Insan & Komuniti 20 Apr, 2023

LZS semak kadar sumbangan geran! Bagi terus bantu pusat jagaan warga emas! Tampung kos operasi!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

To’ Ungku Abdul Jalil Abdul Rani mengagihkan sumbangan Semekar Aidilfitri LZS kepada warga emas di PJMM.


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) sedang membuat semakan semula kadar sumbangan geran tahunan kepada rumah kebajikan warga emas berikutan peningkatan kos operasi yang terus meningkat sehingga membebankan pihak pengurusan rumah berkenaan.

Semakan semula itu juga atas dasar LZS menerima laporan serta pengesyoran daripada pihak pengurusan khusus pusat jagaan warga emas terbabit yang meminta perkara itu diberi perhatian dan dikaji dengan lebih teliti.

Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan LZS, Saiful Anuar Abdullah Saleh, berkata LZS ambil peduli syor itu dan akan melakukan semakan semula dengan sepatutnya supaya peningkatan kos operasi tidak terus membebankan pusat berkenaan.


To’ Ungku Abdul Jalil bertanya khabar seorang warga emas yang terlantar kerana keuzuran di PJMM.


Menurutnya, daripada kenaikan kos utiliti, barangan makanan terutama barangan basah sudah tentu menjadi bebanan kepada pusat berkenaan dalam menyediakan makanan berkhasiat dan berkualiti kepada penghuni.

Jelasnya, berdasarkan makluman pihak pengurusan pusat terbabit mereka tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada sumbangan daripada penginfak untuk barangan itu kerana terpaksa juga menggunakan sumber kewangan sendiri bagi mendapatkannya di pasaran. 

“LZS memahami situasi ini dan akan mengkajinya secara mendalam khusus keperluan kadar sumbangan geran yang bersesuaian dengan peredaran masa dan peningkatan kos sekarang,” katanya ketika ditemui pada Program Semekar Aidilfitri 2023 LZS di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 18 April 2023.

Turut hadir pada program itu Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato' Orang Kaya To’ Engku Maha Bijaya Hulu Langat, To’ Ungku Abdul Jalil Abdul Rani; Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusuf; Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat, Ibrahim Selamat; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado; Pengerusi Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia (PKAFM), Nurul Atikah Mohd Azmi; Pengerusi Pusat Jagaan Insan, Mohammad Syafiq Mohiadin; dan wakil Pusat Jagaan Siti Nor Aini (PJSNA).


Penerima sumbangan geran tahunan Lembaga Zakat Selangor (LZS) merakam kenangan bersama  To’ Ungku Abdul Jalil (empat dari kiri) di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 18 April 2023.


Pada program berkenaan To’Ungku Abdul Jalil menyerahkan replika cek sebagai simbolik penyerahan bantuan sumbangan geran tahunan kepada empat pusat jagaan yang membabitkan kos sebanyak RM175,000. Mengikut pecahan sumbangan geran tahunan itu, PJMM menerima RM50,000, PKAFM (RM50,000), PJSNA (RM50,000) dan PJNH RM25,000. 

Saiful Anuar berkata, sumbangan geran tahunan itu adalah bertujuan membantu serta meringankan bebanan operasi pusat jagaan terbabit yang begitu komited menjaga serta menguruskan warga emas terutama yang terdampar tanpa waris atau disisihkan oleh ahli keluarga.

Menurutnya, pengurusan pusat jagaan berkenaan begitu bertanggungjawab memikul tugas membela warga emas itu berkenaan walaupun mereka tidak mengenakan sebarang bayaran dan operasi bergantung kepada sumbangan serta infak orang ramai.

Jelasnya, untuk mendapatkan sumbangan geran tahunan itu pula mereka terpaksa menghantar laporan perbelanjaan tahunan kepada LZS untuk dibuat semakan kerana perkara berkenaan satu keperluan wajib dilakukan. 

Tambahnya, selepas semakan serta mengkaji dalam pelbagai perkara sumbangan geran di bawah asnaf fisabililah itu akan diserahkan mengikut bilangan penghuni yang diselia di pusat jagaan berkenaan antara kadar RM15,000 dan RM50,000. 

“LZS berharap sumbangan geran tahunan ini dimanfaatkan sebagai mungkin pusat jagaan berkenaan dalam menyelenggaraan kelangsungan hidup warga emas yang amat memerlukan pembelaan serta disantuni dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.


Azman (kanan) memberi penerangan kepada To’ Ungku Abdul Jalil dan pegawai LZS mengenai penjagaan warga emas di PJMM.


Sementara itu, Azman berkata, pengurusan PJMM bersyukur masih diberi peluang untuk mendapat sumbangan geran tahunan berkenaan yang sememangnya banyak membantu dalam menampung kos operasi yang semakin meningkat. 

“Kami sentiasa memanfaatkan sumbangan geran ini disamping mengharapkan sumbangan serta infak dari pelbagai pihak termasuk korporat dan individu prihatin untuk turut bersama membela warga emas di PJMM,” katanya.

Nurul Atikah pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada LZS yang sudi membantu meringankan bebanan kos operasi PKAFM setiap tahun dalam menguruskan warga emas yang kebanyakannya uzur serta memerlukan perhatian rapi.

“Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai masalah kami tetap komited membela nasib warga emas ini yang sudah dianggap seperti ibu atau bapa sendiri apabila memerlukan mereka perhatian serta kasih sayang seorang anak,” ujar beliau.


Nurul Atikah menerima replika cek simbolik penyerahan bantuan sumbangan geran tahunan LZS yang disampikan oleh To’ Ungku Abdul Jalil.

27
15
0
15
0
You will be interested