Insan & Komuniti 25 Jun, 2024

Teruslah cakna santuni warga emas! Pusat Jagaan Nur Hasanah diyakini mampu jadi contoh dan teladan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penduduk dari kawasan berdekatan turut hadir memberi sokongan kepada PJNH yang cakna menyantuni warga emas.


PERSATUAN Pegawai Kerja Sosial (Perubatan) Malaysia mahukan pengurusan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor terus memikul tanggungjawab penuh amanah mengurus pusat berkenaan yang merupakan kelolaan persatuan itu.

Bagi persatuan, mereka sentiasa mengikuti perkembangan PJNH dan memahami masalah serta bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pihak pengurusan terutama dari segi mendapat sumbangan dan dana serta melayani karenah warga emas yang berlindung di situ.


Harolhanam Mohamed Wahid (dua dari kanan) merakamkan kenangan bersama Azman Rasman (kanan), dermawan Ann, Yusni Hamid dan Ustaz Muhammad Amir Mohd Akhbar selepas merasmikan Majlis Silaturahim Aidiladha PJNH.


Presiden persatuan berkenaan, Harolhanam Mohamed Wahid, berkata walaupun terpaksa menghadapi pelbagai liku kepayahan dalam memastikan PJNH mampu beroperasi namun pihak pengurusan seharusnya terus fokus dalam mengurus serta menyantuni warga emas selaras matlamat penubuhannya sejak 18 tahun lalu.

Menurutnya, antara objektif penubuhan PJNH adalah bagi memberi perlindungan sehingga akhir hayat kepada warga emas yang terbiar atau terlantar di hospital selepas menerima rawatan untuk kembali ke kediaman sendiri dan kepangkuan keluarga namun keadaan sebaliknya berlaku.

Jelasnya, bagi yang hidup sebatang kara kami memahami masalah itu, tetapi bagi mereka dibiarkan atau tidak dituntut oleh ahli keluarga termasuk isteri atau anak selepas discaj sebaik sahaja pulih selepas menerima rawatan menyebabkan pihak pengurusan hospital terpaksa meminta bantuan pegawai kerja sosial mencari tempat berlindung untuk warga berkenaan.


Tetamu jemputan mengambil hidangan jamuan sebaik sahaja selesai slot tazkirah.


“Ada sesetengah ahli keluarga yang rapat dapat dihubungi dan dimaklumkan perkara ini tetapi mengambil sikap berdiam diri selain memberi pelbagai alasan seperti tidak berkemampuan untuk menjaga, menghadapi masalah keluarga, kemiskinan dan sebagainya.

“Perkara ini bukan omong kosong sebaliknya berlaku dalam masyarakat kita hari ini dan ia amat menyedihkan apabila membabitkan warga emas dalam kalangan bapa atau ibu yang ternyata hendak disisihkan oleh ahli keluarga sendiri terutama anak,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Silaturahim Aidiladha PJNH 1445H/2024 pada 22 Jun 2024.

Turut hadir pada majlis itu penyanyi popular pada tahun 1980-an, Dato’ Yusni Hamid bersama dermawan Datin Ann dan sukarelawan Hospital Kuala Lumpur; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi dan Pengurus Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman dan Sazali Mohiden; Group Helwa Surau Al-Falah, Kampung Sesapan Kelubi serta penduduk kampung sekitar PJNH.


Harolhanam (duduk dari kanan) bersama Yusni Hamid dan sukarelawan yang hadir pada Majlis Silaturahim Aidiladha Pusat Jagaan Nur Hasanah di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor pada 22 Jun 2024.


Sebelum menikmati hidangan jamuan yang disediakan oleh ahli Sukarelawan Mahmudah dan PJNH, tetamu dan warga emas mengikuti majlil tahlil yang diketuai Ustaz Alias Ahmad dan mendengar Tazkirah Aidiladha bertajuk ‘Pengorbanan Membawa ke Syurga’ yang disampaikan oleh penceramah bebas, Ustaz Muhammad Amir Mohd Akhbar.

Di samping menyantuni warga emas dengan hidangan Istimewa bersempena Aidiladha, tetamu dan sukarelawan beramah dengan penghuni terbabit sebelum mengadakan lawatan sekitar bilik mereka yang disediakan oleh PJNH.


Warga emas dan tetamu memberi tumpuan kepada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amir.


Harolhanam yang juga Pengerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, berkata majlis itu walaupun dibuat secara ringkas tetapi memberi makna begitu besar kepada warga emas yang sentiasa mengharapkan kunjungan mesra daripada orang luar.

Menurutnya, kunjungan pelawat yang mengadakan pelbagai program di pusat jagaan akan memberi kegembiraan kepada warga emas kerana mereka seperti insan lain amat merindui ahli keluarga apabila tersisih bersendirian di situ.

Jelasnya, kehadiran petugas atau sukarelawan pusat jagaan yang menyantuni mereka setiap hari seperti ahli keluarga termasuk mengiringi mereka untuk mendapatkan rawatan di pusat kesihatan sudah pasti melahirkan rasa gembira kerana ada pihak yang sudi ambil peduli walaupun tidak menerima sebarang imbuhan daripada mereka.

Tambahnya, perkara sedemikian menjadi movitasi kepada pegawai kerja sosial untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat terutama bagi memastikan mereka terabai itu mendapat tempat berlindung sewajarnya khususnya warga emas yang uzur.


Yusni Hamid dan Ustaz Muhammad Amir beramah mesra dengan warga emas yang sedang menjamah makanan disediakan.


Jelas beliau, persatuan juga kini dalam proses untuk mengelolakan satu lagi pusat jagaan yang kini dalam peringkat perbincangan dengan pihak berwajib terutama bagi memenuhi prosedur ditetapkan serta tidak melanggar sebarang peraturan bagi mengelakkan sebarang perkara berbangkit.

“Manakala menerusi tabung kebajikan berkenaan juga membuka peluang kepada pelbagai pihak untuk membantu warga emas ini dengan menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas harian serta dana supaya meringankan kos operasi pusat jagaan terbabit.

“Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak pengurusan PJNH ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak termasuk korporat yang sentiasa datang menghulurkan sumbangan di samping dana dengan mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebagainya,” ujar Harolhanam lagi. - KitaReporters


Norlela Muhamad Nor (kiri) mewakili Group Helwa Surau Al-Falah, Kampung Sesapan Kelubi menyerahkan sumbangan kepada bendahari PJNH, Aidah Jaamat bersempena majlis berkenaan sambil diperhatikan oleh Mohiadin Bahado.

19
10
0
9
0
You will be interested