Insan & Komuniti 19 Dec, 2023

Sembang-Sembang| Dulu susah dibuang suami! Kini senang disayang Ilahi! Anak berjaya, Hidup bahagia!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Gambar hiasan


Hidup tidak mudah. Perlu pengorbanan dan kesabaran. Lumrah berumah tangga. Selalu diuji. Hanya kekuatan dan semangat jadi pengukur keimanan. 
Lima belas tahun lalu sahabat saya ini pernah menangis bercerita tentang pergolakan rumah tangganya. Ketika itu dia mempunyai tiga orang anak - dua perempuan dan seorang lelaki - berusia dari 5 hingga 12 tahun. Suaminya seorang penjawat awam. Berpangkat dan ada nama. 
Sahabat saya yang saya panggil Mimi ini pula baru memulakan kerjaya di sebuah bank. Bahagia  hidupnya. Disayangi semua. Namun bak kata pepatah, diharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan pada tengah hari. 
Rumah tangga Mimi yang bahagia bergoncang dengan kehadiran orang ketiga. Setahun lebih Mimi memendam rasa bermandi air mata. Sedang suami beralih kasih kepada wanita muda yang lebih menggoda. 
Akhirnya jodoh dengan suami yang ditatang bagai minyak yang penuh berakhir. Mereka membawa haluan sendiri. Anak-anak diberi hak penjagaan kepada Mimi. Suami pula hanyut dengan kisah cinta dengan wanita baharu dalam hidupnya.

Gambar hiasan


Kegagalan rumah tangga menyebabkan hubungan kami terputus. Yang saya tahu Mimi minta tukar kerja di tempat lain. 
Sehingga dua minggu lepas, saya menerima panggilan dari Mimi. Terkejut saya mendengar suara Mimi. Macam tak percaya dia yang telefon
“Kak Mala. Ini Mimi ingat lagi tak?“
“Biar betul. Jangan main main,“ Saya masih dalam mimpi. 
Setelah dalam 10 minit berteka-teki akhirnya saya yakin dialah Mimi yang kisah rumah tangganya macam cerita  TV dahulu. Dan tentunya saya sangat gembira mendengar suaranya. Selepas 15 tahun dia muncul. 
Rupanya dia membawa diri bersama anak anak pulang ke kampung halamannya nun di Pantai Timur dan bekerja di sana. Dan tentunya kami plan hendak berjumpa bila dia turun ke KL. Namun masa belum mengizinkan kami berjumpa. 
Pun begitu sebagai sahabat yang pernah menjadi bahu tempatnya bersandar saya kagum dengan Mimi. Kagum dan bangga mendengar ceritanya yang sudah hidup senang sekarang. Tiga anaknya masuk universiti dan telah bekerja. 
Dia pula sudah bersara dan kini sedang menikmati hari-hari persaraan dengan gembira di samping anak-anak yang menjadi sumber kekuatannya. 

Gambar hiasan


Pengorbanan membesar anak seorang diri sangat mencabar. Perit jerih kehidupan yang dilalui menjadi inspirasi kepada Mimi untuk terus hidup. 

Akhirnya pengorbanan membuahkan hasil. Air mata berganti ketawa. Susah berganti senang. Semua dengan izin Allah. Sebagai sahabat saya tumpang gembira dengan kebahagiaan yang Mimi nikmati sekarang. 

Melihat gambar yang dikirim air mata saya bergenang. Seronok melihat Mimi dan anak anaknya berdiri megah di depan kereta mewah di hadapan rumah besar dan cantik. 

Benarlah… aturan Allah indah belaka. 
“Kak Mala nanti Mimi nak terima menantu Kak Mala mai tau.“ Pesannya sebelum kami menamatkan perbualan. Insya-Allah sahabat afik dunia akhirat! 


Kisah Mimi meyakinkan saya bahawa seorang wanita mampu hidup tanpa lelaki dan membesarkan anak-anak dengan kudrat sendiri. Zaman wanita menangis dan meratap telah berlalu. 

Contoh terbaik adalah Mimi. Reda, positif dan terus jalan. Kalau dahulu susah dibuang suami, sekarang bahagia disayangi Ilahi. 
Moga Mimi terus bahagia dunia akhirat. - KitaReporters
7
16
0
16
0
You will be interested