Zaifulbahri (empat dari kanan) berbincang dengan ahli jawatankuasa Umno dan KRT Taman Pinggiran Pedas mengenai tindakan yang perlu dilakukan untuk membantu adik Nurrawdha Hairischa Mohamad dan Mohd Zaidi Ali.
BERASA sebak dan terharu adik Nurrawdha Hairischa Mohamad, 12, dan Mohd Zaidi Ali, 35,yang menghadapi masalah kesihatan apabila diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembung, Rembau, Negeri Sembilan, Dato’ Zaifulbahri Idris pada 22 Februari 2021 lalu.
Kedua-dua mereka yang menetap di Taman Pinggiran Pedas, Rembau, Negeri Sembilan menarik perhatian Zaifulbahri apabila mendapat maklumat mengenainya dan melakukan lawatan mengejut dalam program Adun Chembung Ziarah Kasih Menyantuni Penduduk.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ziarah kasih:
https://kitareporters.com/search?search=ziarah+kasih
Zaifulbahri menziarahi adik Nurrawdha Hairischa yang menghidap penyakit hyperhirosis, asma kronik dan alahan ubat.
Ahli Jawatankuasa Umno taman berkenaan, Abdul Samah Abdul Samad, berkata beliau bersama-sama ahli jawatankuasa Umno yang lain termasuk Kawasan Rukun Tetangga(KRT) taman berkenaan bergegas mengiringi Zaifulbahri yang berhajat menziarah kedua-dua pesakit berkenaan.
Menurutnya, Zaifulbahri yang meluangkan masa agak lama bertanyakan khabar keluarga terbabit melahirkan rasa simpati terhadap bebanan yang terpaksa ditanggung mereka terutama dalam situasi pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.
Zaifulbahri bertanya khabar dan keadaan kesihatan Mohd Zaidi, yang berkerusi roda selepas terbabit dalam satu kemalangan.
Katanya, Zaifulbahri turut berjanji untuk menguruskan dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal bagi mengusahakan mereka mendapat bantuan bulanan sama ada dalam bentuk kewangan dan sebagainya.
Manakala Ketua Umno cawangan taman berkenaan, Azri Abdul Rahman akan memanjangkan usul Zaifulbahri itu kepada pihak terbabit untuk diambil tindakan segera seperti datang mengunjungi Nurrawdha Hairischa dan Mohd Zaidi bagi mendapatkan gambaran sebenar.
“Azri yang turut hadir pada program ini mahukan usaha yang dilakukan oleh Zaifulbahri bukan setakat janji sahaja sebalik suatu menjadi kenyataan kerana kedua-dua pesakit itu amat memerlukan bantuan sewajarnya,” kata Abdul Samah.
Zaifulbahri bertanyakan sesuatu kepada adik Nurrawdha mengenai penyakitnya dan masalah yang dihadapinya.
Abdul Samah berkata, adik Nurrawdha turut melahirkan rasa bertuah apabila dikunjungi Zaifulbahri bagi melihat lebih dekat keadaannya selepas dimaklumkan komuniti taman berkenaan yang bersimpati melihat keadaannya.
Adik Nurrawdha menghidap penyakit hiperhirosis yang aktif, asma kronik dan alahan ubat memerlukan bantuan kewangan untuk perbelanjaan termasuk ubat-ubatan antara RM8,000 dan RM9,000 sebulan.
Dia dan keluarga akan memanfaatkan sebaik mungkin apabila mendapat bantuan itu khusus bagi menampung kos perubatannya.
Mohd Zaidi berasa terharu apabila masalah kesihatannya mendapat perhatian Zaifulbahri.
Manakala Mohd Zaidi pula berharap apabila keadaan kesihatannya beransur sembuh, dia dapat mencari kerja sambilan lain atau mendapatkan bantuan bagi memulakan berniaga secara kecil-kecilan untuk membantu keluarga memandangkan isterinya seorang suri rumah.
Mohd Zaidi terbabit dalam kemalangan ketika bermotosikal untuk ke tempat kerja di Port Kelang, Selangor yang mengakibatkan mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tulang belakang sementara tulang pinggul retak sejak lima bulan lalu.
Beliau sebelum ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menerusi Pegawai Khasnya, Zazali Ahmad yang datang menziarah bagi menyampaikan bantuan wang tunai sumbangan Ahli Parlimen berkenaan.
Wakil keluarga Mohd Zaidi menerima sumbangan barangan dapur daripada Zaifulbahri.
“Akibat kecederaan itu Mohd Zaidi terpaksa berkerusi roda dan sukar untuk berdiri selain perlu berhati-hati kerana bimbang terjatuh yang boleh memberi kesan sampingan kepada tulang kakinya yang patah itu,” kata Abdul Samah.
Dalam ziarah itu, selain memberi sumbangan wang, Zaifulbahri turut menghulurkan bantuan pelbagai barangan dapur kepada keluarga adik Nurrawdha dan Mohd Zaidi.
Turut hadir pada program itu, Ketua Wanita Umno cawangan taman berkenaan, Marzuzah Abdul Hamid dan Pengerusi KRT Daerah Rembau merangkap Pengerusi KRT taman itu, Mohd Zin Abas. - KitaReporters
Zaifulbahri bersama-sama ahli jawatankuasa Umno dan KRT Taman Pinggiran Pedas memberi kata-kata perangsang kepada adik Nurrawdha.