Meriah sekali Program Hari Cuci Malaysia 2025. Pelbagai agensi menyertai program berkenaan yang bertujuan memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran dan alam sekitar serta menerapkan nilai tanggungjawab sosial.

Hari Cuci Malaysia 2025 telah berlangsung pada Sabtu, 27 September 2025 lalu sebagai sebahagian daripada program mega pembersihan seluruh negara sempena World Cleanup Day (Hari Cuci Sedunia).
Program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini bertujuan memupuk semangat kebersihan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, penduduk daerah Kuala Muda di Kedah juga tidak ketinggalan untuk menyertai pelbagai aktiviti pada hari tersebut yang berlangsung di Padang Awam Bandar Perdana, Sungai Petani, Kedah pada 27 September 2025 lalu.


Peserta menyertai aktiviti itu, bermula pukul 7.30 pagi dengan acara senaman dan zumba kemudian ke aktiviti-aktiviti lain.
Salah satu acara, kutipan barangan kitar di kawasan itu mendapat sambutan ramai, termasuk dalam kalangan anggota tentera Markas 6 Briged Infantri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sungai Petani.
Sebelum melakukan kutipan dan timbang barangan itu, taklimat mengenainya disampaikan oleh pihak urusetia penganjurnya, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) yang diwakili Nurul Syafiza Hassan.
Setiausaha MPSP, Mohammad Hasbullah Abd Haji pula berkata, melalui program begini, masyarakat berbagai kaum berpeluang menyertainya dengan penuh berhemah.
"Peserta begitu ceria sekali dengan penuh semangat perpaduan setelah mengambil bahagian pertandingan mewarna kanak-kanak, gubahan bunga dari barangan terpakai, tarik tali, petanque dan lain-lain," katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama menjayakan program itu.

Tai Kuang Tee (tengah)
Sementara itu, ahli MPSP, Tai Kuang Tee ketika merasmikan program itu berkata, usaha dilakukan itu berjaya merapatkan hubungan baik antara komuniti tempatan dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Environment Idaman (E-Idaman).
Menurutnya, hasrat KPKT untuk tahun 2025 dengan melibatkan seramai 100,000 peserta, termasuk pelajar sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menjayakan aktiviti terbaik ini akan tercapai.
"Inilah adalah satu langkah penting dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Saya berharap program begini akan mencapai objektifnya dan menjadi contoh terbaik kepada komuniti lain untuk terus menjaga kebersihan dan kelestsrian bumi kita," katanya lagi. -KitaReporters

Tags: