Insan & Komuniti 12 Jan, 2021

Video| Kempen pascabanjir! Sahabat Jariah Malaysia rayu bantulah mangsa terjejas banjir besar

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

KEHIDUPAN mangsa pascabanjir di beberapa negeri pada tahun 2021 ini berada dalam keadaan tertekan. Selain kemusnahan dan kehilangan harta benda mereka juga terbeban disebabkan pandemik COVID-19 semakin meningkat serta membimbangkan pada gelombang ketiga ini. : KitaReporters


Team Sahabat Jariah Malaysia (kanan) menyampaikan sumbangan bagi pembelian tikar getah untuk Masjid Kampung Budu, Benta, Pahang yang turut terjejas semasa banjir di negeri itu. - Kredit foto: Sahabat Jariah Malaysia.


Antara longgokan barangan keperluan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat banjir di salah sebuah kampung di Daerah Lipis, Pahang. Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung penduduk terlibat agak besar nilainya.


Lagi kisah-kisah berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Sebagai salah sebuah badan NGO yang prihatin dengan masalah yang berlaku ke atas penduduk terlibat telah mendorong Sahabat Jariah Malaysia (JSM) turun meninjau ke beberapa buah kampung yang telah terjejas teruk akibat banjir besar di Pahang

Selain menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan asas serta peralatan lainnya, team pertubuhan ini juga turut melakukan kaji selidik tentang bahan-bahan keperluan seharian bagi penduduk di sekitar perkampungan dilawati.

Antara kampung-kampung yang sempat dikunjungi dalam misi team berkenaan pada siri jelajah tinjauan kesan banjir ke Daerah Raub, Lipis serta kawasan Karak dan Lancang pada Ahad, 10 Januari 2020  termasuklah Kampung Gali Tengah, Kampung Dong, Kampung Budu, Taman Teratai dan Kampung Melayu Benta.

Kampung-kampung berkenaan merupakan antara beberapa buah kampung yang dikategorikan sebagai kawasan teruk terkesan akibat banjir besar kali ini.



Beginilah keadaan salah sebuah kampung yang terjejas teruk akibat banjir di Pahang yang dikunjungi Sahabat Jariah Malaysia.


Para anggota team Sahabat Jariah Malaysia pada tinjuan tersebut turut menyantuni dan bertanyakan kepada penduduk yang ditemui mengenai keadaan banjir besar yang berlaku di kampung mereka di samping memberikan kata-kata semangat dan tabah menghadapi ujian berlaku.

Dalam kaji selidik yang dijalankan juga team Sahabat Jariah mendapati penduduk terlibat memerlukan sumbangan bantuan bahan-bahan keperluan lain untuk kegunaan harian mereka antaranya termasuk tikar plastik, tilam, bantal, selimut, dapur gas, tong gas dan penyapu.

Selain itu, keperluan-keperluan lain termasuklah sabun mandi, sabun basuh, pakaian dalam wanita, kain batik, kain pelekat, telekong, sejadah, selipar, makanan segera dan beberapa barangan lainnya yang agak mendesak bagi kegunaan penduduk terlibat.



Melalui video Sahabat Jariah Malaysia yang dipaparkan pada laman sosial pertubuhan itu memperlihatkan kemusnahan beberapa kawasan kediaman termasuk barangan kelengkapan dan peralatan rumah akibat fenomena banjir yang mencecah hingga paras bumbung.

Malahan ada antara premis kediaman ditenggelami air keseluruhan bahagian bangunan rumah.


Salah seorang anggota team Sahabat Jariah Malaysia (kiri) melambai ke arah seorang penduduk di salah sebuah kampung yang dikunjungi. Aras banjir di kampung tersebut agak tinggi  hingga mencecah ke bahagian tingkap di tingkat dua premis rumah berkenaan.


Sebahagian anggota team Sahabat Jariah Malaysia yang turut serta dalam misi jelajah kawasan terjejas banjir di Pahang yang meliputi Daerah Lipis dan Raub serta kawasan Karak dan Lancang.


Kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penduduk terlibat sudah tentulah jumlahnya agak besar dan membebankan. Untuk memulihkan kembali kehidupan harian mereka seperti sebelum ini tentulah perlu sokongan dan bantuan orang ramai.

Bagi tujuan ini, orang ramai bolehlah membantu penduduk terkesan melalui kempen pascabanjir yang dilancarkan oleh pertubuhan berkenaan dengan menyumbang dana atau barangan keperluan bagi membolehkan bantuan keperluan dapat disalurkan segera dalam usaha membantu  memulihkan kembali kehidupan harian penduduk terjejas.

Walau dalam apa juga keadaan misi bantuan kemanusian seperti ini perlu digerakkan tujuannya semata-mata untuk membantu penduduk terjejas berikutan bencana banjir yang berlaku sama ada melalui sumbangan dana, bantuan barangan keperluan asas, pemulihan dan pembersihan kawasan-kawasan terlibat supaya rakan-rakan kita dapat menjalani kehidupan harian seperti sebelumnya sekalipun dalam suasana sederhana.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Sahabat Jariah Malaysia melalui talian 016-2007999 atau email: luxjohan@gmail.com. Pertubuhan ini juga memerlukan individu yang berminat sebagai sukarelawan.

Antara barangan keperluan asas yang dibawa oleh team Sahabat Jariah Malaysia  untuk diagihkan kepada penduduk di kampung yang dikunjungi semasa misi jelajah kawasan terjejas banjir di Lipis dan Raub, Pahang.


Terdahulu pada Sabtu 9 Januari 2021, Sahabat Jariah Malaysia  dengan kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia turut menyumbang bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir baru-baru ini di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.

Sumbangan itu diserahkan oleh team Sahabat Jariah Malaysia kepada sebahagian penduduk terlibat di Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya Kuala Selangor.

Sebahagian 17 keluarga penduduk Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor mengalami bencana banjir berikutan hujan lebat yang berterusan beberapa hari hingga mengakibat paras air Sungai Selangor melempah hingga membanjiri sebahagian kawasan kampung berkenaan.

Penduduk yang terlibat banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bestari Jaya sebelum ini turut diberikan bantuan wang tunai dan barangan keperluan oleh Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan. - KitaReporters


 

Antara keluarga yang terlibat banjir di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor baru-baru ini menerima sumbangan daripada Sahabat Jariah Malaysia.


Salah seorang penduduk Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor (kanan) yang terlibat banjir baru-baru ini menerima sumbangan Sahabat Jariah Malaysia.

0
0
0
0
0
You will be interested