Insan & Komuniti 18 Mar, 2025

Selamat datang ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak! Lancarkan perjalanan ke Pantai Timur!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TPBG) mula beroperasi 15 Mac 2025 sebagai hab pengangkutan ke Pantai Timur.


PERJALANAN bas dan pergerakan penumpang dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan sebaliknya kini lebih sistematik dan lancar, dengan beroperasnya Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (TPBG) selaku hab pengangkutan utama ke Pantai Timur.

Terminal tersebut memulakan operasi secara berperingkat-peringkat mulai 15 Mac 2025 dengan menurunkan penumpang dari Pantai Timur. Perkhidmatan mengambil penumpang ke destinasi masing-masing bermula pada 22 Mac ini. Terminal dijangka beroperasi sepenuhnya hujung Mac.


Operasi Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak bermula secara berperingkat-peringkat mulai 15 Mac 2025 dengan menurunkan penumpang dari Pantai Timur.


Terminal ini bukan sahaja menjadi pusat pengangutan bersepadu, tetapi dibina berkonsep pusat beli belah, menjadikannya tempat bersiar-siar, membeli belah dan menjamu selera di restoran atau kios.

Terdapat lebih 100 lot kedai dan premis makananan. Sehingga ini 103 kedai telah disewa, beberapa buah daripadanya telah dibuka. Dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri, keseluruhan pusat beli belah akan beroperasi sepenuhnya.


Premis makanan sudah ada yang dibuka bagi memenuhi keperluan pengguna Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak.


Kios niaga di Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak sudah beroperasi menunggu pelanggan.


Terminal yang terletak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati, memberi manfaat besar kepada penumpang bas ekspres ke Pantai Timur dan sebaliknya, khususnya dari kawasan Gombak.

Selama ini terminal utama ialah Terminal Bersepadu Tasik Selatan (TBS). Penumpang boleh menaiki bas ke Pantai Timur melalui TBS. Juga boleh turun dari Pantai Timur di TBS sebelum mengambil pengangkutan lain menuju Gombak.

Namun ramai penumpang dari Gombak lebih suka menunggu ketibaan bas dari TBS di ‘perhentian’ tepi jalan di Greenwood, Gombak. Begitu juga ada penumpang lebih suka turun di tepi MRR2 berhampiran Geenwood sebelum bas bergerak ke TBS.

Sudah tentu tidak selesa menunggu atau turun bas di tepi jalan. Namun itulah situasinya selama ini. Perjalanan bas ke Pantai Timur pada waktu malam, dan bas tiba dari sana awal pagi. Agak merisaukan dari aspek keselamatan.


Papan tanda panduan arah elektronik disediakan di Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak memudahkan pengunjung menuju destinasi.


Dengan beroperasinya TPBG, selamat tinggal ‘perhentian’ tidak rasmi di tepi jalan. Sebaliknya penumpang akan lebih selesa naik da turun bas dalam terminal tersergam hebat. Keselamatan juga lebih terjamin.

Apabila beroperasi sepenuhnya hujung Mac, TPBS dijangka mampu mengurangkan kesesakan di TBS. Pengoperasian TPBG kena pada masanya, bertepatan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kerana TPBG ini merangkumi terminal dan tempat beli belah yang lengkap degan tempat menjamu selera, ia bakal jadi tarikan baharu untuk orang ramai bersantai, membeli belah dan menjamu selera.

Sejajar hasrat menjadikan TPBG terminal serba efisen, ia dilengkapi pelbagai kemudahan moden dan terkini. Berada di dalam terminal seolah-olah berada dalam terminal lapangan terbang.


Laluan berlepas elektronik di Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak.


Ruang menunggu yag cantik selesa untuk pengunjung.


Antara kemudahan ialah paparan papan elektronik waktu pelepasan dan ketibaan, papan tanda arah berlepas dan ketibaan, tempat menunggu yang luas dan cantik untuk keselesaan penumpang. Selain itu ada dewan serbaguna yang boleh disewa.

Pembelian tiket bas boleh dilakukan secara atas talian, selain kemudahan daftar masuk eletronik. Kemudahan untuk pengangkutan awam seperti teksi dan e-hailing juga ada di TPBG. Tidak ketinggalan, terdapat keemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

TPBG bakal muncul hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas,  Aliran Transit Ringan (LRT), juga dihubungkan dengan tren Projek Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link) atau ECRL apabila dijangka siap pada hujung tahun hadapan (2026).

Dengan pelbagai kemudahan ini, TPBG akan mewujudkan rangkaian pengangkutan bersepadu memudahkan perjalanan pengguna dari ibu kota ke Pantai Timur dan sebaliknya, menaiki bas atau ECRL kelak. - KitaReporters


Untuk kemudahan pengunjung, kaunter informasi disediakan di Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak. 

5
9
0
12
0
You will be interested