Insan & Komuniti 24 Dec, 2024

Terbaik pelajar tahfiz Al-Ikhwan! Bergabung dengan muslimah Masjid Rinching Hulu santuni warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian pelajar maahad tahfiz menyampu dan membuang sampah sarap dalam bilik warga emas.


MEMBENTUK sahsiah diri untuk memiliki keperibadian mulia dalam menuntut ilmu apabila berada dalam komuniti masyarakat menjadi pendorong kepada 25 pelajar Maahad Tahfiz Al-Ikhwan, Bandar Tasik Kesuma menyertai Program Jalinan Kasih di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor.

Program anjuran kumpulan Muslimah Masjid Rinching Hulu itu adalah untuk menyantuni warga emas yang terdampar di pusat jagaan berkenaan sebagai salah satu kegiatan amal kebajikan komuniti yang diadakan pada 17 Disember 2024.

Pengerusi maahad tahfiz berkenaan, Safwan Ramlee, berkata dia bersama-sama pelajarnya terpanggil untuk menyertai kumpulan muslimah apabila menyedari program itu memberi landasan terbaik dalam membentuk budi pekerti mulia.


Pelajar maahad tahfiz membersihkan kipas dan surau PJNH.


Menurutnya, seharian pelajar terbabit mengikuti pengajian al-Quran dan agama mereka wajar diberi peluang untuk mendekati komuniti dengan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan, belajar bersopan santun dan menghormati mereka yang lebih tua.

Tambahnya, program yang dianjurkan oleh kumpulan muslimah itu mampu memupuk nilai murni, serta  beradaban perlu ada pada seseorang khusus generasi muda terutama mereka yang memiliki didikan agama kerana akan menjadi contoh dan teladan baik.

“Jika tidak bertindih dengan kegiatan di maahad tahfiz saya akan terus membawa pelajar untuk mengikuti program kemasyarakatan sedemikian termasuklah seperti mengunjungi rumah anak yatim, keluarga miskin, asnaf disamping membantu dalam kerja gotong-royong di masjid atau surau.

“Langkah ini juga sebagai menghormati serta menyokong program amal kebajikan komuniti yang dianjurkan jawatankuasa masjid termasuk membabitkan kumpulan muslimah,” ujarnya pada majlis perasmian program berkenaan di PJNH.


Mengagihkan sarapan kepada warga emas sebelum duduk untuk makan dan minum bersama-sama.


Turut hadir pada majlis itu, ketua kumpulan muslimah berkenaan, Hayati Yusuf; Setiausaha Masjid Rinching Hulu, Fadzil Mohd Abdullah; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Bendahari Masjid Rinching Hulu, Rohana Sulaiman; Penolong Bendahari Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK), Hasiatun Abdullah; ahli kumpulan muslimah; dan PSK. 

Pada program itu, kumpulan muslimah dan PSK turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang sebelum berganding bahu bersama-sama pelajar maahad tahfiz terbabit menyantuni warga emas dengan mengagihkan sarapan dan makan tengah hari, membersih bilik penghuni, kemudahan serta memotong rumput di luar pagar PJNH.


Safwan Ramlee (kanan) bersama-sama pelajar Maahad Tahfiz Al-Ikhwan merakamkan kenangan selepas bekerjasama membersihkan bilik warga emas dan kemudahan yang disediakan di PJNH.


Berucap pada majlis itu, Hayati berkata, kumpulan muslimah berkenaan menzahirkan rasa terharu dan bangga dengan sikap bertanggungjawab dan amanah petugas PJNH selain dibantu sukarelawan menyantuni warga emas tanpa berasa jemu.

Jelasnya, kehadiran mereka ke pusat itu dengan mengadakan program amal kebajikan diharapkan dapat mengembirakan hati warga emas terbabit kerana ada antara mereka seperti yang dimaklumkan pihak pengurusan amat merindui ahli keluarga.

“Dengan membawa bersama-sama pelajar maahad tahfiz ini yang rata-rata masih remaja sekurang-kurang dapat meredakan kerinduan warga emas terhadap anak atau cucu mereka selepas sekian lama berpisah.

“Ia juga memberi pendedahan kepada pelajar tahfiz ini mengenai keperluan memelihara hubungan baik dengan ibu bapa sehingga mereka tua dan pergi mengadap Ilahi selain dapat menabur bakti kepada warga emas di pusat berkenaan,” katanya.


Hayati Yusuf (tengah) melakukan gimit penyampaian barangan keperluan asas kepada Mohiadin.


Sementara itu, Fadzil yang turut berucap pada majlis itu, berkata sebelum itu bersama kumpulan muslimah berkenaan jawatankuasa masjid sudah mengunci serta menyantuni rumah anak yatim, asnaf, keluarga miskin dan pusat jagaan sekitar Semenyih, Beranang dan Kajang. 

“Pada hari ini, program berkenaan disertai pelajar maahad tahfiz yang memberi peluang pendedahan kepada mereka terhadapnya nasib warga emas yang memerlukan pembelaan dan kasih sayang selepas disisihkan oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara,” jelasnya.

Ketua pelajar maahad tahfiz itu, Aiman Nazmi yang ditemui berasakan bertuah kerana mendapat peluang bersama-sama golongan dewasa untuk membuat kerja amal kebajikan dengan menyantuni warga emas di PJNH.

“Antara kami pula tiada masalah untuk bekerjasama melakukan kerja pembersihan dalam dan luar PJNH malah berasa seronok serta terharu dapat mengagihkan makanan disamping dapat makan bersama-sama warga emas ini,” ujarnya. - KitaReporters


Rohana Sulaiman (empat dari kiri) dan Hasiatun Abdullah menunjukkan sumbangan untuk diserahkan kepada PJNH.

16
10
0
14
0
You will be interested