Insan & Komuniti 06 Oct, 2024

Video| Usaha sama Yayasan Maghfirah, Masjid Al-Hasanah! Karnival Maulidur Rasul bergema selawat Nabi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this



MASJID Al-Hasanah (MH) Bandar Baru Bangi, Selangor bergema dengan alunan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW ketika perarakan terdiri daripada anak-anak sekolah tahfiz, jemaah masjid dan penduduk sekitar melintas masuk ke pekarangan pusat ibadah itu. Di wajah mereka mendambakan kecintaan dan kasih sayang kepada baginda.

Perarakan itu berlangsung sempena Karnival Maulidur Rasul 2024 peringkat Bangi bagi memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW yang dikasihi umat Islam seluruh dunia. 

Di negara ini, sambutan itu adalah hari yang penting buat umat Islam selain antara amalan yang lazim diraikan sebagai salah satu usaha untuk mendidik dan mengingati Rasulullah. 


Perarakan Maulidur Rasul bagi mengingati kelahiran dan perjuangan Nabi Muhammad SAW di selang seli dengan selawat dan pujian kepada Rasulullah. 


Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun adalah tarikh yang penuh dengan kemuliaan dan rahmat terbesar bagi seluruh alam dan makhluk, kerana lahirnya kekasih Allah yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliah.

Selain diadakan perarakan yang diiringi dengan selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, program yang lazim diadakan adalah majlis ilmu, forum perdana, dan pengisian yang berkaitan dengan sirah Nabi Muhammad SAW. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maghfirah (YM), Muhammad Shuib Norudin berkata, Karnival Maulidur Rasul itu kerjasama di antara YM dan MH. Ini julung-julung kali pihaknya bekerjasama dengan MH dalam program berskala besar berbanding sebelum ini hanya memberi sumbangan kepada anak-anak yatim. 

Mohammad Shuib Norudin


Beliau berkata, program yang disusun atur bermula dari qiamullail, kuliah Subuh dan dhuha sehingga kepada forum agama di sebelah malam selain YM dan MH mengadakan agihan dan serahan bantuan kepada golongan B40, asnaf dan anak-anak yatim serta mereka yang memerlukan di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang.

"YM memberi sumbangan baucar barangan asas, daging segar dan wang tunai kepada 150 keluarga asnaf, 50 golongan asnaf juga mendapat saringan kesihatan percuma PEKA b40 melalui perkhidmatan Poliklinik An-Nur dan pemeriksaan telinga.

"MH pula memberi bantuan wang tunai kepada 100 anak-anak yatim di bawah kariahnya, selain mengadakan Jualan infaq dengan menjual barangan asas separuh harga seperti ayam, beras, minyak masak, telur dan sayur-sayuran kepada orang ramai yang hadir di karnival itu. 

Golongan asnaf, B40 dan anak-anak yatim diraikan dengan pemberian wang tunai sempena Karnival Maulidur Rasul 2024.


"Acara kemuncak karnival ialah perarakan Maulidur Rasul yang disertai Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Daerah, Ustaz Dr Ahmad Zakry, Nazir MH, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman, staf YM, anak-anak sekolah tahfiz, AJK masjid dan penduduk sekitar. Kira-kira 1,000 umat Islam hadir mengikuti pelbagai program sepanjang karnival itu.

"Perarakan itu turut dihiasi dengan pertunjukan seni silat lincah yang diselang seli dengan pertandingan azan, bercerita dan mewarna manakala acara pada malamnya ialah forum perdana bertajuk, "Kecintaan Ahli Ibadah Kepada Rasulullah" yang disampaikan Mudir Maahad Tahfiz Al-Maghfirah (MATAM) dan Ustaz Tariq Jafri," katanya.

Disebelah pagi, pihaknya bersama MH menyembelih lima kambing dan seekor lembu sebagai juadah untuk dinikmati bersama mereka yang hadir sepanjang karnival itu, semua kerja itu dilakukan secara gotong royong membabitkan tim YM yang terdiri daripada golongan muda dan sukarelawan MH yang kebanyakan ibu bapa. 

Sempena Karnival Maulidur Rasul 2024 , MH dan YM menyembelih lima kambing dan seekor lembu yang dimasak dan diagih-agihkan kepada hadirin yang hadir 


Ditanya mengapa memilih MH bagi mengadakan karnival maulidur Rasul itu, Muhammad Shuib berkata ia adalah antara masjid yang aktif dan memang popular di Bandar Baru Bangi, sentiasa menjadi sebutan jemaah yang datang dari luar untuk bersolat selain sentiasa mengadakan pelbagai program untuk manfaat jemaah dan penduduk tempatan.

"Saya terharu kerana MH menerima pelawaan kami untuk mengadakan kerjasama dan ini memberi peluang YM untuk menyantuni masyarakat terutama umat Islam yang sentiasa memberi sumbangan sehingga kami dapat mengadakan pelbagai aktiviti bagi membantu mereka yang memerlukan terutama golongan asnah, B40, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

"Karnival ini sebagai tanda terima kasih kepada penyumbang dan umat Islam, justeru kami membantu bagi menyediakan sokongan menyediakan kepada masjid pelbagai program yang boleh disertai jemaah termasuk aktiviti sosial dan keagamaan," katanya lagi.

Pelbagai keperluan harian seperti beras, telur, minyak masak dan sayur-sayuran dijual dengan harga separuh harga sempena Karnival Maulidur Rasul 2024 di Masjid Al-Hasanah.


Muhammad Shuib berkata, selain meraikan kelahiran Nabi SAW, pihaknya mahu mengambil ibrar daripada perjuangan baginda untuk diterjemahkan kepada orang ramai yang hadir, justeru aktiviti yang diadakan tidak terhad kepada program-program keagamaan tapi hal-hal lain yang memberi manfaat kepada umat islam.

"Kami mahu YM dekat dengan masyarakat melalui program-program sebegini. Begitu juga pemilihan lokasi di Bandar Baru Bangi kerana ibu pejabat kami di sini dan apa yang kami dapat daripada sumbangan anda, kami mahu memberi balikl. Ini tanda terima kasih dan kesyukuran kami.

"Kami juga mahu menarik lebih ramai umat Islam terutama kanak-kanak dan anak-anak muda hadir ke masjid kerana ia adalah institusi yang begitu dekat dengan masyarakat, jemaah saling kenal mengenal dan mengadakan aktiviti melalui rumah Allah ini. 

"Ia tempat untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik, di sini berlaku perkembangan ilmu dan memperbaiki akhlak masyarakat. 


Reruai pameran yang diadakan memberi peluang orang ramai mengenai secara dekat YM dan MH.


"Saya anggap MH masjid yang ikonik di Bandar Baru Bangi malah ia sinonim dengan pembangunan pesat bandar ini, insya-Allah kerjasama ini akan berterusan malah mereka (MH) ada mempelawa kami untuk bersama mereka sempena sambutan ulang tahun ke-25 masjid itu tahun depan,' katanya.

Ditanya sama ada akan menjadikan karnival Maulidur Rasul ini acara tahunan, katanya ia bergantung kepada keadaan kerana YM mempunyai banyak perancangan pada masa depan termasuk mengadakan program berkaitan ceramah dan muzik untuk menarik perhatian anak-anak muda bahawa Islam tidak pernah meminggirkan seni muzik. 

Selain program marhaban dan qasidah, ibu bapa yang mempunyai anak kecil diraikan dalam majlis tahnik iaitu memasukkan sedikit manisan ke mulut mereka sebagai salah satu sunnah Nabi.  


"Kita juga mahu menyampaikan mesej keamanan melalui lagu dan ceramah, cuma temanya belum dibincang sama ada Maulidur Rasul atau sebaliknya tapi karnival itu mengetengahkan lagu-lagu ketuhanan dan nasyid yang diselang seli dengan ceramah pendakwah terkenal.

"Sebelum ini kami juga ada rancangan untuk mengadakan aktiviti Bangi Berselawat tapi atas beberapa faktor, ia belum menjadi kenyataan. Insya-Allah kami harap dapat dilaksanakan tahun depan, mungkin dengan kerjasama penaja kerana ia membabitkan kos yang besar," katanya.    

Beliau berharap umat Islam terus memberi sumbangan kepada YM bagi membolehkan pihaknya mengadakan lebih banyak aktiviti berfaedah untuk kebaikan penduduk yang memerlukan terutama golongan asnaf, B40, anak-anak yatim dan ibu tunggal. 


Ustaz Safian Abdul Rahman


Sementara itu, Nazir Masjid Al-Hasanah,  Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman, berkata kerjasama baik bersama YM banyak memberi manfaat kepada masyarakat. Malah, pihaknya menyumbangkan RM10,000 sebagai subsidi kepada orang ramai yang tidak berkemampuan terutama bagi mendapatkan bekalan makanan.

"Melalui bantuan itu, golongan tidak berkemampuan boleh datang dan mengambil pelbagai barangan keperluan harian seperti beras, telur, minyak masak dan sayur-sayuran dengan harga subsidi, lebih murah berbanding harga pasaran.

"Karnival Maulidur Rasul selain mengingati kelahiran dan perjuangan Nabi SAW, Masjid Al-Hasanah dan YM banyak melakukan aktiviti membantu masyarakat dengan matlamat mereka mesra dan mencintai masjid," katanya. - KitaReporters

Kumpulan Seni Silat Lincah dari Masjid Al-Hasanah turut membuat pertunjukan kepada orang ramai yang hadir sempena Maulidur Rasul.

17
12
0
15
0
You will be interested