
Ramadan bulan barakah. Bulan mengumpul pahala dan meningkatkan ibadah.
Salah satu sikap yang baik adalah jujur. Jujurlah dalam hubungan. Jangan dipermainkan hati orang. Jangan sakiti orang. Mengaku sahaja jika kita buat salah. Tak rugi pun.
Saya kongsi pengakuan Fida (bukan nama sebenar) tentang makna jujur.

Dahulu kata Fida dia pernah buat silap. Pernah tidak jujur dengan sahabat sendiri, Marina namanya. Semua kerana cemburu.
Sahabatnya ini kata Fida, seorang yang bijak, rajin dan komited dengan tugasnya. Tak hairan dia mudah naik pangkat. Sedikit sebanyak Fida terasa iri hati dan ketinggalan.
Macam-macam timbul kerana rasa cemburu ini. Tapi Marina rileks sahaja. Dia buat macam tak ada apa berlaku walau dia tahu Fida mengatanya di belakang.
Sehingga satu hari, Fida membuat silap dalam tugasnya dan Marina yang jadi penyelamat. Jika tidak Fida hilang kerja.
Fida insaf dan menyesal dengan perbuatannya. Dia meminta maaf dengan Marina dan mengaku selama ini dia berburuk sangka dengan Marina.
Baiknya hati Fida. Dia langsung tak berdendam malah menerima Marina sebagai sahabatnya dunia akhirat. Mulia sungguh hati Fida.
Alhamdulillah... Marina menerima maaf daripada Fida dan melupakan apa yang berlaku. Dalam hidup ini, berlaku jujurlah dalam perhubungan. Ia membawa ketenangan untuk kita, kata Fida.

Iktibar daripada kisah ini:
Kejujuran memberi kesan terhadap kualiti hidup seseorang, kata-kata yang jujur, benar, tidak berbelit, tidak menutup kebenaran dan tidak mengaburi orang lain perlu menjadi amalan.
Didik hati dengan ilmu, meskipun kita sering berkata-kata mengikut rentak bagaimana ibu bapa mendidik kita. Jangan berbohong dan menutup kebenaran. Berterus terang cara terbaik.
Sikap jujur merupakan salah satu sikap yang sudah diajarkan kepada kita sejak kecil dan di sekolah. Diajarnya kita akan pentingnya sikap jujur dalam kehidupan.
Jujur merupakan salah satu sikap yang harus dimiliki oleh setiap manusia dalam menghadapi hidup.
Sikap jujur akan melahirkan kepercayaan antara manusia sesama manusia. Sikap jujur juga menjauhkan rasa curiga yang akan merosakkan sebuah kepercayaan. Oleh sebab itu sangat penting kita memiliki sikap jujur dalam diri.

Salah satu cara membangun reputasi yang baik di tempat kerja adalah dengan bersikap jujur. Jangan pernah mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakan dan orang atasan di tempat kerja.
Tidak perlu berbohong untuk meraih simpati. Sebaliknya, kejujuran dan amanah di tempat kerja akan membuat kita semakin dipercaya.
Jangan membuang masa melayan orang yang tidak faham tentang kejujuran kerana selagi banyak kita bercakap semakin mereka buat buat tak faham.
Pada bulan baik dan mulia ini ayuh kita saling bermaaf- maafan, bantu membantu dan bersangka baik
Kemaafan bukan menyelesaikan dendam tetapi memulakan satu perhubungan positif yang membawa kita semua ke syurga. - KitaReporters

Tags: