Insan & Komuniti 30 May, 2020

Baiki rumah rosak kena ribut! Rahmat dapat sagu hati PKPB!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

KESEDIHAN Rahmat Ahamat, 49, dan keluarga menyambut Aidilfitri lalu terubat apabila menerima sumbangan sagu hati Bantuan Bencana Alam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka. Sumbangan itu diberikan kepada Rahmat berikutan sebahagian daripada rumah empat biliknya di Kampung Alai mengalami kerosakan teruk selepas ranap dipukul ribut dalam kejadian hujan lebat enam hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri pada 24 Mei 2020. : KitaReporters

Atap bilik yang runtuh itu turut menghempap sebuah kereta Rahmat.


Wang sagu hati berkenaan disalurkan oleh Pejabat Daerah Melaka Tengah dan diserahkan pada 27 Mei 2020 untuk meringankan bebanan penduduk yang ditimpa bencana alam terutama dalam Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membanteras penularan Covid-19.

Penghulu DUN berkenaan, Ridzuan Mohamad Ripin yang menyampaikan sumbangan itu berkata, wang sagu hati itu diharap dapat membantu kos membaik pulih bilik rumah Rahmat yang rosak. 

Turut hadir pada majlis ringkas itu, Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Bukit Punggor, Azadi Mohd Diah.


Ridzuan Mohamad Ripin (dua dari kiri) sedang menyerahkan cek sagu hati kepada Rahmat sambil diperhatikan oleh Azadi Mohd Diah (kiri). 


Menurutnya, sebagai Penghulu, beliau dan JPKK yang dilantik sentiasa diingatkan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) kawasan itu yang juga ahli Exco Pendidikan, Sains & Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad untuk ambil peduli nasib rakyat terutama yang ditimpa bencana.

“Setiap laporan yang diterima daripada penduduk khusus membabitkan bencana alam, kemiskinan dan sebagainya, penghulu dan JPKK akan segera bertindak untuk menyiasat aduan yang diterima bagi memastikan bantuan segera dapat dihulurkan,” katanya.

Noor Effandi  Ahmad


Sementara itu, Rahmat yang dihubungi melahirkan rasa bersyukur kerana mendapat perhatian dan pertolongan pelbagai pihak untuk membantu dia dan keluarga membaik pulih bahagian rumah yang rosak itu.

Beliau berkata, ketika kejadian itu dia dan isterinya, Norma Mohd Aman berserta empat anak berada di Jasin untuk melihat kebunnya yang lama terbiar sejak PKP dilaksanakan.

Rahmat Ahamat


“Kira-kira jam 2 petang ketika berada di kebun itu saya menerima panggilan telefon daripada adik yang memaklumkan salah satu bilik rumah runtuh dipukul ribut, manakala atap bilik itu menghempap kereta.

“Saya tanpa berlengah terus pulang ke rumah dan berasa amat terkejut apabila melihat bilik yang runtuh itu.

"Bagaimanapun bernasib baik kerana bahagian dapur boleh digunakan untuk membuat persiapan Aidilfitri ala kadar sahaja tahun ini,” katanya.

Sebuah daripada empat bilik rumah Rahmat yang rosak teruk dipukul ribut enam hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. 

20
0
1
0
0
You will be interested