Insan & Komuniti 25 Jan, 2024

Kem Healing Remaja! Usaha sembuhkan adab, akhlak remaja yang dah parah! Taksub dengan media sosial!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


MASALAH akhlak dan adab dalam kalangan remaja amat membimbangkan masyarakat malah tingkah laku, sopan santun, bersalam, bertegur sapa serta menghormati orang yang lebih tua semakin terhakis daripada kamus kehidupan mereka berpunca daripada pengaruh kuat media sosial.

Menyedari hakikat itu, Al Fairosz Consultant dengan kerjasama Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan Kem Healing Remaja Siri 1 selama dua hari satu malam bagi mengubah adab remaja daripada tingkah laku negatif kepada penyembuhan lebih baik melalui pendekatan Islam.

Fais memberikan motivasi menggunakan teknik "mind setting" kepada peserta Kem Healing Remaja. 


Pengasas Kem Remaja Healing, Fais Rosli, berkata kebanyakan remaja lebih suka mengikuti TikTok atau IG, mereka boleh menghantar mesej "Like" atau "Love" atau memberi komen kepada individu yang mereka tidak kenal dalam media sosial atau alam maya tapi tidak melakukan pendekatan serupa apabila berada dalam dunia realiti.

Beliau berkata, ketika berada di masjid atau surau contohnya, apabila selesai solat, mereka tidak pun melihat jemaah di sebelah, menghulurkan tangan untuk bersalam dan bertegur sapa tapi terus bangun, seolah-olah mereka tidak kenal sesiapa di kiri kanan melainkan "kawan" dakan TikTok atau IG. 

"Ini satu fenomena yang membimbangkan dan berlaku dalam masyarakat, seolah-olah mereka tiada adab dan rasa hormat kepada orang yang lebih tua termasuk imam padahal mereka sepatutnya membesar dan mendapat pendidikan akhlak yang baik daripada ibu bapa. 

"Jika kita tidak melakukan sesuatu bagi menangani fenomena ini, saya bimbang dalam tempoh 10 atau 20 tahun lagi, adab dan akhlak remaja Islam akan menjadi lebih teruk malah sistem kekeluargaan kita akan  menjadi kucar kacir dan rasa hormat sudah tidak ada lagi hatta kepada ibu bapa sendiri," katanya. 


Peserta perempuan juga diberikan pendekatan kasih sayang oleh fasi melalui teknik healing yang betul.  


Fais berkata, kem itu juga hasil kajiannya daripada program motivasi yang diadakan di sekolah apabila ramai remaja menghadapi 1001 masalah berkaitan diri dan keadaan persekitaran seperti tekanan hidup, stres dengan keluarga, kecewa dengan teman lelaki atau wanita dan gagal dalam persekolahan.       

Dalam erti kata lain, katanya remaja Islam hari ini gagal mencari diri sendiri, lalu mengambil jalan mudah menggunakan media sosial seperti TikTok untuk healing tapi secara halus, platform itu menjadikan mereka manusia yang hilang jati diri, tidak menghormati orang lain termasuk ibu bapa malah suka memberontak. 

"Tidak salah untuk healing atau penyembuhan dengan mendengar lagu, bersiar-siar atau mengambil angin di tepi laut dan menggunakan media sosial tapi perlu ada kawalan serta ilmu, bukan healing secara membabi buta sehingga lupa diri dan tidak mempedulikan persekitaran hidup.  

"Melalui kem healing ini, kami mengajar mereka cara atau teknik untuk digunakan dalam kehidupan. Jika mahu healing boleh tapi matlamat perlu betul iaitu mencari keredaan Allah.  

"Bila mahu buat sesuatu, kita faham apa yang kita nak buat dan tujuannya. Healing boleh dilakukan oleh sesiapa tapi jangan melakukan healing sehingga merosakkan diri sendiri, contohnya remaja yang stres dengan keluarga, dia mencari kawan-kawan yang tidak baik. Itu yang kami mahu didik mereka melalui kem ini.   


Perbincangan secara kumpulan dan berterus terang lebih baik dan memberi manfaat kepada remaja.


"Dalam modul yang disediakan, kami menggunakan konsep tarbiah, kerohanian dengan mengubah pemikiran mereka (mind setting)  daripada negatif kepada kebaikan dan lebih positif.

"Melalui pendidikan dalaman, kami mendidik mereka banyak berzikir, muhasabah dan pembentukan dalam diri remaja itu. Dan, melalui modul ini, mereka tahu setiap perbuatan yang dilakukan ada kesan sama ada baik atau sebaliknya. Mereka sendiri akan menilai dan muhasabah," katanya lagi. 

Dalam modul siri 1 ini, Fais berkata ada aktiviti explorace. Dalam aktiviti itu fasilator akan bercerita mengapa remaja perlu melakukan perkara itu, contohnya modul "Rantai Santai", ia mendidik mereka bagaimana mengurus emosi dan dalam keadaan tekanan macam mana pun, mereka mampu mengawal stres. 

Menurutnya, dalam kalangan peserta ada mengalami masalah kemurungan, pernah menjadi mangsa buli, dipukul atau mengalami gangguan seksual. 

Melalui kem ini, mereka belajar bagaimana mengawal diri menghadapi situasi itu jika berlaku di sekolah atau tempat-tempat lain.


Dalam sesi Pemantapan Diri, remaja akan menulis perkara negatif yang dilakukan dan fasilator akan melakukan pendekatan kasih sayang untuk menghargai peserta yang menyesal dengan perbuatan buruk.


"Saya berharap melalui 40 siri healing remaja yang akan diadakan tahun ini, masalah yang menghantui masyarakat terutama berkaitan adab dan akhlak remaja dapat ditangani. Dari kem ini akan lahir remaja dengan visi baru yang mendamba diri hidup untuk Allah. 

"Melalui siri 1 ini, kami akan melihat maklum balas peserta, jika tidak sesuai dan remaja tidak boleh terima, kami akan ubah suai kepada modul lebih baik," katanya.     

Beliau mengakui, bukan mudah untuk mengubah pemikiran remaja daripada negatif kepada positif apatah lagi serangan kuat media sosial tapi melalui kem ini, peserta berpeluang menulis perkara negatif dalam diri dan pada akhir program, semua perkara buruk itu akan dibuang, menjadikan mereka remaja baru dengan pemikiran positif. 


Fais Rosli


Lulusan komunikasi dari Universiti Limkokwing itu mengakui banyak mendapat bimbingan ayahnya, seorang pegawai pembangunan Felda yang mengadakan program motivasi untuk mengubah pemikiran peneroka dan anak-anak mereka daripada tabiat buruk kepada yang lebih baik

"Insya-Allah, setiap masalah ada jalan keluar tapi ia mungkin mengambil sedikit masa kerana remaja sudah lama terdedah kepada media sosial dalam keadaan keterlaluan dan tanpa tapisan sehingga mereka tidak perasan ia sudah menjadi sebahagian diri mereka. 

"Selepas kem ini, kami mahu mereka mengubah pemikiran dan menghargai orang di sekeliling, menghulurkan tangan untuk bersalam, menundukkan kepala atau memberi senyuman, bertegur sapa dan menghormati orang yang lebih tua terutama ibu bapa, bukannya individu dalam alam maya atau golongan artis dan pempengaruh," katanya. 

Beliau menaruh harapan tinggi untuk generasi Z dan Alpha ini, mereka dapat meneruskan kesinambungan untuk tempoh 20 atau 30 tahun lagi dan menghadapi pelbagai pancaroba dengan tenang melalui kekuatan iman, pemikiran positif dan bukan menggunakan emosi. 

"Ibu bapa yang berminat dan mahu mencari program motivasi untuk anak-anak mereka, boleh mengikuti kami melalui FB, Instagram dan Tik Tok, "healing remaja". Minggu depan kami akan mengadakan Siri 2 di Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang, Selangor," katanya lagi. - KitaReporters


Sebahagian daripada peserta yang mengambil bahagian dalam Kem Healing Remaja di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

27
17
0
12
0
You will be interested