
Halang telefon, bermesra dengan ayah. Kisah ibu tiri sejak dulu sehingga sekarang kekal menjadi perhatian.
Ada ibu tiri yang baik, bijak membeli jiwa anak-anak tiri tetapi ada juga yang menambah kacau bila dalam kehidupan anak-anak tiri.
Masalah anak dengan ibu tiri ini sudah menjadi lumrah. Macam macam cerita yang kita dengar. Anak tiri didera. Ibu tiri tak sejalan dengan anak tiri dan lain-lain lagi.
Apapun saya ingin berkongsi kisah yang dilalui oleh anak gadis yang mesra dipanggil Shila tentang ibu tirinya yang seolah-olah mahu mengawal bapanya daripada bermesra dengan anak-anaknya.

Begini cerita Shila:
“Saya berusia 19 tahun. Masih belajar dan mempunyai dua orang abang. Ibu saya meninggal 6 bulan lalu.
“Sebulan lepas, ayah saya berkahwin lain dengan seorang janda yang telah dua kali berkahwin. Kiranya ayah saya suami ketiganya.
“Apabila ayah bernikah lagi saya mula merasakan ada perubahan pada ayah. Dia seolah-olah mahu menjauhkan diri daripada saya dan abang-abang.
“Pada mulanya saya agak hanya sementara. Mungkin ibu tiri ambil masa untuk sesuaikan dengan kami. Tapi lama kelamaan keadaan semakin
teruk.
“Saya tak boleh lagi bersembang dengan ayah sambil menonton TV. Tak boleh peluk abang, cium ayah lagi macam dulu.
“Saya mula merasa ayah banyak menurut kata ibu tiri. Dia kenakan syarat apa sahaja yang hendak buat kami tiga beradik kena melalui dia sebelum beritahu ayah.
“Jika tidak dia akan mengamuk dengan ayah. Menangis meraung macam orang meroyan. Sudahnya ayah terpaksa memilih isteri baharunya dari kami anak kandungnya.

“Kami tiga beradik terutama saya mula renggang dengan ayah. Mujur Saya masih belajar dan tinggal di kampus. Tak tengok la adegan cemburu ibu tiri dengan anak tiri buat sementara.
“Yang buat saya sedih nak telefon ayah pun susah. Boleh telefon siang sahaja. Itupun waktu ayah kerja. Malam ibu tiri tak bagi ayah jawab call. Saya benar benar kecewa dan sedih.
“Apa yang dia cemburu pun kami tak tahu. Sedangkan masa arwah mak ada hubungan kami harmoni. Seronok dapat bersembang sambil minum kopi dan menonton TV.
“Saya berdoa semoga ayah sedar keadaan ini dan tidak jadi seperti. kerbau dicucuk hidung. Ayah kena tegur sikap isteri barunya. Moga ayah kembali kepada kami anak anaknya seperti dahulu.
“Buat sementara saya lebih selesa balik ke rumah nenek saudara saya dari balik ke rumah ayah. Rasa aman dan tidak sakit hati dengan perangai ibu tiri.
“Semoga doa saya Allah makbul. Insya-Allah. “ kata Shila menutup ceritanya.

Saya mendoakan supaya Shila banyak bersabar dan berdoa. Insya-Allah akan ada jalan penyelesaiannya nanti.
Apapun berlaku, Shila mesti hormat kepada ayahnya juga ibu tiri. Perkara seperti ini akan mengambil masa.
Cuba kikis perasaan benci. Fikir positif dan yang terbaik untuk masa hadapan Shilla sekeluarga.
Mudah mudahan Allah buka pintu hati Shilla untuk menerima keadaan ini dan mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pendidikan dunia akhirat. - KitaReporters