Insan & Komuniti 20 Jan, 2026

Amerika: Antara kelas pertama, siren kota dan getar iman! Jadi lebih insaf, berhati-hati dan sedar!

@mohd fudzail mohd nor
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen. Belajar di New Zealand, bekerja di TV3, pernah bekerja selama 18 tahun di Arab Saudi dan UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Emel: [email protected]

Share this

Saya tiba di San Francisco pada tahun 1992, selepas sebuah perjalanan udara yang panjang dan berlapis-lapis, bermula dari Malaysia, singgah di China, kemudian Taiwan, sebelum pesawat merentasi Lautan Pasifik menuju ke pantai barat Amerika Syarikat.



Saya masih ingat dengan jelas, kali ini saya duduk di kelas pertama. Bukan kerana kemewahan yang ingin ditunjuk, tetapi kerana tugasan dan keperluan kerja ketika itu menuntut kesegaran tubuh dan ketepatan masa.

Kelas pertama memberi ruang yang lebih luas, kerusi yang boleh direbahkan, layanan yang sopan dan senyap yang hampir mewah. Namun keselesaan itu hanya menyentuh jasad, tidak jiwa.

Walau selembut mana tempat duduk, jam biologi tetap memberontak. Waktu menjadi kabur. Pagi dan malam bertukar peranan. 

Di luar tingkap, langit terbentang tanpa sempadan; di dalam diri, fikiran mula bertanya ke manakah perjalanan ini akan membawa saya sebagai manusia, bukan sekadar pekerja TV3 yang menggalas tugasan untuk berkunjung ke pameran NAB dan CES?

Transit di China dan Taiwan mengajar saya tentang peralihan dunia. Lapangan terbang menjadi ruang pertemuan tamadun, bahasa yang berbeza, wajah yang asing, langkah yang tergesa-gesa. 

Saya bergerak dari satu pintu ke satu pintu lain dengan pasport Malaysia di tangan, membawa identiti Timur ke jantung Barat. 

Apabila pesawat akhirnya mendarat di San Francisco International Airport, saya tahu, ini bukan sekadar ketibaan fizikal; ini adalah pertemuan budaya yang akan meninggalkan kesan mendalam.



Awal pagi di bilik hotel. Jet lag memukul dengan kejam. Walaupun kelas pertama menjanjikan rehat, tubuh tetap tidak menipu. Mata terbuka luas, fikiran terjaga, tetapi tubuh enggan bekerjasama. 

Dari luar tingkap, bunyi siren polis dan ambulan bersilih ganti yang nyaring, mendesak, seolah-olah bandar ini bernafas dengan kecemasan yang tidak pernah reda. San Francisco tidak tidur; ia hanya bertukar wajah antara siang dan malam.

Telefon berdering.

“Jom. Ronda-ronda downtown!”

Suara Profesor X, seorang ahli akademik dari universiti terkemuka Malaysia kedengaran bertenaga, seolah-olah jet lag adalah mitos ciptaan orang malas.

Kami kebetulan menginap di hotel yang sama. Malam sebelumnya, kami terserempak di lobi. 

Katanya, beliau pernah belajar di sebuah universiti di San Diego sebelum kembali berkhidmat di tanah air. Amerika baginya adalah kenangan lama; bagi saya, ia adalah dunia yang sedang membuka rahsia.

Kami menaiki teksi, menyusuri jalan-jalan bandar yang masih separuh gelap. Lampu jalan memantul di permukaan asfalt. Bangunan tinggi berdiri megah, dingin dan tidak peduli. 


Kasino di San Francisco

Kami singgah di sebuah tempat yang kelihatan seperti kasino mencari makan, mencari tenaga, mencari alasan untuk terus berjaga dalam kota yang tidak pernah benar-benar lena.

Di situlah ketegangan muncul tanpa amaran.

Di kawasan yang agak lengang, dua lelaki African American tiba-tiba menghalang langkah kami. Tubuh mereka sasa, wajah tegang, suara keras.

“Give us money!”

Jantung saya terasa terhenti. Ketakutan itu datang dengan jujur dan mentah. Saya menoleh kepada Profesor.

“Kau tahu silat?” tanyanya, nada selamba yang tidak kena tempat.

Saya menggeleng. “You?”

Dia juga menggeleng.

Dalam hati saya berkata, binawe kau, Prof.

Belum sempat saya berfikir panjang, Profesor menjerit lantang, seolah-olah keberanian boleh dicipta dengan suara.

“NO WAY! GO TO HELL!”

Saya kaku.

“Jangan-jangan dia ada pistol,” bisik saya, suara menggeletar. Panik menyambar. Dalam kepala saya, segala kemungkinan berlegar yang terburuk dan paling gelap.

Kedua-dua lelaki itu melangkah ke hadapan.

“Give us money!”

Sekali lagi Profesor menjerit, lebih kuat, lebih nekad.

“NO! GO TO HELL!”

Jeritan itu rupanya memecahkan kebekuan dengan cara yang tidak dijangka. Salah seorang daripada mereka berhenti, mengerutkan dahi.

“Where are you from?”

“Why?” jawab Profesor.

“What are you saying? Go to Yale?” katanya sambil ketawa kecil. “We just want coins for that slot machine!”

Ketegangan runtuh menjadi salah faham. Bahasa, loghat dan nada telah hampir membawa kami ke ambang bahaya. 

Kami beredar dengan langkah yang masih berhati-hati, kaki menggigil, hati penuh pengajaran: di dunia asing, salah faham sering lebih berbahaya daripada niat sebenar.

Keesokan paginya, Profesor masih lena dibuai jet lag. Saya turun bersarapan sendirian dengan cereal, roti, kopi pahit. 

Kelas pertama di udara tidak mengubah hakikat kesunyian di darat. Saya memilih untuk berjalan kaki ke ekspo melalui laluan lain, mahu melihat San Francisco pada waktu pagi dengan jujur, tanpa penapis.


Peraraakan LGBT di San Francisco
Bandar raya ini hidup dengan kepelbagaian manusia. Wajah dari seluruh dunia bersilang tanpa perlu bertegur sapa. Saya menyusun jadual: Jambatan Golden Gate, Chinatown, Alcatraz, Fisherman’s Wharf, Silicon Valley. 

Empat hari bukan masa yang panjang. Di kota yang besar ini, jarak adalah musuh senyap. Melekat pada kawasan kejiranan ikonik dengan Chinatown, North Beach, Union Square adalah strategi terbaik untuk tidak tenggelam dalam perjalanan.

Masuk ke CES, keluar semula, saya singgah di sekitar San Francisco Exhibition Centre. Tiba-tiba jalan utama dipenuhi manusia. Perarakan besar-besaran. Muzik, sorakan, warna yang melimpah. Suasana hampir seperti pesta, bebas dan terbuka.

Tanpa sedar, saya terikut-ikut. Rasa ingin tahu mengatasi segalanya. Saya ingin merasai denyut nadi kota ini, kebebasan yang sering diagungkan oleh Barat. Saya terus ingin menyertai perarakan besar dengan ramai manusia.

Namun sebelum benar-benar menyertai, mata saya tertancap pada poster-poster yang diangkat tinggi: LGBT! Langkah saya terhenti. Hati bergetar. Saya beristighfar perlahan.


Gay Rights di San Francisco

San Francisco memang dikenali sebagai salah satu pusat komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terbesar di Amerika Syarikat, sebuah bandar yang sering digelar “ibu kota gay dunia”. Sejarah perjuangan hak asasi mereka berakar di sini, dan budaya ini juga subur dalam ekosistem Silicon Valley.

Saya berdiri di tepi jalan, memerhati dari jauh. Perasaan saya bercampur-baur. Sebagai seorang Muslim dari Timur, nilai yang saya pegang sejak kecil bertembung dengan realiti yang terpampang.

Saya tidak menyertai, tidak mencerca, hanya memilih untuk berundur -- kembali ke ruang diri, ke wilayah iman yang saya yakini.

Di situlah San Francisco mengajar saya satu pelajaran yang halus tetapi mendalam: kelas pertama di udara tidak menjadikan seseorang lebih kebal di darat. 

Kebebasan tidak menuntut persetujuan, dan perbezaan tidak semestinya membawa permusuhan. Dunia ini luas, manusia pelbagai, dan setiap kota adalah cermin untuk kita menilai diri sendiri.


Perarakan LGBT di San Francisco


Dari perjalanan kelas pertama merentas China dan Taiwan, dari siren malam sehingga sorakan siang, dari slot mesin sehingga getar iman, San Francisco pada tahun 1992 membentuk saya bukan sekadar sebagai pengembara, tetapi sebagai insan yang lebih insaf, lebih berhati-hati, dan lebih sedar bahawa perjalanan paling jauh bukanlah merentas benua, tetapi menyelami hati sendiri. - KitaReporters 

17
12
0
13
0
You will be interested