Insan & Komuniti 27 Dec, 2025

Opah Ngomel| Keselamatan Online! Labur RM100 dapat RM60k? Ini scam! Tapi semakin berleluasa! Kenapa?

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai Stringer Berita Harian, Wartawan Berita Harian, Penyunting Harian Metro, Group Editor Majalah IBUBAPA. Emel: [email protected]

Share this

DUDUK di rumah saja, kaut untung ribu-ribu sampai boleh dapat RM60k dengan hanya melabur cara "orang tengah" tolong anda. 

Ada pula yang iklan ha... anda labur saja RM100 dan boleh beli 100 unit saham di syarikat  itu, ini. Eh! betul ke ada cara mudah cari duit tu. 



Macam makan kacang saja ni kerja tak perlu keluarkan peluh, tak perlu buat apa-apapun. "Duit dan dividen datang "bergolek".

Ingat ya, mencari duit bukan semudah itu. Walaupun ada yang kata "main saham" ni satu kerja tengok dan tunggu harga naik baru jual. 

Jika anda ada pakar yang bertauliah mungkin betul. Tapi yang selalu berlaku semua tu lebih kepada taktik terbaharu yang diberitahu oleh trader @ pedagang pelaburan "mencari mangsa" yang buta bab pelaburan saham.

Kononnya melabur dalam syarikat tertentu termasuk pelaburan dalam talian, saham kripto atau peluang syarikat baharu menawarkan saham serta forex.

Terbaharu pada 12 November 2025, Berita Harian.com.my yang memetik berita agensi BERNAMA, seorang lelaki rugi RM2.2 juta akibat terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Dah bukan RM2 juta lagi, malah ada yang sanggup serahkan duit RM6 juta. Dah macam kena pukaulah pulak. 

Hendak tuntut balik pelaburan dengan "dividen" itu mungkin tinggal mimpi sedih sajalah.



Berdasarkan catatan Laman Majlis Keselamatan Negara pada 26 September 2024, Sejak Januari hingga 22 September 2024, kerugian akibat jenayah komersial, termasuk penipuan dalam talian, telah mencecah RM1.78 bilion. 

Ini bermakna para scammer berjaya mengaut lebih dari RM6 juta sehari, yang merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Jumlah yang begitu besar ini digambarkan secara perbandingan, menunjukkan bahawa kerugian ini cukup untuk membeli 118 juta ekor ayam segar atau 445,500 unit iPhone 16. 

Bahkan, ia hampir menyamai Bajet Negeri Johor bagi tahun 2024, iaitu RM1.79 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dipetik berkata aplikasi Telegram telah mencatatkan jumlah kes penipuan pelaburan paling tinggi dengan 1,455 kes, diikuti Facebook dengan 1,035 kes, dan WhatsApp dengan 958 kes.

Astro Awani memetik laporan polis 10 Januari 2025 lalu, jumlah kerugian akibat pelbagai kesalahan jenayah komersial sepanjang tahun lepas (2024) mencecah RM3.11 bilion dengan 41,701 kertas siasatan dibuka.

Jenayah penipuan merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 73,240 kes melibatkan kerugian lebih RM2.45 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kes penipuan dalam talian mencatatkan 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion.



Fenomena ini menunjukkan betapa seriusnya masalah jenayah siber di Malaysia, terutama melalui platform media sosial, yang kini menjadi alat utama bagi scammer untuk menipu mangsa. 

Masyarakat diingatkan untuk lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap penipuan ini yang semakin berleluasa.

Itu cerita yang daripada report polis, belum lagi cerita pesara dan "orang kampung" yang dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda "lumayan" berdasarkan jumlah pelaburan dan akhirnya mangsa menggigit jari, manakala dalang yang menjadi ketua, berdesup ghaib macam "dibawa angin".

Teman semua, saya hendak peringatkan, tolonglah ambil perhatian serius ya, terutama golongan warga emas. Sebelum melabur, buat kajian atau kaji selidik ya.

Janganlah mudah tertarik dengan iklan mudah cepat kaya ini. Sebabnya bukan saja hati kita kecewa sebab kena tipu gitu saja walaupun RM100 itu tak banyak tetapi sakit lagi bila tahu wang itu hangus tanpa jejak.



Terkini dalam sehari dua ini, dalam media sosial yang Opah tengok dan sangat risau bila lambakan iklan menggalakkan orang ramai melabur terutama golongan pencen atau pesara serta suri rumah, mengaut dengan goyang kaki tanpa buat apa-apa kerja.

Iklan "mengarut" yang cuba memikat hati mangsa itu termasuklah dengan mereka memberitahu ada doktor, pegawai tinggi kerajaan, guru dan kakitangan kerajaan lain sanggup berhenti kerja duduk goyang kaki dan dapat untung ribuan ringgit.

Malah ada yang beritahu mereka dapat untung sehingga RM60,000. Tak pula diberitahu jumlah mereka melabur.

Malah ada tu seorang trader kelihatan seperti seorang "ustazah" bergaya di depan kereta mewah dengan "megahnya" bercerita keuntungan demi keuntungan yang dijangka walaupun mula pelaburan dengan tidak sampai seratus ringgit.

Lagi berani ada pihak yang siap menyiarkan bank harimau islam (Islam itu bermula dengan hurut besar I) menawarkan macam-macam keuntungan dengan pelaburan bermula RM300 saja. 



Tidak kurang juga ada yang iklankan dengan RM100 saja boleh beli 100 saham kompeni. 

Weh, setahu sayalah, satu saham bermula dengan RM1,000 walaupun ditunjukkan angka 1.  Kecualilah skim Amanah Saham Nasional (ASB) yang boleh melabur serendah RM10 atau RM50.

Opah pernah pergi ke syarikat pelaburan menelan duit jutaan ringgit. Mereka menarik pelaburan luar negara dan pemegang saham ini dibawa ke negara ini menghadiri seminar, percutian dan hiburan percuma. 

Nasib baik Opah tidak ada wang yang banyak untuk pelaburan itu. Kalau tidak  menyesal sampai ketua, duit hangus "tokeynya" lesap lari ke luar negara. 

Ada satu cerita tu, orang menjual rumah dan tanah untuk melaburkan kononnya untung berjuta dan menjanjikan percutian, tunai umrah malah dijanjikan dengan "jawatan tertinggi " dalam syarikat pelaburan, berdasarkan pencapaian mereka mencari ahli dan jumlah saham yang dijual. 

Akhirnya, rumah yang terletak di kawasan mewah terjual dan dia yang dulunya agak kaya juga terpaksa menyewa sehingga menghembuskan nafas terakhirnya. Hartanah dia tidak digantikan. Nasi menjadi bubur nasib baiklah ada anak-anak membantu.




Jika mahu melabur belajarlah dulu asas pelaburan. Berdasarkan pengalaman Opah, dulu ada syarikat pelaburan sah berdaftar dan ada pejabat. 

Pekerjanya mahir dalam bidang pelaburan malah pelabur dibawa ke pusat jual-beli saham dan mereka "belajar" naik turun saham sebelum membelanjakan wang pencen atau simpanan.

Anak-anak kena ambil tahu keadaan ibu bapa mereka di kampung. Pastikanlah pencen dan kebajikan ibu bapa tidak dibiarkan tanpa ada orang menguruskannya. 

Kena bagi tahu ibu bapa jangan tandatangani sebarang dokumen atau mudah terpedaya dengan orang yang datang membantu mengisi borang bantuan kerajaan.

Kalau anda ada ratusan ribu atau jutaan simpanan. Mudah saja, melabur saja dalam ASB atau beli hartanah, ketulan emas (jangan labur dalam emas alam maya) atau masukkan dalam EPF dan keluarkan dalam bentuk pencen bulanan.

Jangan tamak sangat. Hidup selepas umur 55 tahun tidak ada banyak keperluan yang kita kena ada berbanding masa bekerja dan membesarkan anak-anak. 

Rumah sudah habis bayar, kereta yang sederhana, makan pun kita terpaksa kawal kena "jaga" kesihatan dan nikmatilah hidup seumpama orang yang sederhana.

Ada wang ratusan ribu itu untuk memastikan kita tidak membebankan anak-anak dan ingatkan ibu bapa yang tidak banyak wang selalunya lagak seperti "pengemis" mengharapkan duit bantuan daripada anak-anak. - KitaReporters


 

14
13
0
11
0
You will be interested