Insan & Komuniti 15 Feb, 2024

Caring World Mission Indonesia! Misi kemanusiaan ubah persepsi Diana Amir, kumpulan nasyid Saujana!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Selebriti dan Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia, Diana Amir dan kumpulan nasyid Saujana menyifatkan perjalanan misi kemanusiaan ke Lombok, Indonesia pada November 2023 lalu terlalu sarat dengan emosi.

Menurut Diana, misi yang diberi nama “Caring World” Mission #Indonesia itu telah membawa dia dan pasukan misi meneroka sisi lain Lombok yang mungkin tidak dipaparkan umum.

“Sebelum ini, saya pernah bercuti di Lombok bersama keluarga. Jadi, seperti pelancong lain, saya hanya dapat melihat Lombok sebagai satu destinasi pelancongan yang unik dengan keindahan pulau, gunung dan alam semula jadinya yang cantik.

“Namun, selepas menjalani tujuh hari pengembaraan misi, pandangan saya sudah berbeza. Saya mahu kembali ke Malaysia sebagai suara dan penyampai kepada masyarakat seluruhnya, yang sebenarnya di luar sana ada ramai yang sangat memerlukan bantuan,” kata Diana.

Objektif misi yang disertai Diana, Saujana dan empat kakitangan Islamic Relief Malaysia itu bertujuan untuk melihat dan melawat projek-projek bantuan yang dijalankan oleh Islamic Relief, khususnya melibatkan anak yatim dan projek penjanaan pendapatan di bawah sektor kehidupan mampan.



Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, salah seorang ahli kumpulan Saujana yang turut serta dalam misi itu berkata, "landskap kemiskinan memang boleh dilihat di mana-mana, hatta di Malaysia, namun cabaran yang dilalui anak yatim yang saya temui di Lombok berbeza dan saya rasa ujian mereka sangat berat. 

“Antara cabaran paling susah yang dihadapi ibu tunggal atau penjaga kepada anak yatim yang kami temui ialah kesukaran untuk mendapatkan sumber pendapatan. 

“Mereka masih pada tahap kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, ada juga pekerjaan yang diusahakan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan dan selepas itu baru boleh dijual, itupun sekiranya ada yang mahu membeli.

“Disebabkan itu, Islamic Relief menekankan bantuan terhadap anak yatim melibatkan sokongan pendidikan. Hanya dengan pendidikan, mereka dapat mengubah nasib diri dan keluarga, seterusnya keluar dari putaran kemiskinan yang menyelubungi mereka,” kata Zuhaidi lagi.

Suffian Amrin dari kumpulan Saujana pula menambah, pendidikan adalah pelaburan terbaik. Setiap manusia mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya.

“Saya rasa sangat terkesan dan sedih melihat ada anak yatim yang kami temui berdepan trauma kerana terpaksa berhenti sekolah, sedangkan dia sangat suka belajar dan mempunyai prestasi pembelajaran yang baik,” cerita Suffian.



Diana yang hiba melihat kepayahan hidup ibu tunggal yang seusia dengannya berkata: “Apa yang membuatkan saya rasa sangat terkesan, kebanyakan daripada mereka sebaya umur dengan saya, tapi sedih bila tengok mereka hidup dalam keadaan yang sangat daif.

“Mereka hidup dalam serba kekurangan dan serba tiada. Makan pun tak menentu setiap hari. 

"Tapi, Masha-Allah mereka sentiasa mengucapkan Alhamdulillah. Ucapan Alhamdulillah tak pernah lekang daripada bibir mereka,” jelas Diana.

Tambahnya, ada yang kehilangan suami ketika suami bekerja di perantauan. Bertahun-tahun tidak bertemu, akhirnya hanya sekujur tubuh tidak bernyawa yang tiba di depan pintu rumah.

“Sarimah mempunyai seorang anak perempuan yang diberi nama Siti Humainah. Humainah lahir normal, namun kemiskinan mengakibatkan dia kini cacat penglihatan, tidak boleh bercakap dan tidak boleh menguruskan diri sendiri.

“Sewaktu kecil, Humainah diserang demam panas dan sawan, namun Sarimah tidak dapat membawa anaknya ke hospital kerana tiada wang dan pengangkutan.

“Suara Sarimah berbunyi kecewa dan ada penyesalan dalam nada suaranya. Mungkin dia rasa jika dia ada kemampuan untuk merawat Humainah dahulu, Humainah pasti dapat membesar dengan baik,” kata Diana.



Diana dan Saujana menyeru orang ramai untuk sama-sama menyokong projek MyYateem #CareForOrphan yang dianjurkan Islamic Relief Malaysia bagi membantu anak yatim di lebih 20 buah negara termasuk Indonesia, Syria, Yaman dan Palestin.

Terdapat dua pakej yang ditawarkan menerusi projek MyYateem iaitu Kasih MyYateem dan Tajaan MyYateem. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.islamic-relief.org.my untuk menderma dan berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim. 

Diana dan Saujana berharap semoga inisiatif menerusi hebahan projek ini dapat meringankan penderitaan anak yatim, selari dengan galakan dalam Islam dan yang dianjurkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. - KitaReporters/Kenyataan Media


19
14
0
12
0
You will be interested