Insan & Komuniti 01 Apr, 2023

Syabas Aman Palestin! Ramadan Bersamamu Yaman! Santuni pelarian, fakir miskin! Agih bantuan AS$100k!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Muhd Farhan Muhd Fadhil (tengah) bersama dua rakan dalam Misi Ramadan Bersamamu Yaman 2023 di Yaman. - Facebook Aman Palestin.



Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi menjejakkan kaki ke bumi Yaman (Yemen) bagi menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada saudara-saudara Islam yang memerlukan makanan, minuman, pakaian dan lain-lain dalam Misi Ramadan Bersamamu Yaman 2023.

Misi singkat selama 10 hari merupakan kali ketiga buat sukarelawan Aman Palestin  untuk berada di bumi Anbiya itu.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil serta dua rakan akan mengagihkan bantuan sebanyak AS$100,000 (RM450,000) kepada hampir 8,200 keluarga pelarian dalaman (IDP) dan fakir miskin di Ma'rib dan Wadi Hadramawt.


Pelarian dari kem Alwadii begitu gembira mendapatkan bantuan makanan seperti gandum, gula, beras dan kekacang serta pakaian Aidilfitri daripada Aman Palestin. - Facebook Muhd Farhan. 


Sebanyak 2.3 juta pelarian kini menetap di 105 buah kem, termasuk pelarian Palestin, berbanding 700,000 penduduk asal wilayah Ma'rib.

"Antara bantuan yang akan disalurkan dalam misi kali ini adalah makanan berbuka puasa; sumbangan bakul Ramadan yang terdiri daripada gandum, gula, beras, kurma dan kekacang serta pakaian Aidilfitri kepada pelarian di Ma'rib dan fakir miskin di Wadi Hadramawt”, kata Muhd Farhan.

Tambah beliau, misi Aman Palestin kali ini dijangka menyantuni mereka (pelarian) di kem pelarian Swaidaa, Alwadii, Mattar, Alrwadhah, Jufainah, Hadint dan kem Aman Palestin.

Mereka perlu menempuh perjalanan yang agak jauh iaitu kira-kira 475 kilometer dan mengambil masa lebih enam jam untuk tiba ke Ma'rib. Di samping itu, mereka juga terpaksa merentasi kawasan padang pasir dan berdepan dengan beberapa pos tentera dikawal ketat oleh tentera Yaman.


Muhd Farhan (tiga dari kiri) menghulurkan bantuan makanan kepada salah seorang pelarian yang kudung kaki kiri di Kem Al-Kuwait, Ma'rib. - Facebook Aman Palestin.


Kronologi Misi Ramadan Bersamamu Yaman 2023


21 Mac 2023:

Aman Palestin, seramai tiga orang sukarelawan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Yaman dalam Misi Ramadan Bersamamu Yaman 2023.

Misi diketuai oleh Pengurus Besar Pemasaran Aman PalestinMuhd Farhan Muhd Fadhil dan diiringi dua orang lagi peserta terdiri daripada seorang kakitangan Aman Palestin dan seorang pengamal media.

24 Mac 2023:

Aman Palestin membuat agihan bantuan juadah iftar di Kem Al-Kuwait, Ma'rib yang dihadiri 400 orang yang terlibat.

-  Aman Palestin turut ziarah dan menyantuni warga kem Jufainah, Ma'rib. Kem ini merupakan kem yang terbesar di Yaman dan menempatkan seramai 15,000 pelarian di sana.

25 Mac 2023:

Aman Palestin berkesempatan menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menyediakan hidangan juadah makanan panas dan minuman di Rumah Anak Yatim Al-Sahn membabitkan seramai 100 orang anak-anak yatim.

Usai berbuka puasa mereka melaksanakan solat isyak dan tarawih serta witir secara berjemaah. Ia secara tidak langsung memberikan peluang untuk mereka merasai suasana dan keberkatan bulan Ramadan bersama anak-anak yatim di sana (Yaman).

26 Mac 2023:

Aman Palestin menyerahkan 400 set bakul Ramadan kepada 400 keluarga pelarian yang berada  di Kem Aman Palestin serta kawasan sekitarnya. 


Sebahagian pelarian kanak-kanak Yaman menunjukkan wajah yang ceria ketika mereka menerima sumbangan berupa pakaian Aidilfitri daripada ustaz Muhd Farhan di Kem Al-Wadi. - Facebook Muhd Farhan. 


Yaman dilanda krisis kemanusiaan yang dahsyat di dunia sejak 2014 ketika menentang pemberontak Houti sehingga mengakibatkan ramai pelarian di negara itu dihimpit pelbagai masalah kehidupan seperti isu kebuluran, kesihatan, pendidikan dan politik.

Terdahulu, Muhd Farhan Muhd Fadhil, berkata Aman Palestin telah melancarkan kempen 'Ramadan Bersamamu' (1 Februari 2023) yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM12 juta bagi membantu warga di tiga buah negara iaitu Palestin, Syria dan Yaman.

Kempen kutipan dana tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 138,000 rakyat di negara terbabit. - KitaReporters


Majlis berbuka puasa di Rumah Anak Yatim Al-Sahn. - Facebook Aman Palestin. 


Sumber:

Facebook Aman Palestin Berhad

Facebook Muhd Farhan

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080538/sukarelawan-aman-palestin-santuni-pelarian-fakir-miskin-yaman?fbclid=IwAR3S50TksFPvfmlO8u3-Mqvow6JDfr7i_dfyniyInnlvWibVxiuAjgeSHWk

11
6
0
12
0
You will be interested