FAUZIAH Abdul Hamid sudah menghasilkan tujuh buah buku travelog yang merakamkam pengalaman percutiannya di luar negara.
MINATNYA terhadap bidang penulisan berputik sejak di bangku sekolah namun bakatnya hanya diasah dan terserlah pada usia 50-an. Begitupun, bagi Fauziah Abdul Hamid, 60, ia belum terlambat malah berasa lebih selesa untuk meneroka bidang berkenaan sekarang terutama selepas bersara sebagai guru pada 2019.
Fauziah berkata, selain mengisi waktu persaraan,
beliau kini boleh memberi tumpuan kepada kerier baharunya sebagai penulis tanpa
terikat dengan komitmen kerja.
Menceritakan minat serta pembabitannya dalam bidang penulisan, bekas guru mata pelajaran kimia itu berkata, beliau mengesan bakatnya sejak di bangku sekolah menengah apabila sering mendapat markah tinggi dalam subjek karangan dan esei.
FAUZIAH aktif sebagai penulis selepas bersara dari bidang perguruan pada 2019.
“Saya memang suka membaca karya sastera seperti novel dan cerpen terutama karangan (Datuk Seri) A Samad Said, (Allahyarham Datuk) Shahnon Ahmad, (Allahyarham) Azizi Abdullah dan Khadijah Hashim.
“Saya juga suka membaca bahan bacaan ilmiah berkaitan alam sekitar dan kehidupan masyarakat menerusi majalah seperti Dewan Masyarakat. Jadi, apabila topik-topik ini dipilih sebagai tajuk karangan dan esei, saya sering mendapat markah yang tinggi.
“Bertitik tolak dari situlah saya mengesan bakat dalam penulisan tapi ketika itu saya tidak pernah bercita-cita menjadi penulis sebaliknya sekadar sebagai hobi. Apatah lagi, tumpuan saya adalah terhadap pelajaran,” jelas Fauziah.
Penulis berasal dari Sungai Bakap, Seberang Perai
Selatan, Pulau Pinang ini memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian)
dalam bidang Kimia (major) dan Matematik (minor), seterusnya menjadi guru pada
1989.
Sepanjang bergelar pendidik selama 30 tahun, Fauziah
pernah ditugaskan di Sekolah Menengah Gajah Berang, Melaka; Sekolah Vokasional
Alor Gajah, Melaka; Sekolah Vokasional Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur; dan Kolej
Vokasional Kajang, Selangor.
Komitmen terhadap pengajian dan kemudiannya kerjaya, mengehadkan hobi Fauziah dalam penulisan walaupun minatnya tidak pernah padam. Apatah lagi selepas itu beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Pendidikan Pentadbiran di Universiti Putra Malaysia (UPM).
FAUZIAH memikiki ijazah sarjana pendidikan pentadbiran dari Universiti Putra Malaysia pada 2006.
Minat Fauziah terhadap penulisan kembali segar sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana pada 2006.
“Semasa belajar, banyak tugasan perlu disiapkan. Walaupun ia sedikit membebankan tapi saya seronok melakukan tugasan itu yang mana secara tidak langsung membabitkan saya kembali dengan bidang penulisan.
“Apabila menamatkan pengajian, saya berasa tidak
seronok, ‘kosong’ dan ‘kehilangan’ sesuatu kerana tidak menulis lagi. Jadi,
saya fikir, mengapa tidak saya terus menulis walaupun sekadar sebagai hobi.
“Kebetulan, saya dan suami (Dr Mohd Sah Basir, 62,
bekas pensyarah) dan anak tunggal kami, Saffura (23), gemar melancong. Setiap
tahun kami melancong ke luar negara sama ada ketika mengikut suami bertugas
atau bercuti. Saya fikir ada baiknya saya kongsikan pengalaman itu melalui
penulisan.
“Saya catat setiap detik perjalanan kami semasa
melancong dalam sebuah diari. Kemudian, saya kongsikan pula menerusi blog memoryziasaf.blogspot.com.
Saya dapati ramai yang suka membacanya dan memberi reaksi positif.
“Kemudian, tercetus pula idea untuk merakamkan semua pengalaman melancong itu dalam bentuk buku apatah lagi saya lihat tidak banyak buku berbentuk travelog diterbitkan di negara kita,” kata Fauziah.
FAUZIAH dan suami, Mohd Sah Basir menikmati musim salji di Jahorina, Bosnia-Herzegovina.
Maka, pada 2017, lahirlah buku sulung air tangan
Fauziah, ‘Travelog New Zealand: Syurga Di Wajah Queenstown’. Ia
disusuli dengan enam buah buku lagi iaitu ‘Travelog Arab Saudi: Winter
D’Riyadh’, ‘Travelog Tunisia: Semanis Kurma Deglet Nour’, ‘Travelog
Bosnia-Herzegovina: Memburu Salju di Langit Sarajevo’, ‘Travelog Eropah 1’,
‘Travelog Eropah 2’ dan yang terbaharu, ‘Autumn D’Hunza
Pakistan’.
Walaupun menghasilkan buku travelog memberi cabaran
berbeza dibandingkan dengan penerbitan buku berbentuk komersial seperti novel, namun Fauziah yang sudah melancong sebanyak 35 buah negara sejak 1992, akan
tetap terus menerokai genre tersebut sebagai menambah khazanah bacaan negara.
“Tidak ramai yang menulis travelog secara aktif kerana
pasarannya terhad berbanding buku komersial seperti novel. Tapi, saya akan
terus membina nama melalui penulisan travelog dan berharap suatu hari nanti, ia
akan menjadi salah satu bahan bacaan yang diminati.
“Malah, saya berbangga apabila dua buah buku saya
iaitu ‘Travelog Arab Saudi: Winter D’Riyadh’ dan ‘Travelog
Eropah 1’ dipilih menerima Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia
dan kini diedarkan ke perpustakaan desa seluruh negara,” katanya.
Terkini, Fauziah sedang tekun menulis sebuah lagi buku travelog yang menggabungkan pengalamannya bercuti di negara-negara Balkan dan Turkiye. Beliau berharap ia dapat disiapkan selewat-lewatnya bulan Mei 2025 nanti. - KitaReporters
TRAVELOG Autumn D'Hunza Pakistan, merupakan karya terbaharu Fauziah.