Insan & Komuniti 07 Jun, 2025

Sertai Karnival Kita Madani x Program Madani Rakyat! Platform salur maklumat, perkhidmatan kerajaan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Karnival Kita Madani x Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Perak yang berlangsung di Arena Square, Taman Samudera, Seri Manjung, Perak pada 1 Jun 2025 lalu menjadi platform berimpak tinggi dalam menyampaikan maklumat serta perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perak ini merupakan usaha memperluas pemahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan menerusi pendekatan turun padang yang lebih dekat dengan masyarakat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin.



Program ini juga merupakan langkah promosi kepada Program Madani Rakyat (PMR) peringkat Negeri Perak yang akan diadakan dari 13 hingga 15 Jun 2025 di Daerah Manjung, yang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara pengisian utama karnival termasuk Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani, pameran serta penyampaian perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, pertandingan mewarna, sukan rakyat, kenduri rakyat serta menghimpunkan pesilat daripada 10 perguruan yang membuat persembahan kepada tetamu yang hadir.

Jabatan Penerangan dalam kenyataan berkata, sebanyak 21 agensi kerajaan dan swasta menyertai reruai pameran antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Konti Radio Perak FM dan lain-lain.



Perkhidmatan mudah alih turut ditawarkan oleh beberapa agensi seperti Pejabat Daerah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) serta IM@JAPEN, memudahkan urusan secara langsung dengan masyarakat setempat.

Terdahulu, pada malam 31 Mei 2025, Tayangan Layar Bestari telah diadakan di lokasi yang sama sebagai pembuka tirai program ini, bermula jam 8.45 malam dan turut mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat. - KitaReporters


18
15
0
12
0
You will be interested