Insan & Komuniti 29 Nov, 2020

Video| Ini Frank William! Penjenayah paling licik di dunia!

@desi ernita dahnin
Bertugas sebagai wartawan lebih 20 tahun di beberapa buah syarikat penerbitan. Terakhir di syarikat Utusan dan kini menjadi penulis bebas.

Share this

PERNAHKAH anda menonton filem Catch Me If You Can yang diterbitkan pada tahun 2002? Watak utama dalam filem tersebut dilakonkan oleh aktor Leonardo Dicaprio. Tahukah anda, watak sebagai penipu paling licik dalam filem itu sebenarnya memang wujud? : KitaReporters


Frank William Abagnale


Lagi kisah-kisah berkaitan Hollywood:

https://kitareporters.com/search?search=Hollywood


Watak si penipu yang mahir dalam filem itu diinspirasikan daripada seorang lelaki bernama Frank William Abagnale, seorang penjenayah yang terkenal kerana kelicikannya. 

Frank bersama tiga beradiknya membesar di New York. Sewaktu dia berusia 16 tahun, kedua-dua ibu bapanya bercerai. Boleh dikatakan, perceraian tersebut telah mengubah diri Frank. Hidupnya jadi tidak menentu dan mula mengubah Frank menjadi seorang penipu.

Bagaimana?



Ayah Frank adalah orang kaya yang arif dalam selok-belok politik dan perniagaan. Sebab itu Frank terpengaruh untuk menjadi kaya seperti ayahnya. Oleh itu, mangsa pertama penipuan Frank ialah ayahnya sendiri.

Kad kredit yang diberikan oleh ayahnya untuk kegunaan mengisi minyak kereta telah disalahgunakan untuk berjoli. Frank turut memalsukan resit pembayaran bagi tujuan berpesta dan membeli bermacam-macam barangan aksesori kereta. Barangan tersebut dijual semula untuk mendapatkan wang tunai.

Apabila penipuan pertama berhasil, Frank cuba menipu bank dengan memalsukan cek pula. Dia melakukan penipuan itu dengan cara membuka akaun baru di bank lain menggunakan identiti palsu yang direkanya sendiri. Salah satu trik penipuannya yang terkenal, dia menghasilkan nombor cek palsu sama seperti nombor cek asli keluaran bank. Salinan cek itu kemudian didepositkan ke dalam beberapa jenis akaun sebelum mengeluarkan wang daripada akaun terbabit.

Apabila penipuannya itu terbongkar, Frank beralih pula kepada bidang penyamaran.


Antara penyamaran yang dilakukan Frank.


Penyamaran pertamanya sebagai pilot ‘Pan American World Airways’. Frank berjaya memalsukan lesen juruterbang dan mendapatkan pakaian seragam dengan cara menipu pihak syarikat kononnya dia kehilangan pakaian seragam. Dalam ‘kerjaya’ tersebut, beliau telah terbang lebih daripada 250 kali ke 26 buah negara dengan menempuh jarak sejauh 1,609,344 kilometer.

Penyamaran itu dilakukan selama bertahun. Sepanjang waktu itu, dia menikmati segala kelebihan sebagai seorang pilot seperti penginapan hotel dan makanan percuma. Pernah dia diarahkan oleh juruterbang sebenar menerbangkan sebuah pesawat pada ketinggian 9,100 meter daripada aras laut. Apa yang dilakukan oleh Frank hanya mengaktifkan mod auto pilot kerana tidak tahu cara pemanduan sebenar.

Selepas bergelar juruterbang, dalam penyamaran seterusnya Frank menggunakan identiti sebagai Frank Adams untuk bekerja selama satu semester di Brigham Young University sebagai pensyarah sosiologi.

Apabila polis memburunya, Frank memperlahankan kegiatan jenayahnya dengan berpindah ke Georgia. Di sana, Frank menyamar sebagai seorang doktor kanak-kanak menggunakan identiti sebagai Frank Connor. Tugas itu mudah kerana dia hanya mengarahkan doktor pelatih untuk mengendalikan kes.

Namun, suatu hari pembohongannya hampir terbongkar apabila dia tidak memahami istilah ‘blue baby’ yang diberitahu oleh jururawat hingga hampir meragut nyawa seorang bayi.



Selepas itu, Frank menyamar lagi. Kali ini sebagai seorang peguam pula. Caranya, dia memalsukan sijil kelayakan dari Harvard University dan menyamar sebagai pelajar di Harvard Law School. Ketika itu, Frank baru berusia 19 tahun. Taktik itu berjaya membuat dia diterima bekerja di pejabat Louisiana Attorney General selepas lulus ujian. Genap lapan bulan bekerja sebagai peguam, Frank berhenti apabila identitinya semakin dicurigai.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Begitulah dengan Frank apabila pembohongannya terbongkar.

Pada tahun 1969 ketika berusia 21 tahun, Frank diberkas polis sewaktu berada di Montpellier, Perancis setelah dilaporkan oleh bekas kekasihnya, seorang pramugari.

Selepas menjalani hukuman, dia dibawa ke Sweden untuk dibicarakan atas dakwaan pemalsuan cek dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara di Malmo, Sweden. Selepas itu, Frank dihantar pulang ke Amerika Syarikat dan dihukum penjara selama 12 bulan. Tetapi, Frank sempat melarikan diri.

Lelaki licik ini berjaya meloloskan diri daripada pesawat yang sedang bergerak di landasan dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat. Frank berlari ke tepi landasan dan memotong pagar sebelum pergi ke Grand Central Terminal. Wang dalam peti simpanan sebanyak puluhan ribu dikeluarkannya lalu meneruskan perjalanan ke Brazil. Namun rancangannya itu berjaya digagalkan oleh pihak polis Kanada.


Filem yang diinspirasikan dari kisah Frank.


Pada tahun 1974, hukuman penjara Frank dikurangkan dengan syarat dia membantu pihak kerajaan dalam membanteras jenayah pemalsuan cek tanpa sebarang gaji.

Setelah bebas, Frank meneruskan kehidupan seperti biasa dengan mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai penjual sayur. Tetapi sukar untuknya mencari pekerjaan kerana tidak memiliki rekod yang baik.

Lalu Frank memohon kerja di bank. Untuk mendapatkan pekerjaan itu, dia menunjukkan segala macam trik yang digunakan untuk memalsukan cek. Sejak itu, bermulalah kerjaya Frank sebagai perunding keselamatan kewangan.

Selepas itu, beliau menubuhkan syarikat perunding keselamatan kewangannya sendiri, Abagnale & Associates. Beliau menawarkan khidmat nasihat kepada pelbagai badan organisasi termasuk FBI mengenai masalah penipuan dan cara mencegahnya.


Frank bersama aktor Leonardo Dicaprio yang melakonkan wataknya dalam filem 'Catch Me If You Can'.


Menetap di South California, pada usia 72 tahun kini hidup Frank sudah lengkap. Ada perniagaan sendiri, hidup bahagia bersama isteri dan tiga orang anaknya. Salah seorang anaknya bekerja sebagai anggota FBI, organisasi keselamatan yang pernah memburunya satu ketika dahulu.

Sebahagian hidupnya dahulu dihabiskan dengan kegiatan penipuan, pemalsuan dan penyamaran sehingga dia dikenali sebagai antara penjenayah paling licik di dunia, dan mampu memperdayakan bank di 12 buah negara.

Kisah hidup Frank pernah ditulis dalam sebuah biografi berjudul ‘Catch Me If You Can’ yang diterbitkan pada tahun 1980. Biografi itu kemudian diangkat ke layar perak dalam filem dengan judul yang sama, di mana watak Frank sebagai penjenayah licik dilakonkan oleh aktor Leonardo Dicaprio. - KitaReporters



1
2
0
0
0
You will be interested