Zaman sekarang, budak-budak sekolah pun sudah berani mencuri di masjid. Dua pelajar Tingkatan 1 dan 3 antara tiga orang yang ditangkap pihak polis selepas ‘berani mati’ mencuri duit tabung di Surau Kampung Tanjung Sekawang di Segamat pada awal Oktober 2025 ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pengerusi surau berkenaan menyedari kejadian tersebut sebelum membuat aduan laporan polis pada 3 Oktober lalu.
"Berdasarkan aduan yang diterima, tabung surau yang dicuri dianggarkan berisi wang berjumlah RM200.
"Bertindak atas makluman dan risikan, polis berjaya memberkas ketiga-tiga remaja berkenaan di lokasi berbeza sekitar Segamat," katanya.
Tambah Ahmad Zamry, ketika ditahan, polis merampas tabung surau berkenaan yang dicuri daripada mereka.
Katanya lagi, ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati negatif dan dua daripada mereka masih bersekolah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ujar beliau, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dihukum penjara dan dikenakan denda atau sebat.
Kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi tujuan siasatan lanjut.
"Polis akan terus memerangi jenayah dan orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan sebarang maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat talian hotline 07-9324222 jika berlaku jenayah," ujarnya.
Bagi pihak ibu bapa pula, mereka kian bimbang dengan keadaan jenayah yang berlaku melibatkan pelajar sekolah sejak akhir-akhir ini di Malaysia sehingga ada yang berani mencuri, menikam serta merogol rakan-rakan di sekolah. - KitaReporters