Tokoh amal dan pendakwah bebas, Ebit Lew mendapat kenangan manis dalam hidupnya pada petang Ahad, 31 Januari 2021 kerana selain melakukan misi amal di Pulau Tetagan, Semporna, Sabah dia turut mengislamkan 157 orang penduduk suku kaum Bajau Laut yang juga dipanggil Gipsi Laut.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ebit Lew:
https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew
Ebit Lew mengIslamkan 157 Gipsi Laut atau Bajau Laut di Pulau Tetagan, Semporna, Sabah. - Kredit foto: FB Ebit Lew.
Namun tokoh ini yang juga dipanggil Ustaz Ebit sayu apabila melihat sekumpulan penduduk suku Bajau Laut yang tinggal dalam perahu dan pondok kecil atas laut dengan rela hati ingin memeluk Islam setelah menerima bantuan kemanusiaan itu.
Ebit menulis: "Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam.
"Mereka tiada kepercayaan agama. Mereka dari suku Bajau Laut, Semporna Sabah atau digelar Gipsi Laut, tinggal dalam bot atau pondok-pondok kecil atas laut dan hidup susah.
"Bajau Laut sebahagiannya adalah manusia tanpa negara, tidak mempunyai kad pengenalan."
Mereka berebut-rebut menantikan bantuan kemanusiaan Ustaz Ebit dan menemui tokoh amal itu.
"Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.
"Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah,” kata Ustaz Ebit dalam posting Facebook dan Instagramnya.
Ustaz Ebit berjanji untuk terus memberi makanan kepada seluruh penduduk kampung atas laut ini, juga sedang menguruskan pembinaan sekolah dan menggaji beberapa guru bagi memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak.
Dia juga akan mendapatkan beberapa guru agama untuk memberikan pengetahuan Islam di pulau itu.
“Ya Allah bantulah mudahkanlah diriku untuk pastikan anak-anak ini menjadi manusia berguna,” kata Ebit lew dalam postingnya lagi.
Berikut ialah posting penuh Ebit Lew dalam Facebook dan Instagramnya:
“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Mereka tiada kepercayaan agama. Dari suku Bajau Laut Semporna Sabah atau digelar gipsi laut.. Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut.
“Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara. Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.
“Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.
“Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah.
“Saya akan terus bantu makanan untuk seluruh kampung atas laut ini. Saya tengah urus untuk bina sekolah. Tengah cari guru ustaz untuk mengajar mereka. Saya akan bayar gaji guru-guru yang sedia mengajar disini.