Insan & Komuniti 21 Apr, 2023

Terima kasih Ansara Malaysia, IR Malaysia! Bantu ringankan beban pelajar, keluarga sempena Aidilfitri!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Serahan simbolik replika cek bagi Projek Bantuan Raya yang disampaikan oleh Presiden Ansara Malaysia, Mohd Fadzli Yusof (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood (kanan) kepada Pengetua MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor, Hazlina Jaafar


Seramai 100 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) daripada keluarga B40 menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas sumbangan wang tunai yang diterima menerusi Projek Bantuan Raya tajaan Ansara Malaysia dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia).

Pelajar terpilih terdiri daripada pelajar MRSM Bentong, Pahang; MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor; MRSM Kuching, Sarawak; dan MRSM Kota Kinabalu, Sabah.


Sebahagian daripada penerima manfaat Projek Bantuan Raya daripada pelajar MRSM Bentong, Pahang bersama wakil Persatuan Ansara Malaysia, pengetua dan guru-guru MRSM serta wakil kakitangan IR Malaysia. 


Pengetua Sekolah MRSM Bentong, Ariffin Sulaiman berkata, pemilihan pelajar yang menerima sumbangan adalah berdasarkan pendapatan ibu bapa dan bilangan tanggungan keluarga mereka. 

Selain itu, pelajar terpilih juga merupakan antara pelajar yang tersenarai dalam penerima bantuan Program Budi Mara. 

“Pihak sekolah turut mengambil kira prestasi akademik dan keterlibatan pelajar yang aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan pihak sekolah sebagai salah satu kriteria pemilihan.

“Jadi, program ini dilihat dapat menjadi serampang dua mata di mana ia bukan sahaja meringankan beban keluarga pelajar untuk menyediakan kelengkapan Aidilfitri, malah turut menjadi faktor penggalak untuk mereka terus belajar bersungguh-sungguh bagi mengejar cita-cita seterusnya membantu keluarga keluar dari kesusahan yang dialami,” jelas Ariffin.


Serahan sumbangan wang tunai Projek Bantuan Raya yang disampaikan oleh Ariffin Sulaiman kepada salah seorang pelajar.


Bagi pihak Ansara Malaysia pula, program bantuan raya ini selari dengan objektif mereka untuk kembali menyumbang dan membantu institusi pendidikan yang pernah mendidik mereka sehingga berjaya ke hari ini, seterusnya menjadi model contoh kepada para pelajar untuk peka dan cakna terhadap golongan memerlukan apabila dewasa kelak. 

“Sebenarnya ini bukan projek kebajikan pertama yang kami lakukan. Sebelum ini kami banyak menjalankan kerja kebajikan dan kesukarelawanan mengikut cawangan masing-masing.

“Tahun ini (2023), Ansara Malaysia dengan usaha sama Islamic Relief Malaysia ingin memperkukuh lagi gerak kerja kebajikan kami dengan menjalankannya secara menyeluruh, di mana kutipan sumbangan dijalankan dalam kalangan alumni Ansara dan juga dibuka kepada orang ramai.

“Pada awalnya, kami menyasarkan kutipan dana RM20,000 sahaja, namun atas sambutan menggalakkan kami berjaya mengumpul lebih RM30,000 dalam tempoh kurang daripada sebulan. 

“Jadi, hasil kutipan kami telah berikan kepada para pelajar MRSM terpilih, dan sebahagiannya lagi kami telah salurkan kepada Islamic Relief Malaysia bagi menyokong kempen Rezeki Ramadan yang akan memberi manfaat kepada penerima di 11 buah negara antaranya Malaysia, Syria, Palestin dan lain-lain,” kata Imelda Harris, Naib Presiden Persatuan Ansara Malaysia.


Imelda Harris, Naib Presiden Persatuan Ansara Malaysia bersama Izzah Nabihah Sazahly, pelajar MRSM Bentong, Pahang semasa menyerahkan sumbangan wang tunai Projek Bantuan Raya.


Para pelajar yang ditemui ketika sesi agihan sumbangan, rata-rata menzahirkan rasa syukur dan terharu atas sumbangan yang diterima. 

“Ibu dan ayah saya tidak bekerja kerana faktor usia dan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan. Kami sekeluarga hanya bergantung hidup dengan wang simpanan ayah. 

"Sewaktu cikgu maklumkan saya terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan Projek Bantuan Raya ini, saya rasa terkejut dan terharu. 

“Saya akan serahkan bantuan ini kepada ibu dan ayah saya untuk mereka gunakan bagi membeli keperluan hari raya. 

"Sumbangan ini sangat bermakna untuk saya dan keluarga saya. Terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang membantu kami,” kata Izzah Nabihah Sazahly, pelajar MRSM Bentong.

Semoga kolaborasi antara Ansara Malaysia, IR Malaysia dan juga institusi pendidikan MRSM akan terus berpanjangan di masa hadapan agar lebih ramai golongan sasaran dapat dibantu. - KitaReporters/Kenyataan Media


Sharmiza Husin, Pengurus Kanan Bahagian Penjanaan Dana, IR Malaysia menyerahkan sumbangan wang tunai Projek Bantuan Raya sambil bertanyakan khabar ahli keluarga pelajar.

10
12
0
6
0
You will be interested