Insan & Komuniti 24 Jun, 2025

Mahasiswa psikologi UPSI berbakti! Santuni penduduk! Program Kesejahteraan, Transformasi Komuniti!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sesi penyediaan pencuci mulut bersama kaum hawa yang dibimbing oleh tenaga pengajar daripada FTV UPSI, Fuad Ashriq Mohamad Farid.


Penyelaras DUN Sungai Burong, Maruwan Ahmad menyampaikan ucapan perasmian yang diadakan di Dewan Agrotourism Kampung Sungai Sireh dan turut dihadiri penduduk kampung.


Program Kesejahteraan dan Transformasi Komuniti anjuran Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak dengan kolaboratif beberapa agensi berjaya menzahirkan objektif utama untuk meningkatkan kesejahteraan dan transformasi minda komuniti.

Antara agensi terbabit dalam program itu ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ampangan Sungai Sireh, DUN Sungai Burung, Sekolah Kebangsaan Seri Gambut (SKSG), Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Pusat Transformasi Komuniti UPSI, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI (FPM UPSI), dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI). 

Program berbentuk kesukarelawanan itu membabitkan penyertaan 21 mahasiswa dari Persatuan Psikologi UPSI, diadakan di Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor, selama dua hari bermula 11 Mei 2025 lalu.


Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin mengendalikan sesi perkongsian mengenai kemahiran keibubapaan. 


Setiausaha program berkenaan, Hikmah Hakimien Izzati Sarmin, berkata program itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik membabitkan pelbagai lapisan masyarakat, antaranya slot penyediaan pencuci mulut bersama kaum wanita yang dibimbing oleh Fuad Ashriq Mohamad Farid dari Fakulti Teknikal Vokasional (FTV) UPSI dengan menu utama iaitu tat buah.

 Jelas beliau, aktiviti itu dijalankan di balai raya Kampung Ampangan yang bertujuan membuka peluang kepada kaum wanita untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi dengan memulakan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama komuniti.

Ibu bapa murid SKSG juga turut membabitkan diri dalam sesi perkongsian mengenai kemahiran keibubapaan yang dikemudi oleh pensyarah di Jabatan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin.

Tambahnya, sesi itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak dan generasi muda sekarang. 

Topik perbincangan berkenaan amat penting dalam menangani isu ketagihan gajet yang semakin berleluasa, tambah beliau.

Sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang hadir, pihak penganjur turut menyediakan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik seperti beras, minyak masak, gula dan barangan asas lain.


Murid SK Seri Gambut merakam kenangan selepas majlis perasmian penutup program berkenaan. 


Menurut Hikmah Hakimien Izzati, program itu turut menampilkan sesi istimewa bertajuk “Kenali Potensi Diri dan Minat Kerjaya” yang diadakan khusus untuk murid SKSG. 

Sesi itu bertujuan untuk membantu murid mengenal pasti potensi diri dan kecenderungan minat kerjaya melalui pendekatan didik hibur (edutainment).

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan awal mengenai pelbagai pilihan kerjaya, malah turut merangkumi elemen penting seperti pembinaan keyakinan diri dan pengukuhan kemahiran bekerja dalam kumpulan. Turut hadir Guru Besar SKSG, Azizah Ajis,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata slot aktiviti kesedaran penjagaan alam sekitar turut dianjurkan yang memberi peluang kepada masyarakat setempat dan mahasiswa UPSI untuk turut sama membersihkan tali air di kawasan kampung berkenaan yang dicemari dengan tong racun pertanian, plastik baja dan sampah sarap.


Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FPM UPSI (dua dari kanan) turut menyertai aktiviti pembersihan tali air.


Katanya, program itu diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti kesejahteraan komuniti pada masa akan datang dapat diadakan, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama UPSI dengan komuniti.

“Ia juga menyediakan ruang kepada mahasiswa dan anak muda setempat untuk memupuk rasa bertanggungjawab terhadap kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar supaya dapat terus dipelihara, kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu bagi menjayakan program ini," ujar beliau lagi. - KitaReporters


Belia setempat dan mahasiswa UPSI merakamkan kenangan selepas mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak.

10
10
0
14
0
You will be interested