Insan & Komuniti 07 May, 2020

Bebas Covid-19! Tapi Salha meninggal dunia kerana komplikasi

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

PADA 23 April 2020, seminggu sebelum meninggal, beliau disahkan sudah bebas daripada jangkitan pandemik Covid-19. Suami, anak-anak, menantu dan cucu Salha Mesbee, 58, begitu gembira dengan berita tersebut dan mengharapkan beliau segera dibenarkan keluar dari Hospital Ng Teng Fong, Singapura, tempat beliau dirawat. KitaReporters

SAAT gembira Salha Mesbee bersama suami, Ali Buang ketika percutian di Turki merikan ulang tahun perkahwinan ke-38. - Kredit foto: Straits Times/ihsan Siti Noraisah Ali.


Namun ini tidak berlaku!! Harapan keluarga ditakdirkan Allah tidak menjadi kenyataan. 

Pada 30 April 2020, Salha meninggal dunia di hospital tersebut akibat komplikasi jangkitan Covid-19 yang telah menyerang dan merosakkan organ dalaman termasuk buah pinggang dan hati.

Memetik laporan The Straits Times Singapura, anak sulungnya, Siti Noraisah Ali, 37, memberitahu, para doktor mengesahkan otak ibunya telah mati dan hanya bergantung kepada bantuan alat pernafasan.

Menurutnya, ahli keluarga, terutama ayahnya, Ali Buang, 61, sangat sedih melihat keadaan ibunya. 

Mereka memutuskan biarlah ibunya pergi dengan tenang.

Pihak hospital kemudian membenarkan kaum keluarga membuat lawatan buat kali terakhir pada 30 April 2020

Mereka dibenarkan berada di sisi arwah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ng Teng Fong beberapa jam sebelum kematiannya.

Lebih kurang pada pukul 2 petang 30 April 2020, selepas kira-kira sebulan dirawat, alat bantuan pernafasan Salha dihentikan. 

Arwah telah kembali menemui Pencipta-Nya!!

ALLAHYARHAM Salha Mesbee meninggal akibat komplikasi Covid-19 di Singapura pada 30 April.-Kredit Straits Times/ ihsan Siti Noraisah Ali.


Menurut Siti Noraisah, ibunya dipercayai terkena jangkitan Covid-19 ketika melawat Turki bersama ayahnya sebagai meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-38 pada 16 Mac 2020. 

Mereka berada 10 hari di sana.

Namun sedihnya kegembiraan melancong ini bertukar kepada kedukaan. 

Sekembalinya pasangan ini ke Singapura pada 26 Mac 2020, Salha disahkan positif Covid-19. 

Beliau dimasukkan ke hospital dan kemudian dipindahkan ke ICU apabila menghadapi masalah kesukaran bernafas.

Siti Noraisah memberitahu, bapanya juga disahkan positif Covid-19 dan diarawat di hospital yang sama. 

Malah bapanya telah menunjukkan tanda-tanda awal iaitu demam panas sebelum pulang ke Singapura.

Dua orang anak pasagan ini yang masing-masing berusia 23 dan 32 tahun juga disahkan positif sekali pun tidak menyertai lawatan Ke Turki

Bagaimana pun bapa dan kedua-dua anak telah dibenarkan keluar hospital.

ALLAHYARHAM Salha dan suami bersama anak-anak, menantu dan cucu. - Kedit foto: Straits Times/ ihsan Siti Noraisah Ali.


Seminggu sebelum kematian ibunya, seorang doktor menelefon Siti Noraisah memaklumkan ibunya  telah bebas daripada jangkitan Covid-19.

Bagaimanpun katanya, serangan virus telah memberi kesan kepada organ dalaman ibunya.  

Doktor memberitahu, keadaan ibu sangat kritikal dan meminta keluarga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.  

Sehari sebelum kematian ibunya, doktor memaklumkan kepadanya mata ibuya sudah tidak memberi sebarang tindak balas kepada cahaya.

“Mereka membawa ibu menjalani ujian imbasan CT scan dan mendapati otak ibu sudah bengkak,” katanya kepada The Straits Times.

Apabila keadaan arwah semakin tenat, persiapan dibuat untuk membolehkan kaum keluarga melawat arwah. 

Kata Siti Noraisah, mungkin Allah mahukan mereka menatap wajah ibunya buat kali terakhir. Mereka sangat bersyukur kerana dapat menziarah arwah pada penghujung hayatnya.

SAAT gembira pasangan Salha dan Ali kini tinggal kenangan.-Kredit Straits Times/ ihsan Siti Noraisah Ali.


Beliau yang berniaga sendiri memberitahu, ibunya berusaha keras melawan Covid-19 dan menang. 

Namun kesan virus telah melemah dan merosakkan anggota badannya, terutama organ penting.

Siti Noraisah dan keluarga dibenarkan membawa pulang jenazah ibunya untuk urusan pengkebumian kerana arwah telah disahkan bebas Covid-19. 

Arwah telah dikebumikan pada 1 Mei 2020.

Allahyarham Salha meninggalkan suami, tiga orang anak dan lima orang cucu. Arwah sangat aktif dalam kegiatan masjid dan jawatankuasa kejiranan kawasannya. - KitaReporters

0
0
4
0
0
You will be interested