Insan & Komuniti 18 Dec, 2020

Masih ada yang prihatin! 50 artis veteran terima sumbangan!

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

SEIRING dengan peredaran masa, ramai dalam kalangan golongan artis veteran semakin kurang menjadi pilihan  pengarah dan penerbit untuk mengambil mereka bekerja. Bila sudah tidak memperoleh pekerjaan bermakna sumber pendapatan turut terjejas kerana kebanyakannya kurang berkemahiran melakukan pekerjaan selain beraksi di hadapan lensa kamera. : KitaReporters


Salah seorang artis veteran menerima bantuan yang disampaikan oleh Rahmah Jan Sulaiman Khan dan Khatijah Ibrahim dalam satu majlis penyerahan di Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ditambah pula dengan pandemik Covid 19 di mana arahan pihak kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  merencatkan lagi industri seni, sekali gus mengurangkan aktiviti pembikinan drama  dan filem baharu.  

Bagaimanapun nasib mereka tidak diabaikan apabila tampilnya pihak yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan.

Bertempat di Balai Rukun Tetangga Taman Dato Senu, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung majlis penyerahan bantuan oleh ahli perniagaan yang berasal dari Sabah, Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan yang berganding bahu dengan  penyanyi Dato’ Khadijah Ibrahim.


Khatijah Ibrahim (kanan) berganding bahu dengan Rahmah Jan Sulaiman Khan dari Sabah melakukan kerja amal dengan menyampaikan sumbangan kepada artis veteran dan berharap lebih ramai pihak yang berkemampuan menyokong usaha yang mereka lakukan  dan sama-sama menghulurkan bantuan.


Khatijah ketika ditemui berkata, hasrat menyalurkan bantuan tersebut telah dinyatakan secara spontan oleh sahabatnya itu dan beliau sebagai mewakili golongan artis telah menghubungi Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM).

“Apabila Datuk Rahmah Jan menyatakan hasrat untuk membantu artis-artis veteran saya sangat berbesar hati dan  terus menghubungi kakak, Sophia Ibrahim bagi tujuan mengumpulkan nama penerima. Kami menghubungi PKAVM dan dalam tempoh sehari saya bergegas ke pasar raya untuk membeli barangan sumbangan.

“Alhamdulillah hari ini, sumbangan wang poket dan bantuan makanan asas mungkin untuk keperluan beberapa hari ini  dapat disampaikan. Kami tidak akan berhenti di sini sahaja kerana akan sedaya upaya membantu menyalurkan lebih banyak lagi pada masa akan datang,” katanya. 


Kredit foto-foto: FB Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia


Menurut Khatijah pihaknya menyasarkan bantuan kepada 100 orang artis veteran pada majlis tersebut namun yang hadir sekitar 50 orang sahaja dan beliau memahaminya atas pelbagai masalah.

"Kita  juga akan berusaha mendapatkan alamat artis veteran yang tidak sihat dan kurang kemampuan untuk kita hantar sendiri sumbangan ke kediaman mereka. Selepas ini kita akan mencari jalan untuk memajukan aktiviti-aktiviti yang mampu membantu menjana pendapatan para artis veteran,” ujarnya.

Di majlis yang sama mereka  sumbangan yang sama turut disampaikan kepada 50 asnaf setempat.



Sementara itu, Rahmah berkata, beliau dan Khatijah aktif dan sering melakukan kerja amal kepada sesiapa sahaja baik di Sabah atau di Semenanjung.

“Bagaimanapun ini yang pertama kali melibatkan artis veteran dan selepas majlis ini akan ada kesinambungannya pada masa akan datang,” katanya.

Presiden PKVAM, Dato Tumiran Mohd Kasdi pula berkata, pihaknya menghargai  keprihatinan pihak-pihak yang berkemampuan yang tidak melupakan mereka.

“Pemberian mereka hari ini berupa  wang tunai, keperluan makanan asas seperti beras, tepung dan gula sangat dihargai dan memberi makna. Kami mengucapkan ribuan terima kasih dan berharap usaha yang dilakukan oleh mereka memberi inspirasi kepada golongan yang berkemampuan di luar sana untuk terus menyumbang,” katanya.



Sementara itu pelakon Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, ketika ditemui berkata, PKVAM sentiasa mencari jalan agar golongan sepertinya terbela.

“Alhamdulillah, ini sumbangan ketiga yang saya terima daripada persatuan sejak PKPB yang sentiasa berusaha agar kami pelakon vateran mendapat sumbangan. Saya terharu dan bersyukur kerana  percaya  setiap yang baik pasti kebaikan juga balasannya,” katanya.

Norlia Ghani pula ketika ditemui berkata, bantuan seumpama itu besar ertinya kepada pelakon veteran yang telah terputus pekerjaan.

“Macam bantuan dapur hari ini, ianya sangat mustahak kerana ada dalam kalangan kami yang telah lama tidak mendapat tawaran berlakon dan hilang pendapatan.

“Saya sendiri juga mengalami nasib yang sama sudah kurang pekerjaan berlakon dan tidak juga pandai berniaga atau ada aktiviti lain. Bagaimana pun sesekali ada juga pengarah yang masih memberikan peluang seperti Rashid Shibir dan dua tiga pengarah lain. Jadi besarlah harapan agar pihak lain di luar sana yang mempunyai rezeki lebih agar berkongsi dengan yang memerlukan,” ujarnya.


Kredit foto-foto: FB Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia


Bagi pelakon Rashidah Jaafar mengakui turut mengalami nasib yang sama apabila tawaran ke set pengambaran hanya datang sekali sekala.

“Masih ada tawaran siki-sikit  dan boleh menambah pendapatan namun kita juga mempunyai keluarga  yang perlu ditanggung. Jadi sumbangan hari ini sangat dihargai dan saya ucapkan terima kasih.

“Usaha persatuan mencari tajaan sangat dihargai terutama kepada pihak pengurusan tertinggi. Kepada pihak di luar sana berilah sokongan kepada PKVAM  dan bantulah artis yang kurang mata pencarian dan tidak yakin pula melakukan pekerjaan lain,” katanya. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested