Insan & Komuniti 31 Oct, 2023

Sembang-Sembang| Rezeki kita tak sama! Ada sebab Allah uji! Kita perlu usaha, positif, fokus, doa!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Mudah berkata. Hanya yang melaluinya sahaja yang faham dan tahu. Memang betul rezeki dan nasib kita berbeza.

Ada yang lahir dalam timbunan emas. Hendak apa semua dapat. Ada yang hidup sederhana, cukup makan, cukup pakai. Tapi hidup ditakuk lama. Tiada perubahan. Ada yang sejak lahir susah. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Kadang berlapar. 

Itulah kehidupan. Mahu tak mahu harus diterima dengan reda. Yang penting, apapun cara hidup yang kita lalui  bersyukurlah! 
'Saya kadangkala cemburu dengan  wanita yang hidup mewah. Ada semua. Wang ringgit, rumah besar, kereta mewah dan terbang ke sana sini tanpa ada halangan. 
"Bila teringat kehidupan yang saya lalui, saya menangis. Kenapa saya tidak seperti mereka," demikian mesej WhatsApp yang saya terima daripada seorang wanita yang menamakan dirinya Farah. 


Melihat bahagianya orang, kata Farah dadanya jadi sebak. Sedih hinggakan dia merasa putus asa untuk hidup. 

"Saya ada kawan-kawan yang sampai sekarang masih enjoy dengan kehidupan mereka sama seperti waktu bekerja. 

"Saya tidak nampak kesusahan mereka malah mereka sentiasa gembira. Pergi bercuti dalam dan luar negara. Membeli belah tanpa had, makan malam di tempat eksklusif sehingga saya berfikir banyaknya duit mereka, tak luak langsung " sambung Farah lagi. 

Apapun Farah sedar yang nasib dan rezeki manusia tidak sama. Ada yang lebih rezekinya. Ada yang sederhana dan ada yang hidup melarat. Kadangkala ada orang terpaksa berkorban demi kelangsungan hidup keluarga. 

"Macam saya perlu membesar 3 orang anak dan menanggung ibu bapa yang uzur. Perbelanjaan lain turut menjadi beban. 

"Apa nak buat  suami sudah meninggal tanpa meninggal harta dan simpanan untuk kami. Mujur saya bekerja ada juga duit pencen. Tapi begitulah.. Tidak pernah cukup," luah Farah. 


Lalu saya yakinkan Farah, Allah sayang semua hamba-Nya. Dia uji sebab Dia sayang. Dia tak bagi apa yang kita mahu tapi apa yang kita perlu. 
Mereka yang hidup atas timbunan emas ada juga ujian untuk mereka. Jangan Ingat banyak duit hidup mewah dan mereka bahagia. Mereka juga diuji sama seperti kita yang susah. 
'Bukan apa kak… kadang-kadang bila tengok orang post gambar-gambar mereka bercuti, makan makanan lazat dan membeli belah, hati saya tersentuh. 
"Selalu juga saya tanya diri sendiri, kenapa aku tidak seperti mereka… hinggakan ada masa anak anak merengek nak pergi bercuti macam kawan-kawan, saya pujuk mereka dan bawa balik kampung jenguk atok nenek sahaja. Itupun anak-anak dah seronok,"  tambah  Farah. 
Apapun kata Farah, dia reda dan belajar untuk menyenangkan hidup dengan apa yang ada. Yang penting  makan minum tak putus, anak-anak sihat dan dapat belajar dengan sempurna untuk masa hadapan mereka. 
"Saya bersyukur dapat menjaga kebajikan kedua-du orang tua dengan duit pencen yang saya ada. Mereka tidak saya abai walau tidak tinggal bersama saya. 
'Saya yakin ada rezeki kami anak beranak yang Allah sediakan dan doa ibu bapa saya. Biar di dunia hidup kekurangan di sana saya mengharapkan ketenangan abadi," jelas Farah menutup cerita. 


Yang betul Farah. Perlu ingat.. Allah Maha Adil. 
Diberi-Nya ujian berat, dianugerahkan pula dengan nikmat yang tersimpan pelbagai hikmah di dalamnya. Nikmat yang tidak kita nampak tapi dirasa dengan lapang dada dan ketenangan jiwa.
Semoga Farah dan famili dirahmati Allah sepanjang masa. - KitaReporters

9
11
0
10
0
You will be interested