Insan & Komuniti 15 Oct, 2023

PLKN 3.0: Bekas pelatih sokong diwujudkan semula! Peluang timba pengalaman! Pupuk jiwa patriotik!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Mungkin bagi generasi selepas tahun 2018 atau yang tidak sempat dan berpeluang merasai pahit manis menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), tertanya-tanya apakah yang dilalui mereka yang pernah menyertainya.

Malah, ada juga yang tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan PLKN. PLKN adalah sebuah kursus latihan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan persekutuan Malaysia. 

Ia mula digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara, dan memulakan program pada 2004. Peserta atau pelatih PLKN adalah remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dipilih secara rawak.

Namun program ini dimansuhkan pada 2018 oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah mendapati ia telah disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu.


PLKN 3.0 akan diwujudkan semula tidak lama lagi. - Kredit foto: Google Image.


Namun, pada Oktober 2023 program tersebut dikhabarkan akan diwujudkan semula. 

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, PLKN 3.0 akan dilaksanakan semula tetapi menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya.

Peserta akan menjalani latihan di 13 kem tentera Wataniah untuk latihan 45 hari. Program tersebut juga merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform. Manakala fasa kedua mereka yang selesai SPM. 

Sementara itu, beberapa orang bekas peserta PLKN terdahulu sudi berkongsi pengalaman pahit manis bersama pembaca KitaReportes ketika menyertai program tersebut. 


Nurzahirah Mahmood, 23.


Menurut Nurzahirah Mahmood, 23, yang merupakan peserta PLKN fasa satu tahun 2018 dan terakhir, kenangan ketika menyertai program tersebut tidak dapat dilupakannya. Paling tidak lupa, dia banyak belajar perkara baharu dan mendisiplinkan dirinya.

“PLKN sangat best. Sejujurnya di situlah kami dapat belajar sesuatu yang baharu. Malah, program itu dapat mendisiplinkan diri seseorang. Selain itu saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari negeri lain dan mempunyai semangat sepasukan. 

“Jadi, saya berharap pada PLKN patut diwujudkan semula bagi menambahkan jati diri seseorang ke arah kebaikan. Ia sangat bagus untuk kalangan remaja lepasan sekolah menengah. 

"Ia turut menambahkan keyakinan seorang remaja untuk mengharungi kehidupan alam pekerjaan atau alam di universiti,” ceritanya.


Bergambar kenangan bersama peserta lain pada tahun 2018.


Manakala bagi Siti Lyana Radzuan, 33, pada mulanya dia agar sukar untuk menyesuaikan diri kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga. Namun semua itu berubah setelah berjaya mengumpul rakan-rakan dari pelbagai negeri serta kaum. 

“Saya menyertai PLKN pada tahun 2008 ketika usia 18 tahun iaitu selepas tamat SPM. Saya ditempatkan di Kem Bakau Kerteh, Terengganu untuk kem PLKN kumpulan dua siri ke-5 tahun 2008 dalam pasukan Alpha. Saya ditugaskan sebagai ketua dorm pasukan Alpha.

“Pengalaman pahit saya ketika menyertai program tersebut apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Selangor. Ini pertama kali saya berjauhan dengan keluarga.


Siti Lyana Radzuan, 33.


“Selain itu, apabila saya jatuh sakit juga perlu sendirian mengurus diri contohnya demam panas dan kecederaan semasa aktiviti lasak. Walau bagaimanapun, kenangan manis lebih banyak ketika berada di kem PLKN.

“Antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ialah berkenalan dengan kawan-kawan baharu dari berbeza negeri, menjalani latihan fizikal yang mencabar seperti latihan menembak, kawad, latihan air di sungai dan laut, latihan mempertahan diri, latihan survival dan operasi di dalam hutan, aktiviti kemasyarakatan, berkawal malam di sekitar kem dan berbagai lagi. Selain itu, kami diterapkan nilai-nilai patriotik dan kenegaraan dalam modul kelas kenegaraan.

“Justeru, kewujudan semula PLKN adalah amat bagus kerana ia adalah kesempatan yang terbaik untuk menerapkan semangat patriotik, menanam semangat yang utuh dalam mempertahan agama, bangsa serta negara,” ujarnya bersemangat.


Kenangan manis ketika PLKN adalah dapat ramai rakan baharu dari serata negeri.


Nurliyana Atirah Mohd Ishak, 33.


Bagi Nurliyana Atirah Mohd Ishak, 33, pula, pengalamannya sepanjang menyertai PLKN telah berjaya membina sahsiah diri. Daripada seorang pemalu, dia tampil lebih yakin dan berani untuk ke depan.

“Saya menyertai PLKN pada tahun 2007 kumpulan satu siri lima di kem latihan Cheneh Cemerlang, Terangganu. Oleh kerana tidak biasa berjauhan dengan keluarga yang menetap di Selangor, pada mulanya saya agak sedih dan tertekan.

“Namun setelah berjumpa dengan kawan-kawan baharu, perasaan sedih itu hilang dan digantikan dengan rasa gembira. Pelbagai perkara baharu saya belajar. Dapat kenal dengan kawan-kawan dari pelbagai latar belakang memang menyeronokkan. 

"Boleh dikatakan skill dan modul yang diterapkan dalam program ini banyak membantu saya di alam perkerjaan kini. Daripada seorang yang pemalu dan sukar nak beri kerjasama sehingga jadi yakin dan berani ke depan. Jadi, apabila saya mendapat tahu PLKN bakal diwujudkan semula, saya sangat menyokong hasrat tersebut,” katanya. - KitaReporters


PLKN banyak mengajar Nurliyana menjadi lebih berani dan yakin.

12
5
0
12
0
You will be interested