Insan & Komuniti 17 Jul, 2020

Saya bukan malas! Pernah ditipu dalam bisnes - Khalid Jamlus

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mendedahkan dia pernah ditipu sehingga kerugian ribuan ringgit ketika cuba berjinak-jinak dengan perniagaan pengangkutan, beberapa tahun lalu. “Saya ditipu oleh orang yang saya percayai. Terus saya kecewa dan sebak mengenangkannya,” katanya dalam sebuah program sembang kelolaan sebuah media tempatan di Shah Alam, Selangor pada hari ini, Jumaat 17 Julai 2020. : KitaReporters

KHALID Jamlus (kanan) dalam program sembang santai secara langsung kelolaan sebuah media pada 17 Julai 2020. - Kredit foto ZZ


Pemain yang memulakan kariernya dengan Perak kemudian Selangor, Kelantan, Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 1996 hingga 2012 ini turut menegaskan, “saya bukan malaslah!” 

Penegasan itu seperti menjawab kritikan mereka yang sering menganggapnya tidak cuba berusaha mengubah nasib hidup selepas era bola sepaknya berakhir atau terlalu memilih kerja. 

Malah Khalid, 43, ketika masih bergelar pemain memberitahu, dia sempat merancang masa depan lebih awal dengan menceburi bidang perniagaan kedai makan

“Saya kini pun dalam perancangan untuk memulakan bisnes kambing perap selain masih menjual koleksi baju dan jersi legasi KJ25 (menerusi laman sosial) dan sebagai jurulatih sebuah kelab akar umbi,” katanya.

MENCURAHKAN ilmu, kepakaran dan pengalaman bola sepaknya kepada pemain-pemain akar umbi di Soccer Ace FC. - Kredit foto: FB KJ 25.


Khalid, baru-baru ini mendapat perhatian ramai termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menularkan kisah kesempitan hidupnya pada laman sosial sehingga sanggup untuk melelong Kasut Emas Liga Perdana 2002 miliknya.

Dia banyak menikmati kejayaan dengan membantu 'Sang Seladang' merangkul Piala Malaysia 1998 dan 2000, Liga Perdana 2002 dan 2003, Piala FA 2004 dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah 1999.

Dengan Selangor pula, Khalid muncul anggota skuad juara trebel 2005 (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana) selain menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan.

T

TROFI Anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2002 milik Khalid Jamlus yang sudah mendapat bidaan puluhan ribu ringgit. - Kredit foto: FB KJ 25 


Anak jati Ipoh, Perak ini tidak dapat mendedahkan apakah perancangan kementerian buatnya selepas mengadakan pertemuan di ibu pejabat kementerian di Putrajaya pada minggu lalu kerana perlu memberikan keutamaan kepada persekolahan anak-anaknya. 

“Dua anak saya mengikuti jejak sebagai pemain bola sepak tetapi hanya yang sulung, perempuan itu yang pernah terpilih dengan Projek Tunas Harapan di Melaka dan masih aktif,” kata bekas penolong jurulatih Sime Darby FC dan PDRM dengan memiliki Lesen B Kejurulatihan ini.

KESEMPITAN hidupnya mendapat perhatian Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) yang mengundangnya ke Menara KBS, minggu lalu untuk membantunya. - Kredit foto FB Wan Fayhsal.


Khalid pernah menyarung jersi skuad Olimpik 2000 selain skuad negara dari 1998 hingga 2005 sambil mengumpul 21 penampilan antarabangsa dengan kejayaan terbaiknya ialah meraih tempat ketiga Piala AFF 2004. 

“Saya pernah ditawarkan gaji sehingga RM12,500 oleh Kedah pada 2001 atau 2002 tetapi menolaknya untuk terus setia dengan Perak walaupun cuma dapat RM4,000 lebih ketika itu. 

“Saya rasa saya bukan mata duitan,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

ANTARA koleksi baju dan jersi lama Khalid Jamlus yang dijual menerusi laman sosialnya. - Kredit foto FB KJ 25.


Ditanya jika dapat mengundurkan masa dan membetulkan kesilapan silam, katanya, “saya mahu menjaringkan gol pada setiap peluang yang saya miliki dalam perlawanan. 

“Sebab dulu apabila saya gagal, seluruh stadium mengeboo saya sehingga melibatkan ibu bapa saya.”  - KitaReporters

MENGAKUI bergelut pada bulan pertama untuk melatih kanak-kanak dan hanya bulan kedua, dapat merasai keseronokannya. - Kredit foto FB KJ 25.

1
1
0
0
0
You will be interested