SETELAH hampir lima bulan bertarung melawan Covid-19, akhirnya Dr Hu Weifeng, 42, pakar urologi di Hospital Pusat Wuhan, China tewas dan meninggal dunia pada Jumaat 29 Mei 2020. Secara tidak langung ia mencetuskan satu kematian baharu akibat Covid-19 di Wuhan, di mana virus penyakit mula dikesan akhir tahun 2019. : KitaReporters
DR. Hu Weifeng meninggal dunia pada 29 Mei 2020 di Hospital Tongji, Wuhan selepas hampir lima bulan menjalani rawatan. - Kredit Pear Video
Kisah Dr. Hu dijangkiti virus Covid-19 dan dirawat bersama seorang lagi rakannya, Dr Yi Fan, 42, pakar kardiologi, mendapat publisiti meluas kerana mereka merupakan rakan kepada Dr Li Wenliang, pakar mata, yang mula-mula memberi amaran mengenai virus Covid-19 ini dalam kalangan rakan-rakan pegawai perubatan.
Bagaimanapun tindakan Dr. Wenliang ini telah mendatangkan kemarahan kepada kerajaan China kerana menganggap dia menyebarkan berita tidak benar.
Akibatnya segala pergerakannya diawasi sehingga mendatangkan ketakutan dan tekanan kepada doktor berkenaan.
DR. LI Wenliang, pakar mata dan 'pemaklum' serangan Covid-19, meninggal dunia pada 7 Februari 2020. -Kredit Wuhan Central Hospital.
Bagaimanapun ternyata apa yang disebarkan oleh Dr. Wenliang ini benar.
Covid-19 bukan sahaja merebak di China dan meragut hampir 4,700 nyawa, tetapi juga merebak ke seluruh dunia dengan kematian ratusan ribu orang.
Dr. Wenliang sendiri dijangkiti Covid-19 ketika bertugas dan meninggal pada 7 Februari 2020.
Dalam pesanan terakhir sebelum meninggal, dia menyatakan kesal kerana peringatannya diambil ringan oleh kerajaan sehingga menyebabkan Covid-19 menjadi wabak di seluruh China, terutama di Wuhan, serta menular ke negara-negara lain.
DR. YI FAN beransur pulih dan sudah dibenarkan keluar hospital. - Kredit foto: Wuhan Central Hospital.
Kisah Dr. Wenliang dan kisah Dr. Hu Weifang serta Dr. Yi Fan yang juga dijangkiti virus Covid-19 ketika bertugas sebelum ini pernah disiarkan dalam KitaReporters.
Dr. Hu dan Dr. Yi menerima rawatan intensif di Hospital Tongji, Wuhan setelah mereka disahkan positif Covid-19 pada Januari 2020 lalu.
Mereka menerima bantuan alat pernafasan dan diberi dos ubat sehingga menyebabkan warna kulit cerah bertukar menjadi hitam, dipercayai akibat kesan ubat berkenaan.
Dr. Yi beransur sihat selepas dirawat dan boleh bergerak perlahan-lahan serta bercakap. Dia sudah dibenarkan keluar hospital.
KEADAAN Dr. Hu Weifeng ketika menerima rawatan Covid-19 di Hospotal Tongji. Kulitnya bertukar menjadi kegelapan. - Kredit Beijing TV Station.
Bagaimana pun Dr. Hu tidak bernasib baik. Walau pun pada peringkat awal rawatan, ada tanda-tanda positif dan dia sudah didipindahkan ke wad biasa dari unit rawatan rapi (ICU), tetapi kegembiraan ini tidak berlanjutan.
Akibatnya dia dipidahkan semula ke ICU.
Difahamkan virus Covid-19 bukan sahaja telah merosakkan organ dalamannya tetapi juga telah merosakkan otaknya.
Memetik laporan The Sun (UK), Dr. Hu menjalani pembedahan otak pada 22 April 2020.
Dia koma dan terlantar di atas katil hingga saat meninggal dunia di Hospital Tongji, Wuhan.
Namun sehingga kini, Hospital Pusat Wuhan di mana Dr. Hu bertugas belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kematiannya.
DR. Mei Zhongming, pakar mata, meninggal dunia pada 3 Mac 2020. - Kredit foto: Wuhan Central Hospital.
Dengan kematian Dr. Hu Weifang, sekurang-kurangnya lima pegawai perubatan dari Hospital Pusat Wuhan meninggal kerana jangkitan Covid-19 ketika bertugas.
Menurut laporan Daily Mail Online, selain Dr. Hu dan Dr. Wenliang, mereka yang terkorban ialah Dr Mei Zhongming, 57; dan Dr Zu Heping, 67. Kedua-duanya pakar mata.
Seorang lagi ialah Dr Jiang Xueqing, 55, Ketua Bahagian Tiroid (kelenjar) dan Pembedahan Payudara di hospital berkenaan.
Kesemua mereka meninggal pada bulan Mac 2020.
DR. JIANG Xueping, pakar tiroid dan pembedahan payudara meninggal dunia pada 1 Mac 2020. - Kredit foto: Wuhan Central Hospital.
DR. ZU Heping, pakar mata, meninggal dunia pada 9 Mac 2020. - Kredit foto: Wuhan Central Hospital.
Selain itu, menurut laporan The Sun (UK), Laporan Suruhanjaya Kesihatan China pada Februari 2020 mencatatkan 3,387 pekerja kesihatan dijangkiti vorus Covid-19 ketika bertugas. - KitaReporters.com