Insan & Komuniti 02 Sep, 2021

Video| Tak perlu tunggu jadi pakar! Kongsi je ilmu yang ada dalam media sosial - Akashah Kassim

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Akashah Kassim lebih dikenali sebagai Cikgu Online dalam kalangan sahabat dalam alam maya. - Kredit foto: Koleksi Peribadi Akashah Kassim


DIKENALI sebagai Cikgu Online, wanita berusia 36 tahun ini sentiasa kreatif membuat perkongsian dalam laman Facebook. Antaranya memuat naik video berbentuk kartun, kata-kata hikmah serta pelbagai gambar yang menyuntik motivasi buat para sahabat di alam maya dan menerusi platform media sosial.

Bertugas sebagai pensyarah di Politeknik METrO Kuantan, Akashah Kassim, mengakui sebelum ini dia jarang membuat perkongsian sedemikian. Namun, apabila terpilih sebagai perantis dalam Akademi Bonda Nor, dia sedar akan tanggungjawab yang ada dalam diri.

"Ilmu jika tidak disebarkan ia akan hilang begitu sahaja apabila kita mati. Namun, manfaatnya akan berpanjangan jika dikongsi bersama khalayak. Kata-kata Bonda Nor ini menyebabkan saya bersemangat untuk berkongsi maklumat dan panduan bersama sahabat dalam media sosial," kata Akashah.


Lagi cerita-cerita menarik


Karakter kartun yang dihasilkan oleh Akashah menggunakan aplikasi Zepeto yang menjadi ikutan buat rakan-rakan dalam Facebook.



Tambah anak kelahiran Johor ini, keterujaannya menerokai ilmu online menjadi suatu terapi dalam diri. Ia seolah-olah menjadi satu kepuasan buatnya terutama apabila ilmu tersebut berjaya diaplikasi oleh sahabat-sahabatnya.

Menyedari kepentingan mempelajari ilmu ini pada masa kini, latar belakang pendidikan yang berbeza bukanlah penghalang untuk menyelami ilmu online. Apa yang penting semangat untuk mempelajari sesuatu yang baru.

Menggalas tanggungjawab sebagai pegawai e-learning jabatan selama enam tahun di politeknik, membuat dia bertekad untuk berkongsi semua ilmu yang diperolehi kepada rakan sejawat.

“Ilmu yang baik memang baik untuk dikongsi. Saya menyedari setiap kali perkongsian dibuat, semakin banyak ilmu baru dapat diterokai. Seolah-olah Allah melorongkan setiapnya dengan sesuatu yang lebih baik apabila ramai yang mendapat manfaatnya.

“Sebenarnya, saya mula aktif berkongsi maklumat secara maya bermula tahun 2009 melalui laman blog. Posting yang menjadi tumpuan bagi saya ialah berkaitan kata-kata puisi, aktiviti pelancongan, dan perkongsian online. Kadang-kadang saya kongsikan semula pengalaman baru untuk rujukan pembaca,” jelasnya.


Minat untuk berkongsi ilmu dimulakan wanita ini melalui penulisan blog Coretan Akashah sejak tahun 2009.


Minat tersebut bercambah apabila turut dilantik sebagai admin (pentadbir) media sosial dan jawatankuasa multimedia jabatan selama 4 tahun. 

Kesibukan dengan tugas hakiki sebagai pensyarah Diploma Pengurusan Pelancongan tidak menghalang tugas-tugas berkongsi dan melaporkan setiap aktiviti melalui penceritaan, gambar dan video. Malah menjadi satu rutin untuk bertugas menyiarkan setiap aktiviti setiap kali majlis berlangsung.

“Kadang-kadang terpaksa bawa kamera DSLR, tetapi selalunya menggunakan smartphone sendiri sahaja. Tak apalah galeri penuh pun, asalkan puas hati,“ ujarnya.

Sehingga kini, Akashah aktif dalam usaha perkongsian ilmu melalui media sosial Facebook dengan #kashahtutorial tentang tip-tip pengajaran dan pembelajaran, video, suntingan gambar dan sebagainya.


Salah satu perkongsian Akasha tentang cara membuang latar belakang dan ditukar dengan yang baru. 



“Selalunya idea perkongsian tersebut datangnya daripada soalan rakan-rakan tentang sesuatu berkaitan online. Soalan yang berulang menyebabkan saya mewujudkan # atau tandapagar kashahtutorial supaya mudah dicari. Apabila ada yang bertanya, saya hanya perlu mencari dan kongsikan urlnya sahaja.”

Kini, dia selangkah lagi ke hadapan, menyahut cabaran Akademi Bonda Nor untuk membuat perkongsian secara live bermula tahun 2020. Bertitik tolak daripada itu, dia mula aktif melakukan beberapa siri perkongsian online.

“Saya tak menunggu untuk menjadi pakar dalam sesuatu ilmu online. Apabila berjaya sahaja mencuba, saya terus menghebahkan ilmu tersebut. 

"Selalunya semakin banyak ilmu yang dikongsi, berkat doa semua semakin banyak ilmu baru yang diperolehi. Biasanya yang menonton pun berkongsi ilmu secara tidak langsung. Seronok!” jelasnya.

Norma baharu menyebabkan ramai guru, ibu bapa dan pelajar mencari perkongsian santai berkaitan ilmu online. 

Dalam erti kata lain, sesi perkongsian yang dicari ialah yang menggunakan terma yang mudah difahami semua. Ia perlu sebagai inisiatif membuat tunjuk cara secara live dalam media sosial lebih berkesan. 


Akashah juga rajin membuat perkongsian secara live dalam laman Facebook. 


Malah, keperluan untuk menyediakan bahan mengajar, video pembelajaran dan animasi ringkas mampu menarik perhatian. Ada ketika perkongsian kata-kata hikmah dibuat secara santai melalui poster, video kartun dan apa sahaja aplikasi suntingan yang boleh diterokai secara percuma.

“Keterujaan rakan-rakan mencuba dan respons setiap kali sedang atau tamat sesi live menjadi satu motivasi untuk terus berkongsi. 

"Satu jam perkongsian secara live untuk ilmu yang ringkas dan dapat diulang-tayang sangat membantu mereka yang memerlukan. Bahagia rasanya apabila setiap kali perkongsian dibuat, hasilnya dikongsikan oleh rakan-rakan yang menonton live, membaca perkongsian dan sebagainya. Alhamdulillah," katanya lagi.

Kadangkala Akashah mengakui, ada juga rasa malas untuk berkongsi, tetapi apabila teringat pesanan ibunya, dia kembali bersemangat.


Ibu Akashah (kiri) sentiasa memberi semangat buat anaknya untuk terus berkongsi ilmu yang dimiliki sebagai bekal di alam yang abadi.


“Jangan cepat putus asa. Bila sudah bermula, teruskan sahaja. Semoga dengan usaha yang sedikit ini, dapat memberi manfaat buat yang menerima. Kita tak kaya, jadi gunakanlah kekayaan ilmu itu sebagai harta di alam sana," pesan ibunya yang sentiasa tersemat di hati.

Tidak terhenti di situ sahaja, Akashah juga mula berkongsi rakaman video untuk tutorial ringkas yang dirakam melalui YouTube Channel sebagai permulaan untuk rujukan yang memerlukan.

“YouTube Channel ini baru lagi diaktifkan semula. Itupun selepas mula menyedari bahawa ia lebih mudah diakses berbanding media sosial yang lain untuk dijadikan rujukan. 

"Prinsip yang saya pegang, apa sahaja ilmu ringkas pada kita, kongsikan. Mungkin ia biasa bagi kita, tapi bermakna buat yang membaca. Insya-Allah,” katanya mengakhiri bicara.

Terima kasih Akashah. Semoga ilmu yang dikongsi menjadi ilmu yang bermanfaat untuk dituai hasilnya di akhirat sana. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim) - KitaReporters


6
0
1
0
0
You will be interested