
Liz Murray melalui kehidupan ranjau berduri sebelum berjaya mencipta nama sebagai pakar motivasi dan penulis terkenal.
LIZ MURRAY, nama penuh Elizabeth Murray, 45, berasal daripada keluarga susah. Dia melalui kehidupan masa kecil dalam sengsara. Rumah keluarga tidak tenteram, makanan tidak cukup. Persekitaran kotor, dikelilingi jual beli dadah dan penagih dadah.
Ibu
bapa Liz adalah penagih dadah. Mereka akhirnya mati kerana AIDS. Liz berusia 15
tahun ketika ibuya meninggal pada 1996. Ayahnya meninggal beberapa tahun kemudian
ketika Liz masih belajar di universiti.
Lahir pada 23 September 1980 di Bronx, New York, Liz hidup dalam serba kepayahan. Ibu bapanya berpisah pada 1994. Emaknya pindah tinggal dengan bapanya, membawa bersama adik perempuan Liz.
Waktu ini bapa Liz pula diusir dari apartment yang diduduki, lalu tinggal di rumah perlindungan. Keadaan ini memaksa Liz tinggal bersama ibu.
Liz sendiri pernah tinggal di rumah kebajikan pada usia 13 tahun. Selepas kematian ibu, Liz mengharungi hidup sengsara. Miskin, tiada tempat tinggal dan tiada duit, menjadikan Liz gelandangan. Tempat tidurnya di laluan kereta api bawah tanah (subway), perpustakaan dan kadang-kadang di tangga sekolah.

Selaku pakar motivasi, Liz Murray sering diundang mengadakan ceramah di merata tempat. Dalam foto ini dia menyampaikan ceramah di Universiti Harding, di Searcy, Arkansas, Amerika.
Namun
dalam keadaan demikian, dia berusaha membuat kerja rencam untuk mendapatkan
wang. Dia tetap bersekolah dan kemudian memasuki kolej. Liz merupakan pelajar
cemerlang dan teratas dalam kelasnya.
Kesusahan
hidup dan penderitaan tidak menghalang semangat menimba ilmu. Buku sentiasa
jadi teman, peperiksaan diduduki. Orang lain ulang kaji pelajaran di atas meja
dan kerusi, Liz mengulang kaji dalam tandas awam.
Ramai
kawan memandang rendah kepadanya dan menyifatkannya sebagai ‘budak tiada
masa hadapan’. Dia tidak rasa terhina dengan pandangan rendah kawan-kawan dan
gelaran yang mereka beri kepadanya.
Sebaliknya semua penghinaan itu dijadikan pembakar semangat untuk berjaya. Jauh di sudut hatinya dia berazam mahu mengubah hidup.
Azam yang terpahat dalam hati inilah yang tidak disedari rakan-rakan yang selalu menghina. Mereka tidak menduga dia akan bangkit suatu hari nanti.

Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat, sebuah universiti berprestij dan sukar dimasuki.
Ketika tiada siapa menjangka dia akan berjaya, ‘budak tiada masa hadapan’ ini menerima tawaran memasuki Universiti Harvard di Cambridge, Massachusetts, dengan biasiswa The New York Times.
Bayangkan kecemerlangan yang dicapai. Daripada gelandangan, ditawar ke sebuah universiti berperestij di Amerika, antara universiti yang paling sukar dimasuki.
Setelah berjaya memperoleh ijazah sarjana muda, Liz menyambung pengajian ke sebuah lagi universiti terkemuka di Amerika, Universiti Columbia untuk ijazah Sarjana. Semua dicapai kerana azam dan kepercayaan dia mampu mengubah perjalanan hidup. Jika tidak dipecah ruyung mana kan dapat sagunya.
Hari ini, Liz Murray menikmati kebahagiaan selepas penderitaan. Dia kini seorang penulis memoir dan pakar motivasi terkenal, memberi ceramah di merata tempat. Buku tulisannya jadi bestseller. Kawan-kawan yang pernah mentertawakan dahulu kini tunduk hormat.

Liz Murray menyampaikan ceramah di Universiti Utah di Salt Lake City, Utah.
Namun Liz tidak pernah lupa akar umbi dan kesusahan yang pernah ditempuh.
Kisah hidupnya difilemkan dengan judul ‘Homeless To Harvard: The Liz Murray Story’ (2003), sebagai pengiktirafan kepada susur galur hidupnya yang menempuh cabaran demi kejayaan.
Filem ini dibintangi Thora Birch dan Kelly Lynch, dengan Liz sendiri muncul sebagai pelakon jemputan, memegang peranan pekerja sosial. Filem ini pernah dicalonkan untuk Anugerah Emmy pada 2003.

Filem 'Homeless to Harvard' diinspirasikan daripada kehidupan Liz Murray. Filem ini dibintangi Thora Birch dan Kelly Lynch.
Memoir tulisan Liz berjudul ‘Breaking Night: A Memoir of Forgiveness, Survival, and My Journey from Homeless to Harvard’ yang diterbitkan pada 2010 muncul best seller.
Selain
itu dia menerima beberapa anugerah, termasuk Anugerah Chutzpah daripada personaliti
TV terkenal, Oprah Wifrey, pada 2004 sebagai penghargaan kepada susah payahnya
melalui liku sukar sebelum berjaya. Liz pernah muncul dalam program ‘The
Oprah Windfrey Show’, ‘The Ricki Lake Show’ dan program TV ‘ABC’s 20/20
Show’.
Dia
juga memperoleh Anugerah Christopher (2004), Angerah Women of Vision (2008) dan
Anugerah Alex (2011) untuk memoir tulisannya.
Kejayaan Liz Murray wajar jadi inspirasi untuk kita supaya tidak mudah putus asa dan bangkit berjaya walau dihimpit derita. Pedulikan ejekan dan pandangan rendah orang lain. Sebaliknya tanam tekad untuk cemerlang.
Zaman gelap dilalui bukan bermakna zaman cerah tidak boleh dicipta. - KitaReporters

Thora Birch dalam satu adegan filem 'Homeless to Harvard' berdasar kehidupan Liz Murray.