

Jutaan terima kasih kepada Kerajaan Madani melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang (JPNPP) atas keprihatinan dan kepedulian meluluskan peruntukan segera sejumlah RM150,000 untuk kerja-kerja pembersihan ke atas sebahagian tanah terbiar berhampiran kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Puyu, Butterworth yang telah menjadi kebimbangan dan kerisauan lebih 400 warga sekolah tersebut sejak sekian lama.
Pihak SK Sg Puyu, Butterworth turut menzahirkan terima kasih tidak terhingga kepada ADUN kawasan Sg Puyu, Phee Syn Tze yang telah berjaya mengatasi masalah keselamatan warga SK Sg Puyu sejak bertahun-tahun isu ini diperjuangkan.


Manakala Naib Yang Dipertua PIBG, SK Sg Puyu, Hazaniar Othman begitu gembira kerana masalah keselamatan murid dan guru yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun sebelum ini berjaya diselesaikan dengan pantas selepas tinjauan dan turun padang oleh pelbagai agensi kerajaan pada Julai 2025
"Kawasan tanah yang terbiar di hujung padang amat merisaukan kerana ada ular berbisa dan haiwan-haiwan lain, apalagi sekiranya ada aktiviti padang yang melibatkan pelajar dan guru-guru.
"Majoriti pelajar di sini pernah terserempak dengan ular dan telah beberapa kali gotong-royong dilaksanakan. Ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh masuk kawasan sekolah melalui tanah terbiar tersebut, " ujar beliau.


Tinjauan oleh JPNPP, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU), pengurusan dan pentadbiran SK Sg Puyu, Pengarah Jabatan, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Penghulu Kanan Pejabat Daerah dan Tanah SPU, wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan ADUN kawasan Sg Puyu pada Julai 2025 ke atas tanah lot 889, Mukim 9, daerah SPU mencetuskan kebimbangan kerana berisiko tinggi terhadap keselamatan murid dan warga sekolah.
Tanah tersebut terbiar tanpa penyelenggaraan dan dipenuhi dengan semak samun serta menjadi lokasi pencerobohan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ia juga menjadi tempat pembiakan nyamuk berisiko membawa penyakit berbahaya, kehadiran ular berbisa yang telah beberapa kali masuk kawasan sekolah sewaktu pembelajaran sedang berjalan.

Syn Tze yang telah beberapa kali turun padang ke lokasi sekolah tersebut berkata kelulusan peruntukan ini begitu penting dan telah turun padang pada 9 Ogos 2025 bersama wakil Jabatan landskap dan Jabatan Kejuruteraan MBSP melawat tapak berkenaan bagi meneliti skop pembersihan dan penyelenggaraan yang telah ditetapkan JPNPP tanpa menjejaskan kawasan kejiranan yang lain. - KitaReporters
