PERNAHKAH anda mendengar kisah keris yang boleh berdiri sendiri? Atau cerita mengenai keris yang mampu ‘menari’ tanpa dikendalikan oleh sesiapa?
Ia adalah antara kisah-kisah mistik yang sering dikaitkan dengan senjata itu terutama keris berusia ratusan tahun, diwarisi daripada generasi terdahulu.
Apakah cerita itu benar atau ia sekadar rekaan?
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ular
S Amin Shahab mempunyai koleksi pelbagai jenis keris sama ada lama atau baharu selepas menjadi pengumpul keris sejak 1996.
Bagi penulis lirik terkenal, S Amin Shahab yang kini merupakan salah seorang pengumpul keris, cerita-cerita aneh yang
dikaitkan dengan keris tidak boleh ditolak bulat-bulat namun pokok pangkalnya bergantung
pada niat seseorang.
“Orang-orang zaman dahulu contohnya, gemar menuntut ilmu batin dan setiap keris yang mereka miliki mempunyai ‘pendampingnya’. Jadi, unsur-unsur mistik memang sukar dielakkan.
“Mungkin juga masih ada orang zaman sekarang yang mengamalkan ilmu sebegitu serta menyimpan keris untuk tujuan tertentu tapi tidak ramai. Kebanyakannya menjadi ‘collector’ kerana hobi bukan kerana niat lain.
Cerita keris berdiri sendiri atau boleh menari memang saya pernah dengar. “Ada juga yang berkata keris perlu ‘dimandikan’ dan 'dijamu'.
Menurutnya, beliau sendiri menjadi pengumpul keris atas dasar minat ke atas senjata lama yang menjadi lambang kepahlawanan Melayu dahulu malah memasang niat mahu menjaga warisan itu agar tidak luput ditelan zaman.
Beliau tidak menolak pernah mendengar cerita misteri mengenai keris sebagaimana yang sering disampaikan dari mulut ke mulut.
“Cerita keris berdiri sendiri atau boleh menari memang saya pernah dengar tapi saya sendiri tidak pernah mengalaminya. Ada juga yang berkata keris perlu ‘dimandikan’ dan ‘dijamu’.
"Tapi saya tidak pernah buat sebaliknya saya jaga keris sebagaimana saya jaga barang-barang saya yang lain. Bila nampak berkarat atau berhabuk, saya akan mencuci atau mengelapnya. Tiada upacara-upacara tertentu untuk ‘memandikannya'.
Amin menunjukkan antara koleksi keris dimilikinya yang diletak khas di sudut ruang tamu rumahnya.
“Begitu pun saya tak boleh kata perkara itu sebagai karut kalau ia dilakukan oleh orang lain.Ia bergantung pada diri serta kepercayaan atau keperluan masing-masing,” kata Amin.
Malah, menurut Amin, berdasarkan pengalamannya sendiri, unsur-unsur mistik memang tidak dapat dielak untuk dikaitkan dengan keris terutama keris yang berusia puluhan atau ratusan tahun.
“Apa yang saya alami agak aneh dan saya percaya ia berkait dengan keris. Tapi, itulah pengalaman pertama dan terakhir saya yang pasti saya ingat bila bercerita mengenai keris,” ujar Amin memulakan cerita.
Pemilik asal keris itu adalah seorang bomoh tapi sudah meninggal dunia. Bila saya buka balutan kain hitam, terdapat keris dan gumpalan rambut di dalamnya.
Menurut Amin, pada suatu hari seorang sahabat menyerahkan sebilah keris yang dibalut dengan kain hitam yang agak lusuh.
“Kata sahabat saya, pemilik asal keris itu adalah seorang bomoh tapi sudah meninggal dunia. Dia tanya adakah saya berminat menyimpannya? Tanpa fikir panjang, saya kata ‘ya’.
“Bila saya buka balutan kain hitam itu yang diikat dengan tali belati, terdapat keris dan gumpalan rambut di dalamnya. Keris itu pun kelihatan tak berjaga, tak cantik, berdebu dan berkarat.
“Tanpa berfikir panjang, saya bakar kain hitam, tali belati dan gumpalan rambut itu, sementara keris pula saya rendam untuk hilangkan karatnya,” cerita Amin.
Bagi Amin, ia adalah proses biasa yang selalu dilakukannya setiap menerima atau membeli keris. Tapi, kali ini beliau mengalami suatu keanehan yang tidak pernah dilalui sebelum ini.
“Badan saya tiba-tiba berasa seram sejuk, bulu roma tegak. Saya mula terfikir, adakah ia berpunca daripada keris yang baru saya terima itu. Tapi, saya cuba melawan perasaan itu, saya fikir ‘Ah, tak mungkin.'
“Petang itu saya keluar tapi rasa seram sejuk itu tidak hilang. Saya menjadi resah, gelisah dan asyik teringatkan keris itu.Tapi, saya teruskan aktiviti saya macam biasa, malam baru saya balik.
Gambar hiasan... Seekor ular hitam yang didakwa sebagai 'pendamping' keris menunggu kepulangan Amin. - Kredit foto: Media sosial
“Apabila saya balik, saya terkejut apabila terserempak dengan seekor ular berwarna hitam tak jauh dari rumah saya tapi ia tidak menyerang, sekadar berlengkar di situ.
“Masuk dalam rumah, saya menelefon sahabat yang memberi keris berkenaan dan menceritakan kejadian yang berlaku. Barulah dia buka cerita bahawa keris itu memang mempunyai ‘pendamping’ dan dia syak ular itulah pendampingnya.
“Dia menasihati saya supaya membuang keris itu jika tidak sanggup menjaganya. Malam itu, kira-kira pukul 12:00 malam saya campak keris tersebut ke sungai. Selepas melakukan begitu, keadaan saya kembali normal, ular itu tak muncul lagi,” cerita Amin.
Sejak itu menurut Amin, beliau sangat berhati-hati sebelum membeli atau menerima keris daripada seseorang bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Amin yang mula menjadi pengumpul keris sejak 1996 sanggup menjelajah ke seluruh pelosok Malaysia dan Nusantara untuk mencari keris, tidak kira keris lama atau baharu.
Pada satu ketika, beliau memiliki hampir 100 bilah keris tapi kini sudah berkurangan selepas menjual kepada pengumpul keris lain yang berminat ke atas keris miliknya.
Menurut Amin, harga keris mengikut pelbagai kategori daripada serendah ratusan ringgit hingga ribuan ringgit. Setakat ini, keris paling mahal dimiliki Amin bernilai RM12,000. – KitaReporters
Penulis bersama Amin Shahab