DUNIA hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelawak berbadan besar Abam Bocey, 32, pagi tadi (Isnin, 10 Februari 2020) di rumahnya di Gombak, Selangor. : KitaReporters.com
Berita pemergian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar al-Juffrey Syed Mohd Redzuan diberitahu oleh adiknya, Ali kepada Berita Awani, Astro.
“Isteri Abam, hubungi saya dan beritahu abang saya tidak sedarkan diri.
“Saya bergegas kediaman Abam dan ya, dia sudah tidak bernafas,” katanya.
Isteri Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali turut mengesahkan perkara tersebut apabila dihubungi.
Hidayah memberitahu, Allahyarham ada mengadu demam dan berasa kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas, dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.“ katanya kerana arwah berkata, hanya demam dan sakit kepala biasa.
"Tapi... pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun tak ada tindak balas daripada dia,” tangisnya.
Kata Siti Norhidayah, dia kemudian mendapati suaminya sudah tidak bernyawa lagi.
Abam dan Siti Nurhidayah, seorang akauntan, berkahwin pada 8 Disember 2017 dan memperoleh anak lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, yang kini berusia 5 bulan.
Abam mula dikenali apabila menyertai program Maharaja Lawak di Astro Warna pada 2016 melalui kumpulan Bocey yang turut disertai Fad dan Acey.
Namun Abam tetap bergerak secara solo dan bentuk tubuh serta cara berlawaknya menarik perhatian ramai.
Abam sepatutnya menjayakan sebuah teater komedi seram bertajuk Korupsi Dewan Semandung di Istana Negara, Kuala Lumpur yang dijadual pada 28, 29 Februari 2020 dan 1 Mac 2020.
Tuhan Maha Pencipta mengambil Abam berpulang sebelum sempat menjayakan teater itu dan pergi selepas 10 hari sidang media di Istana Negara.
Dalam sidang media itu, Abam ada mengumumkan akan meminta isterinya berhenti daripada pekerjaan sebagai akauntan, sebaliknya mahu isterinya menguruskan anak, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia 5 bulan sepenuh masa.
Syed Uthman lahir pada 14 Jun 2019.
Secara lawak, Abam juga berharap untuk menimang cahaya mata kedua setelah isterinya berhenti kerja.
Kepergian tiba-tiba Abam Bocey mengejutkan sejumlah artis dan peminatnya.
Dua rakannya dalam kumpulan Bocey, Fad dan Acey menyampaikan belasungkawa mereka melalui Instagram.