.
Setiap kali Penyampai Radio Zayan fm, Farhira berceloteh mengenai akan ketibaan Biduanita Datuk Yusni Hamid ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, mata tetamu jemputan sepintas kilat akan tertumpu ke pintu utama pusat jagaan berkenaan.
Walaupun sekadar menguarkan-urakan akan kehadiran biduanita itu dalam tempuh masa terdekat ia memberi gambaran seolah-olah yang hadir tidak sabar-sabar untuk menatap dan bersama-sama artis kesayangan mereka memeriahkan majlis berkenaan pada 20 April 2025.

Yusni Hamid menyampaikan lagunya menghiburkan tetamu membuatkan ramai berasa terpegun dengan kemerduan suaranya.
Apabila Farhira menjemput Yusni untuk ke pentas bagi mengalunkan beberapa lagu, tetamu pula berebut-rebut merakamkan biduanita itu dengan telefon bimbit masing-masing, manakala sebahagian lagi memandang sayu melihat artis veteran berkenaan yang terpaksa bertongkat dan dipimpin oleh rakan karibnya, Datin Noriani @ Ann untuk ke depan.
Sekalipun nama beliau cukup besar dalam industri seni
negara, memberi sumbangan dan jasa yang dicurahkan penyanyi bertaraf lagenda
dalam dunia hiburan tanah air itu tidak sedikit pun menunjukkan sikap meninggi
diri malah sentiasa melemparkan senyuman melayani karenah tetamu.
Ketika ditemui selepas mengalunkan beberapa lagu, Yusni menganggap dirinya belum bersara sepenuhnya dalam bidang nyanyian malah akan memenuhi setiap jemputan jika bersesuaian dengan masa, jarak dan keadaan kesihatan dirinya.

Peminat setia tidak melepaskan peluang bergambar bersama Yusni.
Beliau berkata, dalam usia yang sudah menghampiri 74 tahun
dia tidak segagah dahulu, malah akan sentiasa ditemani rakan karibnya Datin Ann
apabila memenuhi jemputan yang kebiasaannya lebih ke arah amal kebajikan serta
membantu mereka memerlukan bantuan serta sokongan.
Tambahnya, dia ketepikan anggapan sesetengah orang malah
berasa tenang, gembira dan terharu apabila dapat menyantuni warga emas,
keluarga miskin, asnaf dan anak yatim yang amat memerlukan bantuan serta
kerjasama bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Jelasnya, jika mereka itu memerlukan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas harian atau dana apabila kurang menarik perhatian orang ramai dan pihak terbabit dia akan berkongsi dengan rakan-rakan bagi menghulurkan bantuan.

Yusni (duduk kanan) merakamkan kenangan bersama-sama Sukarelawan Skuad Kasih FSSK UKM yang banyak membantu melancarkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025, PJMM.

Yusni (empat dari kiri) menyempurnakan hajat warga emas, Mazali @ Alias Abdul Rahim yang mahu meraikan sambutan hari lahir bersama beliau.
“Mereka yang kesempitan ini apabila dibantu tanda terima
kasih yang dizahirkan amat menyentuh hati apabila berkaca air mata tanda
kesyukuran membuatkan saya dan rakan-rakan berasa amat terkesan.
“Jika dahulu kehadiran saya di atas pentas menerima tepukan
gemuruh, jeritan namun keadaannya amat berbeza sekarang ini apabila disambut
dengan senyuman sayu dan tepukan lesu tetapi saya tetap berasa gembira dalam
sendu,” ujarnya yang kini bergiat aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
Hospital Kuala Lumpur.
Pada majlis itu Yusni urut memenuhi hajat seorang warga emas, Mazali @ Alias Abdul Rahim yang berusia 82 tahun ingin bersama beliau menyambut hari lahir.
Mazali pernah berlakon bersama-sama Seniman Agung Allahyarham P Ramlee dalam beberapa filem Melayu seperti Enam Jahanam, Ibu Mentuaku, Panglima Bujang Lapok dan sebagainya.

Mohd Sany Hamzan (tiga dari kiri) disantuni Mohiadin Bahado (kanan), Azman Rasman (dua dari kanan), Muhammad Syafiq Mohiadin (tiga dari kanan), dan Ustaz Alias Ahmad (kiri).
Yusni walaupun kelihatan letih namun tetap mesra dan betah melayan tetamu majlis berkenaan yang bertanya khabar dan merakam kenangan menerusi telefon bimbit.
Majlis yang menerima kehadiran lebih 1,000 tetamu itu turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan beberapa tetamu kehormat.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak menjayakan majlis berkenaan, khususnya penaja sumbangan pelbagai menu makanan serta sukarelawan dari Skuad Kasih Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24), Kelab Sukarelawan Kasih dan beberapa NGO.

Tetamu kehormat menerima cenderamata PJNH yang disampaikan Mohiadin (kiri) dan Azman.
Sementara itu, pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2025, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pula, lebih 500 tetamu hadir termasuk penduduk kampung sekitar, wakil pelbagai NGO yang berlangsung penuh meriah dengan dibantu 25 sukarelawan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai; dan KESUMA’24.
Pengerusinya, Mohiadin Bahado, berkata majlis itu bukan
setakat untuk mengeratkan ukhuwah dengan penduduk kampung yang banyak memberi
sokongan juga bagi menzahirkan terima kasih kepada penyumbang, dermawan serta NGO
kerana banyak membantu operasi pusat jagaan itu.
Menurutnya, majlis itu juga untuk membolehkan ahli keluarga
atau sanak saudara warga emas yang menghuni pusat berkenaan datang menjenguk
untuk bertanya khabar dalam suasana hari raya di samping menikmati pelbagai
juadah sumbangan atau ditaja pelbagai pihak.
“Inilah masa untuk mereka datang menziarah dengan duduk
berbincang pelbagai perkara jika perlu diselesaikan dan pihak pengurusan tidak
akan menganggu kerana warga emas itu amat merindui untuk berjumpa dengan ahli
keluarga,” ujarnya.
Majlis jamuan itu dimeriahkan dengan persembahan karaoke dalam kalangan warga emas, kumpulan nasyid Jalinan Kasih dari Kajang dan Nur Kasih dari Kelang.
Beberapa dermawan termasuk Muhamad Sukkri Ghazali dan NGO mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan kewangan. - KitaReporters
