GAMBAR hiasan... proses pengurusan jenazah bagi mangsa Covid-19 semuanya diuruskan pihak hospital yang dikawal ketat sehingga ke liang lahad. - Kredit foto: covid-19.moh.gov.my/
IBU mana sanggup melihat anak yang dikandung selama ini ‘pergi’ dahulu meninggalkan dirinya sedangkan jika mengikut logik akal, si ibu dulu yang sepatut ‘pergi’ dulu tetapi inilah takdir kehidupan.
Kematian tidak pernah kenal usia, tiada syarat yang meletakkan yang lebih tua akan 'dijemput' dahulu namun itulah rahsia Allah, kita hanya merancang tetapi Dia yang menentukan segalanya!
Kisah sama turut berlaku kepada seorang ibu tua yang terlalu sedih melihat anak lelakinya yang menjadi ‘mangsa’ Covid-19 sehingga meragut nyawa.
Lagi cerita-cerita pilu berkaitan jenazah
Menerusi perkongsian seorang wanita dari Batu Rakit, Kuala Nerus di Kuala Terengganu @mis_nsha menerusi aplikasi TikTok miliknya yang berkongsi kesedihan keluarga terutama neneknya yang terpaksa reda melepaskan anak lelakinya kembali kepada Pencipta.
Menurut @mis_nsha bapa saudaranya itu menjadi mangsa Covid-19 dan semua urusan itu dikendalikan oleh pihak hospital dan jabatan kesihatan.
Menurut wanita itu, bapa saudaranya sudah lama tidak pulang ke kampung lebih daripada empat bulan kerana terhalang dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah sambutan Aidilfitiri terbaharu juga sunyi tanpa kehadirannya, namun hari ini kepulanganya ke kampung hanya diringi dengan jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.
Lebih menyayat hati, ibunya tidak dapat melihat secara dekat anak lelaki untuk kali terakhir kerana semuanya diuruskan dengan kawalan ketat.
Malah dalam perkongsian video itu kelihatan neneknya hanya melihat proses pengebumian anak lelaki kesayangan melalui celahan dinding tanah perkuburan sambil memegang sekaki payung melindungi daripada pancaran matahari.
Allahu sayunya….
Turut kelihatan saudara terdekat juga berdiri di tembok tanah perkuburan itu bagi melihat proses pengebumian dari kejauhan di sebalik tembok berkenaan.
Dalam proses berkenaan, pihak pengurusan jenazah juga turut membuat semburan sanitasi di bahagian perkuburan berkenaan selepas selesai urusan pengebumian berkenaan.
Lebih menyedihkan wanita itu berkongsi semua ibu saudaranya yang berada di luar Kuala Terengganu juga tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada bapa saudaranya berikutan kesukaran kebenaran rentas negeri sebaliknya hanya melihat menerusi panggilan video.
@mis-nsha juga turut berkongsi dia tidak sangka keluarganya ‘terpilih’ menjadi mangsa Covid-19 kerana selama ini hanya melihat dari kejauhan namun kali ini berlaku dalam keluarga terdekat iaitu bapa saudaranya yang sangat dia rapat.
Semoga Allahyarham bapa saudara tenang dan dipermudahkan di alam barzakh, salam takziah daripada kami team KitaReporters. - KitaReporters