Insan & Komuniti 30 Jul, 2024

Video| Cari kelainan untuk majlis kahwin? Buat di Zoo Negara! Seperti perkahwinan 2 personaliti TV!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this



Setelah 94 tahun penubuhannya, pada Sabtu, 27 Julai 2024, Zoo Negara Malaysia mencatat sejarah dengan mengadakan majlis perkahwinan dua personaliti TV tanah air.

Perkahwinan tersebut adalah antara Otto Othman, 40, dari RTM dan Siti Khatijah Jaafar lebih dikenali sebagai Kathy, 39, dari TV3.

Langkah mengadakan majlis persandingan dalam Zoo Negara dicetuskan oleh Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana yang juga bapa angkat kepada pengantin wanita.


Otto menyarung cincin ke jari Kathy selepas sah menjadi suami isteri. - Kredit foto: Facebook zoonegaramalaysia

Majlis ijab kabul diadakan di salah satu premisnya, Dewan Tunku Abdul Rahman. Selepas itu pasangan pengantin ini dibawa ke beberapa bahagian zoo untuk bertemu dengan beberapa haiwan. 

Otto dan Kathy memang merupakan pencinta haiwan. Lebih unik, perarakan masuk pengantin turut diiringi 10 ekor burung upih sebagai pengiring pengantin (bridesmaid) memasuki dewan. 

Otto dan Kathy bergambar bersama sebahagian tetamu. - Kredit foto Facebook zoonegaramalaysia

Pengantin menerima beberapa tajaan. Antaranya set barangan kemas bertatahkan berlian dan batu permata eksklusif dari Habil Jewel. 

Sementara  Syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. pula menaja makanan untuk para tetamu berupa sajian mi goreng, cucur goreng dan kopi ais sebagai pelengkap hidangan majlis. 

Adabi juga memberi 450 kotak doorgift kepada para tetamu. Sementara Lokes Ice Cream Sdn. Bhd. juga menaja 500 batang aiskrim.





Otto dan Kathy melayani beberapa haiwan selepas sah diijab kabul. - Kredit foto: Facebook zoonegaramalaysia


Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Presiden Zoo Negara, Datuk Sr. Zaharin Md Arif; Ketua Pegawai Eksekutif Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Syed Mahadzir Syed Manshor; dan Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Mohamed Zaini Mazlan.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr. Syed Hussain Aljunid; dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian TV Media Prima, Nini Yusof serta pengurusan tertinggi Bilik Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3.


Otto keesokan harinya membaca Berita Perdana RTM jam 8 malam.

Otto yang bertugas secara kontrak dengan RTM sejak Mac 2021 adalah antara sebahagian yang mampu menyampai berita dalam dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Otto juga menjadi penyampai radio bahasa Inggeris, Traxx FM. Dia muncul dalam program The Morning Show dari jam 6 ke 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat. 

Sementara Kathy adalah wartawan yang juga ditugas sebagai penyampai berita.



Sebelum ini pada 8 April 2021, Zoo Negara pernah mengadakan majlis perkahwinan untuk kakitangannya di Dewan Tunku Abdul Rahman.  

Dalam penyiaran berita melalui laman sosial, Zoo Negara mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk mencipta memori perkahwinan di Zoo Negara bersama haiwan-haiwan.

Untuk tujuan itu boleh hubungi Jabatan Khidmat Pelanggan atau emel kepada [email protected] untuk sebarang maklumat lanjut tentang pakej perkahwinan di Zoo Negara. 

Ia adalah sebagai salah satu jalan untuk meningkatkan pendapatan dan memberi kelainan kepada pasangan pengantin baru.

Zoo Negara dibuka sejak 14 Januari 1930 terletak di Hulu Klang, Ampang, Selangor. - KitaReporters

10
12
0
9
0
You will be interested