.
Pernah berdepan isu membabitkan rasa tidak puas hati kaum tertentu terhadap ceramahnya di Malaysia namun pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik tetap memilih tinggal di negara ini sehingga ke hari ini. Malah beliau yang menjadi penduduk tetap (PR) di Malaysia sejak 2012, masih berasa aman tinggal di Malaysia.
Diam tak diam sudah 17 tahun beliau menetap di Malaysia, datang berhijrah ke negara ini setelah berdepan cubaan demi cubaan untuk mendakwanya oleh pihak berkuasa di India, sehingga mengeluarkan permintaan ekstradisi daripada negara ini, menurut laporan media.

Memulakan video temu bual dengan memperkenal diri, menyentuh asal usul dan latar belakang kehidupan sendiri, Dr Richard Lee meluahkan rasa tidak sangka beliau, daripada dulunya orang susah dan biasa-biasa kini sering bepeluang menemu bual 'orang hebat hebat` termasuk Dr Zakir. - Kredit foto: Video dr. Richard Lee, MARS
Walau di mana Dr Zakir berceramah terutama membabit soal perbandingan agama, tidak dinafikan ada saja kumpulan yang tidak berpuas hati dan itu adalah perkara biasa, menurutnya.
Timbulnya beberapa isu dan dugaan, tidak mengalih tanggapan awal Dr Zakir bahawa Malaysia adalah negara Islam paling baik dan aman untuk didiami seorang Muslim sebagaimana pernah beliau nyatakan dulu.
Dr Zakir mengulangi pendirian itu dalam satu temu bual eksklusif bersama Dr Richard Lee, Youtuber dan podcaster mualaf dari Indonesia yang datang ke Malaysia memenuhi undangan khas pendakwah itu pada Jun 2025 ini.
Menjawab soalan Dr Richard Lee mengenai kenapa Malaysia jadi pilihan, kata Dr Zakir, "Saya rasa dalam kalangan semua negara dalam dunia hari ini, Malaysia adalah negara terbaik untuk didiami.
"Ia tidaklah sempurna 100 peratus, setiap negara ada kebaikan dan keburukannya. Namun dalam kalangan semua negara yang ada, menurut saya, Malaysia negara terbaik untuk didiami Muslim pada hari ini."

Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik. - Kredit Foto: YouTube dr. Richard Lee, MARS
Menurut Dr Zakir, ada beberapa ciri menjadikan Malaysia negara sempurna untuk umat Islam.
"Pertamanya, kita harus faham sebahagian besar negara Muslim dikawal negara bukan Islam. Hanya ada beberapa negara dalam dunia yang tidak dikawal negara bukan Islam. Malaysia adalah salah satu tidak dikawal oleh negara bukan Islam.
"Kedua, di Malaysia, Islam adalah agama persekutuan, dengan sekitar 63 peratus penduduknya adalah Muslim.
"Ketiga, Malaysia tidak berada dalam zon perang. Keempat, ekonomi Malaysia sangat baik. dan Kelima, kos sara hidup tidak tinggi seperti negara barat atau negara Arab," ujarnya.
Yang keenam kata pendakwah itu, dia mengagumi nilai Islam yang diterapkan di Malaysia, khususnya dalam sistem perbankan dan kewangan.
"Ada negara yang penduduk Muslim lebih tinggi (berbanding Malaysia), namun negaranya mengamalkan kefahaman sekular," ujar Dr Zakir lagi. Antara negara Islam lain yang disebutnya ialah Indonesia, Bangladesh dan India.

Beginilah pemandangan di luar apartmen tempat kami mengadakan pertemuan - Dr Richard Lee
Temu bual eksklusif Dr Richard Lee bersama Dr Zakir bagaimanapun lebih banyak berkisar mengenai diari atau jadual kehidupannya sebagai pendakwah.
Menariknya beliau ikhlas dan sungguh berterus-terang menjawab semua soalan biarpun terlalu peribadi termasuk berkait kegiatan ibadatnya dengan Tuhan. Apa yang penting, pendedahan itu sebaiknya diterima oleh kita semua sebagai satu inspirasi untuk menjadi Muslim yang lebih baik.
Apabila ditanya mengenai rutin kehidupan hariannya, Dr Zakir memulakan dengan kenyataan, hanya tidur 3.5 hingga 4 jam setiap hari, biarpun sebagai doktor beliau menegaskan seorang dewasa perlu tidur selama tujuh hingga sembilam jam sehari untuk berfungsi normal.
Tapi ada segelintir yang boleh tahan dengan hanya tidur 3 dan 4 jam sehari tanpa menjejaskan kesihatannya, dengan izin Allah.
Jadual kegiatannya bermula dengan bangun awal pagi solat tahjud diikuti solat fajar dan subuh sebelum memulakan kerjanya. "Lumrahnya saya mengambil masa kira kira lima jam atau 200 minit sehari termasuk meliputi ambik wuduk, solat wajib dan sunat serta perjalanan pergi balik ke masjid dan berdoa," jelasnya.

"So simple and humble!" Komen Dr Richard Lee terhadap suasana kediaman tempat mereka mengadakan temu bual. - Kredit foto: YouTube dr. Richard Lee MARS
Mengenai kegiatan dakwah dan perbelanjaan, Dr Zakir mengesahkan tak pernah guna wang sumbangan dakwah atau wang hasil dakwah untuk kegunaan peribadi. Hasil yang diperolehi memang banyak tetapi beliau serahkan kesemuanya untuk urusan kebajikan.
"Untuk kegunaan peribadi, saya guna wang hasil perniagaan sendiri. Saya ada beberapa perniagaan yang mana saya hanya beri buah fikirandan idea, selebihnya perniagaan itu `berjalan dengan sendiri`. Saya hanya peruntukan 2 jam sehari untuk urusan perniagaan.
"Perniagaan adalah kerja sampingan saya, manakala dakwah kerja sepenuh masa," lanjutnya, menjawab soalan Dr Richard Lee.
Soal penggunaan wang kedengarannya beliau sangat tegas dan tetap dengan prinsip iaitu tidak ambil sesen pun wang daripada hasil kerja dakwah. Bahkan wang sendiri daripada perniagaan juga disumbangkan, lebih daripada separuh jumlah hasil yang diperolehi.
"Saya pesan kepada anak saya, apa jua hasil yang diperoleh atas usaha sendiri termasuk perniagaan, beri sekurangnya 51 peratus untuk kebajikan. Untuk anak, saya pesan begitu kerana Allah menilai berapa peratus kita menyumbang untuk kebajikan dan bukannya berapa jumlah yang kita bagi.
"Jadi ikutlah kiraan peratus (lebih separuh daripada hasil), bukan ikut banyak mana kita nak tetapkan. Tapi saya sendiri beri lebih dari itu, jangan tanya berapa.
"Allah menilai berapa peratus kita menyumbang dan bukannya berapa jumlah," ulangnya yang mengaku dalam setahun hanya berada di Malaysia sekitar tiga bulan, selebihnya iaitu sembilan bulan lagi berada di merata negara negara lain untuk misi dakwahnya.

Dr Zakir Naik menjawab setiap soalan dengan telus dan ikhlas. - Kredit foto: YouTube Dr Richard Lee MARS
Menurut Dr Zakir lagi, "Malah saya juga tidak benar penganjur atau sesiapa yang menjemput saya membeli tiket untuk saya, saya beli tiket dengan wang saya sendiri. Bukan tak boleh ambil upah dari kerja dakwah atau salah orang belikan tiket tetapi sebab saya hendak (kumpul) lebih kebaikan (ganjaran).
"Jadi sebahagian besar wang beliau berikan untuk kerja kebajikan termasuk menolong kegiatan dakwah para dai."
Percaya atau tidak, purata perbelanjaan sebulan Dr Zakir, hanya RM500! Katanya, itu sudah cukup untuk sara hidup dan makan minum mereka berdua (bersama seorang isteri).
"Kami hidup cara sederhana bukan saja di sini (Malaysia), termasuk ketika di Bombay dahulu," jelas beliau.
Kenyataan itu membuat Dr Richard terpana, sejak awal sampai ke kediamannya lagi beliau terkesima dan hairan melihat kesederhaan, daripada jenis kediaman hinggalah kepada dalaman rumah keluarga pendakwah tersohor itu.
Mereka mengadakan temu bual di rumah anak Dr Zakir, namun pendakwah itu berkata, keadaan rumahnya juga sederhana seperti itu.
"So simple and humble," ulas Dr Richard yang teruja untuk menemui Dr Zakir lagi kerana pendakwah itu bakal mengadakan sesi ceramah di Indonesia pada bulan Jun 2025 ini. - KitaReporters

Inilah orang yang bertanggungjawab mengatur pertemuan saya dengan Dr Zakir Naik - Dr Dr Richard Lee (berkemeja putih) ketika di dalam lif untuk ke sesi temu bual.