Insan & Komuniti 01 Oct, 2020

Jual murah ikan! Ilias Johan berniaga ikan sambil bersedekah

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

KETIKA kakinya mula melangkah ke alam dunia perniagaan kira-kira 12 tahun lalu dia sudah berhasrat untuk menjual ikan  dengan harga yang lebih murah berbanding orang lain kerana niatnya berniaga sambil bersedekah kepada orang ramai. Berniaga satu amal, bersedekah pun amal... satu usaha, berganda kebajikan! : KitaReporters

MOHAMMAD Ilias Johan sedang menunjuk ikan kembong yang dijual dengan harga RM7 sekilogram di Agro Bazar Rakyat, Kampung Bintang, Setiu, Terengganu.


Lagi cerita-cerita berkaitan sedekah:

https://kitareporters.com/search?search=sedekah


Soal keuntungan yang besar dalam jualan ikan itu bukannlah menjadi ukurannya sebaliknya cita-cita Mohammad Ilias Johan, 33, yang tinggal di Kampung Bintang, Setiu, Terengganu untuk meneruskan sedekahnya terhadap para pelanggan menerusi jualan ikan harga yang tidak mahal itu sudah kesampaian. 

Ilias memberitahu, harga ikan yang dijual itu seperti ikan selayang bersaiz kecil berharga RM3.50 sekilogram hingga RM4 sekilogram berbanding penjual lain berharga RM4 hingga RM6 sekilogram dan ikan selayang bersaiz sedang dijual dengan harga RM5 sekilogram berbanding harga orang lain ialah RM8 sekilogram.

Manakala harga ikan kembong pula yang berukuran sedang Ilias menjual dengan harga RM6 sekilogram tetapi harga ikan yang sama itu dijual oleh orang lain biasanya sekitar RM8 hingga RM10 sekilogram dan ikan kembong yang besar, beliau menjual berharga antara RM8 hingga RM10 sekilogram sedangkan orang lain biasanya menjual ikan kembong yang bersaiz besar antara RM12 hingga RM15 sekilogram.

Harga ikan tongkol yang berukuran sedang  adalah RM5 hingga RM6 sekilogram dan harga itu adalah murah jika dibandingkan penjual ikan lain menjual ikan yang sama itu dengan harga RM8 hingga RM10 sekilogram. 

i

ROHAYA Abdullah bersama ikan selayang yang dijual dengan harga RM5 sekilogram.


``Sebab itu, saya kata saya menjual ikan yang murah jika dibandingkan dengan orang lain dan soal keuntungan yang berlimpat ganda itu saya tidak mengambil kira sangat.

`` Yang penting buat masa ini, ikan-ikan yang saya jual di dua buah premis di daerah ini laris walaupun saya mendapat keuntungan yang tidak seberapa.

``Lagi pun semasa saya mula menjual ikan ketika itu saya berusia 21 tahun dan  saya sudah berniat untuk menjual ikan dengan harga yang murah seolah-olah dengan harga yang murah itu saya turut bersedekah kepada pelangan saya yang kebanyakannya dari golongan orang susah,'' kata Ilias yang kini mempunyai dua buah kedai berasingan iaitu di Agro Bazar Rakyat, Kampung Bintang dan di Pusat Jualan Hasil Pertanian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu, Bandar Permaisuri.

MOHAMAAD Ilias sedang mengangkat tong ikannya untuk dibawa di kedai Agro Bazar Rakyat Kampung Bintang dan  di Pusat Jualan Hasil Pertanian PPK Setiu, Bandar Permaisuri.


Sebelum itu, ada juga dalam kalangan orang ramai yang kurang mempercayai bahawa Ilias menjual ikan harga yang tidak mahal tetapi ia menjadi kenyataan apabila mereka sendiri yang pergi membeli ikan itu di kedai-kedainya. 

Mengimbas kisah-kisah yang lalu, Ilias yang sudah mempunyai tiga orang anak menceritakan ketika beliau melibatkan diri dalam jualan ikan itu pada mulanya dia hanya menjual ikan di beberapa buah kampung di sekitar kawasan itu seperti Kampung Guntung, Saujana dan  Kampung Fikri.

Dengan menggunakan sebuah van buruk, Ilias menjaja ikan dengan harga murah itu di kampung-kampung terbabit dan boleh dikatakan ketika itu beliau menjual ikan antara 100 hingga 200 kilogram sehari.

ROHAYA sedang melayan beberapa pelangannya yang membeli ikan di Agro Bazar Rakyat Kampung Bintang.


Selepas itu, kira-kira lima tahun kemudian beliau membuka sebuah kedai untuk menjual ikannya di Agro Bazar Rakyat dan ia diikuti pula sebuah kedai lagi Pusat Jualan Hasil Pertanian PPK Setiu. 

Namun dengan berkat serta kesabarannya dan perniagaan Ilias yang turut dibantu isterinya, Rohaya Abdullah, 33, kini membuahkan hasil kejayaan sehingga beliau dapat menjual ikan-ikan berkenaan sebanyak 1,000 hingga 1,500 kilogram sehari iaitu hasil jualannya RM8,000 hingga RM10,000 sehari.  

Selain menjual ikan di dua buah kedai itu, beliau juga turut menjual ikan itu di kampung-kampung lain yang dikendalikan oleh seorang pekerjanya dan setakat ini, beliau mempunyai sembilan orang perkerja. 

SEBUAH kedai Mohamad Ilias yang terletak di Pusat Jualan Hasil Pertanian PPK Setiu, Bandar Permaisuri.


``Sebelum cegah Penularan Covid-19, jualan ikan saya boleh dikatakan laris juga kerana saya mampu menjual 1,500 kilogram  hingga 2,000 kilogram sehari berbanding sekarang ini 1,000 kilogram hingga 1,500 kilogram sehari.

``Walaupun perniagaan saya sedikit terjejas akibat Covid-19 ini tetapi saya tetap bersyukur kerana perniagaan saya dapat berjalan seperti biasa dan harga ikan saya tetap murah seperti biasa lagi,'' ujarnya.

Menurut Ilias, ikan-ikan yang dijual itu diperolehi dari Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Kuala Besut, Tok Bali, Pasir Putih dan Merang, Setiu berbanding suatu ketika dahulu beliau memperolehi bekalan ikan itu dari orang tengah. - KitaReporters

23
11
3
1
1
You will be interested