Insan & Komuniti 06 Jun, 2021

'Pulang'nya Ben Taat Alias! Berkelana jadi jurulatih sepak takraw di Filipina, Brunei, Vietnam!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


TAAT Alias atau digelar Ben Taat Alias berpengalaman berkelana sebagai jurulatih sepak takraw di tiga negara Asia Tenggara selain Pengarah Teknikal Singapura. (Bawah) Gambar 2012 dalam Facebook Ben Taat Alias. - Kredit foto: Farith & BTA


BEKAS jurulatih dari Malaysia yang pernah berkelana untuk membimbing pasukan Filipina dan Brunei serta wanita Vietnam, Allahyarham Taat Alias, 74, meninggal dunia kira-kira pukul 11.30 malam, pada Ahad, 30 Mei 2021.

Taat yang adakala dipanggil Ben Taat Alias juga pernah dilantik Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) sebagai Pengarah Teknikal dan Kejurulatihannya sekitar awal alaf baharu.

Beliau dianggap antara hanya segelintir kecil jurulatih Malaysia yang berjaya mencurahkan ilmu, idea, kepakaran dan pengalaman sepak takraw di luar negara.

Jurulatih-jurulatih lain termasuk Haris Abdul Rahman (Singapura, Korea Selatan dan Iran), Ismail Atan (Brunei), Rauzan Masri (Korea Selatan) dan Allahyarham Azmi Shaari (Indonesia).  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw

 

NURUL Ain Marican Taat, anak perempuan Allahyarham. - Kredit foto: FB Nurul


Anak Allahyarham, Nurul Ain Marican Taat berkata, “telah pulang ke rahmatullah, ayah kami yang tercinta, Taat Alias pada 11.30 malam (Ahad, 30 Mei 2021) di HKL (Hospital Kuala Lumpur).

“Semoga Allah subhanahuwataala mengampunkan dosa-dosa ayah dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang salih. Amin yaa rabbal alamin…,” katanya dalam laman Facebooknya, hampir sejam kemudian.

Menurut laman Facebook Unit Khas Van Jenazah Selangor, Allahyarham meninggal dunia kerana radang paru-paru pada usia 74 tahun.

“Jenazahnya dari Bilik Forensik Hospital Kuala Lumpur (dihantar) ke Masjid Perdana Kota Damansara, Petaling Jaya (untuk disolat jenazah) pagi semalam (Isnin, 31 Mei 2021).”


JENAZAH Allahyarham Taat Alias dibawa ke Masjid Perdana Kota Damansara untuk solat jenazah pada 31 Mei 2021. - Kredit foto: FB Unit Khas Van Jenazah Selangor


TAAT (depan, dua dari kiri) bersama pasukan Brunei bimbingannya dalam satu kejohanan di luar negara. - Kredit foto: FB Adi Duraman


Kata Haris Abdul Rahman, “dia menceburi kejurulatihan sepak takraw ketika belajar di Filipina ketika persatuan sepak takraw negara itu baru ditubuhkan (menjelang Sukan SEA Manila 1981 hingga 1986).”

Dalam biodata laman Facebook Ben Taat Alias melaporkan, beliau pernah menuntut jurusan pembikinan filem di Universiti Ateneo de Manila, Filipina pada 1980.

“Penguasaan bahasa Inggeris membolehkannya bertahan lama di Filipina. Kemudian dia berhijrah ke Brunei dan seketika di Indonesia, juga sebagai jurulatih.

“Perses pula melantiknya mengendalikan kursus kejurulatihan dan teknikal. Saya pula dilantik sebagai ketua jurulatih Singapura bagi Sukan Asia Busan 2002,” kata Haris, jurulatih skuad Malaysia, pemenang tiga pingat emas Sukan Asia 1990 dan 1994 serta Sukan SEA 1991 selain Piala Raja Thailand 1988.


HARIS Abdul Rahman (tengah), bekas jurulatih Malaysia, Singapura, Korea Selatan dan Iran. - Kredit foto: ZAI


Menurutnya, anak jati Panchor, Muar, Johor ini kemudian berhijrah ke Vietnam dan menjadi jurulatih pasukan wanita negara itu pada 2003.

Khidmatnya dipercayai diperlukan Vietnam yang kemudian menjadi tuan rumah temasya serantau dwitahunan, Sukan SEA buat kali pertama pada tahun tersebut.  

“Kemudian saya dapat tahu dia berkahwin dengan wanita tempatan dan membuka sebuah restoran makanan Muslim di Hanoi (Restoran Nisa),” katanya.

Anak kedua Haris, Azhar juga pernah dilantik oleh Taat untuk bertugas di bahagian pengurusan restoran yang antara sajian istimewa yang menarik pelancong Malaysia dan negara lain ialah nasi beriani. 


RESTORAN Nisa milik Taat dan isterinya, warga tempatan di Hanoi, Vietnam yang terkenal menyajikan makanan Muslim dan nasi beriani. - Kredit foto FB Ben Taat Alias


Sementara itu, seorang rakan karib Allahyarham, Farith Jamal berkata, “innalillahi wainna ilaihi rojiun. Takziah kepada keluarga kawan baik saya, Allahyarham Pak Cik Taat Alias.

“Surau Ahmad Razali Flora Damansara kehilangan seorang ahli jemaah contoh. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, walaupun sakit Parkinson yang kronik, beliau bersusah payah berjalan kaki menaiki bukit dari Blok B ke surau ini.

“Solat pun hanya saf paling depan. Majlis ilmu pun (beliau) akan duduk paling depan,” katanya dalam laman Facebooknya.

Ujar Farith, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri (pada 13 Mei 2021 lalu), Taat meminta anaknya untuk membawanya ke surau menemuinya.


FARITH Jamal, ahli jemaah Surau Ahmad Razali Flora Damansara yang juga rakan karib Allahyarham. - Kredit foto: FB Farith


“Dia kata dia hendak bayar zakat fitrah sendiri, tidak mahu (hantar) wakil. Rupanya itulah pertemuan terakhir kami.

“Dia pun datang sebab hendak mengambil sejadah lipat yang beliau letak di surau untuk kegunaannya. Seakan-akan tahu beliau tidak akan datang lagi ke surau selepas itu.

“Semoga syurga buatmu, Pak Cik Taat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) merangkap Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader juga menzahirkan rasa dukacitanya dalam laman Facebooknya.

“Semoga roh sahabat sepak takraw kita, Taat, bekas jurulatih Brunei, Filipina dan Vietnam serta Pengarah Teknikal Singapura, ditempatkan bersama-sama orang-orang yang salih dan beriman,” katanya yang juga bekas pemimpin Perses. - KitaReporters


LAPORAN sebuah akhbar menyiarkan taklimat Abdul Halim Kader kepada pasukan Filipina dengan Taat Alias, empat dari kiri. - Kredit foto: Berita Harian Singapura

 

0
0
3
0
0
You will be interested