Insan & Komuniti 22 Nov, 2023

Syabas Ikram! Lebih 2k pengunjung serbu Karnival Keluarga Utuh Madani 2023! Sempena Bulan Keluarga!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

KKUM 2023 anjuran IKRAM Malaysia di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur mendapat sambutan hangat orang ramai.

PUSAT Komuniti Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur bagaikan kenduri besar apabila diserbu oleh lebih 2,000 pengunjung daripada pelbagai kaum termasuk ibu bapa dan kanak-kanak sempena Karnival Keluarga Utuh Madani (KKUM) 2023.

Karnival itu adalah acara kemuncak Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (SBKK) 2023 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan sokongan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

KKUM 2023 turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Persatuan Penduduk Taman Koperasi Polis Fasa 2, Yayasan Ikram Malaysia, Jabatan Penerangan Malaysia, Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), IKRAM Clinic Sentul dan University College MAIWP International (UCMI).

Pertandingan melukis dan mewarna paling mendapat sambutan dengan lebih 200 peserta mengambil bahagian sempena KKUM 2023.


Ia telah dirasmikan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran. Turut hadir, Naib Presiden IKRAM, Prof Dr Hanim Salleh; dan Yang Dipertua IKRAM Kawasan Batu, Wan Mohd Zukri Che Mat Zin.

Acara dimulakan dengan slot senaman pagi bagi memastikan pengunjung cergas dan dapat mengambil bahagian sepanjang KKUM diadakan dari pagi hingga petang. 

Selepas itu, kumpulan nasyid, The Prophecies mengambil tempat untuk menghiburkan hadirin dengan beberapa lagu termasuk bertemakan kekeluargaan dan Palestin. 


 

P Prabakaran


Pelbagai reruai yang dibuka sempena karnival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti  termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, petting zoo, jualan, pameran dan cara pengendalian dron. 

Cabutan bertuah berupa pelbagai barangan berjumlah RM5,000 yang disediakan penganjur menjadi daya penarik karnival.

Kid’s Corner menjadi tumpuan peserta kanak-kanak apabila menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti memanah tradisi, belajar mendekorasi cupcake, face painting, persembahan silap mata oleh Awang The Clown, pertandingan mewarna, hafazan dan acara ‘read aloud’ perihal Palestin. Popcorn dan aiskrim turut diberikan percuma.

Reruai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mengambil bahagian di KKUM 2023.


Sementara itu, Prabakaran berkata, karnival seumpama itu adalah pesta yang mengikat masyarakat berbilang kaum dan agama dalam kasih sayang dan menjadi asas kepada keluarga bahagia.

“Ada aktiviti untuk semua orang di sini yang direka untuk bawa keharmonian, gelak tawa dan keseronokan bagi kita melupakan seketika kebimbangnan di luar.”

Seorang bapa yang mengambil bahagian dalam acara face painting mencoteng lukisan ke wajah anaknya di KKUM 2023.


"Tapi, pada waktu yang sama, kita turut berdukacita dengan apa yang berlaku kepada rakyat Palestin di Gaza dan marilah kita membantu apa yang kita ada untuk meringankan penderitaan mereka melalui tabung yang disediakan penganjur.

"Saya berbangga dengan komitmen IKRAM untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama walaupun ia adalah pertubuhan berasaskan Islam. Parlimen Batu akan terus memberi sokongan dan bantuan jika IKRAM mahu mengadakan karnival seumpama ini di masa depan," katanya lagi.

Sebahagian daripada 200 kanak-kanak memberi tumpuan seratus peratus dalam acara melukis dan mewarna sempena KKUM 2023. 


Bagi Dr Hanim Salleh, KKUM 2023 adalah waktu yang  istimewa untuk setiap anggota keluarga berkumpul bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan mencipta kenangan yang bererti.

“Kehidupan yang sibuk pada masa kini menyebabkan kita mudah mengabaikan masa berkualiti dengan orang-orang yang disayang kerana terperangkap dengan masa. Acara seperti hari ini berfungsi sebagai peringatan agar kita sentiasa menghargai orang-orang tersayang," tambahnya.

Beliau berkata, KKUM  2023 turut menjemput Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan pameran selain slot khas bagi menyampaikan penerangan mengenai perkhidmatan mereka kepada masyarakat. 

“Saya berharap penyaluran informasi daripada agensi ini dapat memberikan pencerahan dan memudahkan urusan keluarga yang berpendapatan rendah," katanya. 


Dr Hanim Salleh


Kanak-kanak paling seronok dan teruja mengunjungi reruai Petting Zoo di KKUM 2023.


Dalam perkembangan yang sama, Pengarah SBKK 2023, Zarina Azhari berpuas hati sepanjang penganjuran KKUM 2023 terutama komitmen IKRAM Kawasan Batu. 

Karnival keluarga itu, katanya, adalah kali kedua diadakan, kali pertama dilaksanakan secara dalam talian berikutan kekangan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pemilihan Parlimen Batu sebagai lokasi KKUM 2023 kerana ia sesuai dengan fokus pertubuhan itu bagi membantu dan menyebar maklumat mengenai peluang menjana ekonomi bagi golongan B40 selain komitmen IKRAM Kawasan Batu yang mempunyai libat urus yang tinggi dalam program PPR, MPP dan masjid. 

Acara memanah antara yang mendapat sambutan di kalangan pengunjung terutama di cilik yang mahu mencuba kebolehan menggunakan anak panah.


"Insya-Allah IKRAM akan mengadakan program seperti KKUM 2023 dalam skala lebih besar dan tempoh lebih lama pada masa depan jika mendapat tajaan lebih banyak daripada pihak agensi kerajaan dan korporat.

"Sambutan memang di luar dugaan tapi kita faham ruang dewan yang sedikit kecil tidak dapat menampung jumlah kehadiran yang ramai. Ini akan kita tambah baik pada program akan datang," katanya.  

Majlis penutup KKUM 2023 disempurnakan oleh Ketua Kluster Masyarakat Progresif IKRAM, Ainullotfi Abdul Latif. Beliau memberi penghargaan dan berterima kasih atas kerja kuat team SBKK 2023 selain jawatankuasa induk pelaksana KKUM dan rakan kolaborasi atas kejayaan menggerakkan karnival itu dengan jayanya dan penuh meriah. - KitaReporters


Inilah AJK KKUM 2023 yang bekerja keras bagi memastikan karnival keluarga di Pusat Komuniti Taman Koperasi Polis Fasa 2, Kuala Lumpur berjalan dengan jayanya.

22
9
0
9
0
You will be interested