Insan & Komuniti 22 May, 2021

Keganasan regim aparteid Zionis! 2 pakar perubatan Palestin maut dibedil tentera genosid Israel!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Serangan udara dilakukan oleh regim aparteid Zionis terhadap beberapa bangunan kediaman rakyat Palestin telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa terutama membabitkan warga emas, wanita dan kanak-kanak. -  Kredit foto AFP.


Siri serangan udara tentera genosid Israel yang bertali arus menyasarkan tempat persembunyian pejuang-pejuang Hamas telah mengakibatkan beberapa bangunan kediaman penduduk sekitar Bandar Gaza, Palestin musnah dan ranap dalam sekelip mata sahaja.

Pada 16 Mei 2021, dua orang pakar perubatan Palestin iaitu Dr Ayman Abu al-Ouf dan Dr Mooein Ahmad al-Aloul, 66, terkorban di bawah runtuhan bangunan kediaman mereka.  

Satu letupan kuat tiba-tiba telah mengenai kediaman mangsa yang terletak di Jalan al-WahdaBandar Gaza yang tidak jauh daripada hospital berkenaan.


Lagi cerita-cerita berkaitan Palestin

SENYUMAN TERAKHIR!  Dr Ayman Abu al-Ouf (kanan) bersama rakan seperjuangannya iaitu Dr Ghaith al Zaanin dalam kenangan sebuah album foto ketika bersama-sama berkhidmat di Hospital Gaza, Palestin. - Kredit foto BBC.


Ketika kejadian Dr Ayman baharu sahaja pulang satu jam daripada bertugas di sebuah hospital terbesar di bandar Gaza iaitu Hospital Shifa.

Perjuangan murni dan mulia sebagai seorang doktor umum mengetahui betapa komited akan dia untuk menyelamatkan nyawa-nyawa pesakit di hospital; namun tanpa diduga segala pengorbanan selama bertahun-tahun dengan memakai pakaian putih (pakaian doktor) akhirnya lelaki ini rebah jua di lantai bumi Gaza bersama-sama mereka yang tidak berdosa.

Lebih menyedihkan lagi episod akhir hayatnya berada di bawah runtuhan bangunan serta timbunan batu-batan, dan besi konkrit selama 12 jam seraya mengundang kesedihan dan ‘sadis’ dalam kalangan rakyat dan warga net.


Tentera genosid Israel memperhebatkan lagi serangan udara mereka ke atas penduduk Gaza dengan melepaskan ratusan peluru berpandu (dari udara) ke atas bangunan kediaman mereka kononnya terdapat pejuang-pejuang Hamas bersembunyi di kawasan sekitarnya. -  Kredit foto BBC.


Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Palestin sedaya upaya menyelamatkan mangsa-mangsa runtuhan bangunan dan dianggarkan seramai 44 orang tertimbus pada hari kejadian.

Malangnya usaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa menemui jalan buntu dan sukar akibat kekurangan peralatan dan jentera di samping keadaaan lokasi (runtuhan) kelihatan tidak stabil dan selamat.

Memetik laporan British Broadcasting Corporation (BBC), selain beliau (Dr Ayman) terdapat seramai 12 orang ahli keluarganya menjadi terkorban; dan antara mereka yang mati di lokasi tersebut ialah kedua-dua ibu bapanya, isteri (Reem) dan dua orang anaknya iaitu Tawfik,17 (anak sulung) dan Tala anak perempuan tunggal berusia 12 tahun.


Tala anak perempuan tunggal Dr Ayman yang berusia 12 tahun mati di lokasi kejadian akibat runtuhan bangunan kediaman mereka di Gaza, Palestin.  -  Kredit foto edaran (handout) oleh BBC.


Anak sulung Dr Ayman (Tawfik) merupakan pelajar tahun akhir di sebuah sekolah tinggi dan berminat untuk menyambungkan pelajarannya ke peringkat tinggi di bidang kimia. Manakala adik bongsunya pula merupakan pelajar pintar dalam kelas agama dan juga seorang hafizah al-Quran.

Satu-satunya anak Dr Ayman yang masih hidup iaitu Omar, 15, dikatakan mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di sebuah hospital. 


Dr Ayman Abu al-Ouf bertindak selaku Pengarah Kesihatan mengenai Covid-19 sedang memberi taklimat khas mengenai perkembangan penularan wabak penyakit berkenaan serta langkah-langkah pencegahan di Hospital Shifa, Gaza, Palestin.  -  Kredit foto edaran (handout) oleh BBC.


Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 227 orang telah terkorban termasuk 102 kanak-kanak sejak serangan udara dilancarkan oleh rejim aparteid Zionis pada 10 Mei, 2021 ketika umat Islam sedang menunggu beberapa hari sebelum perayaan Aidilfitri.

Manakala angka korban yang dialami oleh pihak kuku besi Israel hanya 12 orang termasuk dua kanak-kanak akibat terkena serangan balas roket oleh pejuang-pejuang Hamas.

Tambahnya dalam satu kenyataan berkata pada hari minggu lalu (16 Mei 2021), serangan udara (Israel) berlaku tanpa henti telah membunuh dua orang pakar perubatan Hospital Shifa yang selama ini menjadi nadi utama Kementerian Kesihatan Palestin.


Solat jenazah sedang dilakukan ke atas dua-dua mayat pakar kesihatan iaitu Dr Ayman dan Dr Mooein di pekarangan Hospital Shifa di bandar Gaza, Palestin. - Sumber aplikasi tweeter @Ali_reports.


Dr Ayman Abu al-Ouf berpengalaman lebih 15 tahun merupakan seorang Ketua Perubatan Dalaman, Pengarah Jabatan Hospital dan juga Pengarah Penyakit Berjangkit Covid-19.

“Siapa pun sukar mempercayai kematian Dr Ayman terutama kalangan rakan-rakan sekerja, pelajar-pelajar (doktor pelatih) dan staf hospital.

“Kematiannya adalah satu petaka buat Kementerian Kesihatan Palestin yang kehilangan seperti sebutir mutiara di mana jasa-jasa dan sumbangannya besar kepada dunia perubatan (Palestin) dan sukar dicari ganti.

“Satu kehilangan besar bagi rakyat Palestin kerana beliau merupakan seorang doktor yang sangat berpengalaman, komited, dedikasi, dan mesra dengan orang ramai termasuk kakitangan hospital,” ujar Dr Agha kepada BBC.


Kementerian Kesihatan Palestin mengecam hebat terhadap kerajaan aparteid Israel yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan bertamadun kerana membunuh dua orang pakar kesihatannya yang sedang berkhidmat di Hospital Shifa. Gaza. Palestin.  -  Kredit foto edaran (handout) oleh BBC.


Manakala Dr Mooein Ahmad al-Aloul pula adalah seorang pakar psikiatri neurologis yang kini sedang berkhidmat di klinik pakar hospital itu.

Sebanyak enam buah hospital dan sebelas buah Pusat Kesihatan telah mengalami kerosakan dan kemusnahan akibat terkena serangan bom tentera genosid Israel.

Kebanyakan peralatan dan perkakasan hospital Palestin seperti mesin pengimbas (CT Scan dan MRI) mengalami kerosakan teruk sehingga ada yang tidak berfungsi.

Fasiliti dan premis kesihatan awam Palestin kini dilihat dalam keaadaan lumpuh dan tidak berfungsi dengan baik termasuk makmal Covid-19. - KitaReporters


Sumber:

https://www.bbc.com/news/world-middle-east-57148580

https://www.aljazeera.com/news/2021/5/17/holdshockformedical-system-as-israeli-strikes-kill-gaza-doctors

0
0
5
0
0
You will be interested