunculan gah pesawat Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjadi tumpuan ramai.

Setiap aksi yang dipersembah bukan sahaja memperlihat kecanggihan teknologi ketenteraan malah menonjolkan kecekapan dan kemahiran luar biasa para juruterbang dalam mengendalikan pesawat pada tahap ekstrem.


Kehadiran orang ramai untuk menyaksikan pertunjukan udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’25) .

Cenderamata turut dijual sempena pameran udara ini.

Kredit foto: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)


Ribuan peminat pertunjukan udara dan jurugambar amatur mahupun profesional tidak melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik dramatik ketika pesawat meluncur dan melakukan manuver berani yang memukau. 

Sorakan dan tepukan gemuruh daripada para penonton membuktikan keterujaan terhadap persembahan yang menggabungkan elemen ketenteraan, seni udara dan hiburan dalam satu persembahan berimpak tinggi.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan sokongan padu terhadap penganjuran LIMA ’25 yang disifatkan sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan industri pelancongan negara. 

Menurut kenyataan MOTAC, acara bertaraf antarabangsa ini bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa malah turut menyumbang secara langsung kepada ekonomi setempat dan memberikan pendedahan luas mengenai kekuatan sektor pertahanan serta kemajuan teknologi negara.



Pertunjukan udara yang memukau penonton yang hadir. - Kredit foto: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)

Inisiatif ini juga seiring dengan usaha menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang menyasarkan peningkatan signifikan jumlah pelancong dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara.

LIMA ’25 bukan sekadar medan pameran teknologi maritim dan aeroangkasa bahkan menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia yang hadir dari pelbagai latar belakang untuk bersama-sama menyaksikan kebolehan dan kehebatan pasukan keselamatan negara serta rakan-rakan antarabangsa.

Kejayaan penganjuran yang terus mendapat sambutan luar biasa ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menganjurkan acara berskala dunia dengan penuh gemilang, selaras dengan aspirasi negara di bawah gagasan Malaysia Madani. - KitaReporters



Kredit foto: Facebook rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)

10
17
0
16
0
You will be interested