Insan & Komuniti 11 Feb, 2022

Wanita solehah wanita hebat! Tunjang keluarga bahagia! Peneguh jihad suami! Jadi dambaan dunia!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this
Ustazah Aisyah Jamilah (kanan) selaku ahli panel mengupas tentang peranan wanita dan isteri solehah dalam program yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan baru-baru ini. - Kredit foto: Kolej Islam As Sofa


“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” (Riwayat Muslim)

Apabila membicarakan tentang wanita, banyak sebenarnya kelebihan kaum Hawa yang dipandang tinggi dan mulia dalam Islam. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis di atas, ia menjadi bukti kedudukan wanita sangat dimuliakan di sisi syarak. Namun, dunia akhir zaman menyaksikan ramai wanita terpalit dengan fitnah yang mampu menyebabkan mereka dihumban ke neraka di akhirat kelak. Allahu Akbar. Nau’zubillahiminzalik.


Program Hi Tea Amal & Bual Bicara Muslimah ini dihadiri kira-kira 70 orang wanita.


Justeru, dalam usaha mendidik para wanita mengenai tanggungjawab mereka sebagai salah seorang khalifah di muka bumi ini, Kolej Islam As Sofa telah menganjurkan program Hi Tea Amal dan Bual Bicara Muslimah yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan pada 29 Januari 2022 lalu. 

Pengarah Akademik Kolej Islam As Sofa, Ustazah Aisyah Jamilah Mohsin berkata, program itu bertujuan untuk membincangkan tentang peranan wanita sebagai seorang isteri, ibu dan anak dalam pembentukan keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah.

“Sebagaimana kita sedia maklum, wanita merupakan tunjang dalam melahirkan sesebuah keluarga yang bahagia dan hidup dalam keadaan harmoni. Selain lelaki yang bertanggungjawab sebagai nakhoda dalam rumah tangga, wanita turut memainkan peranan penting dalam memastikan kehidupan berkeluarga aman sejahtera.

“Oleh sebab itu, majlis ini dianjurkan sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran kaum wanita atau Muslimah agar lebih memahami tanggungjawab mereka untuk bergelar wanita solehah dambaan dunia,” ujar Ustazah Aisyah Jamilah.


Majlis turut diserikan dengan bacaan qasidah oleh kumpulan pelajar Kolej Islam As Sofa.


Selain beliau, seorang lagi ahli panel dan moderator turut berkongsi pengalaman masing-masing sebagai seorang isteri berkerjaya, tetapi dalam masa yang sama tidak mengetepikan tanggungjawab mereka sebagai peneguh jihad suami.

Mereka ialah Ustazah Suria Saad yang merupakan Pegawai Penyelidik, Institut Imam Ahmad Ibn Idris dan Ustazah Amienah Ridzwan iaitu Ketua Jabatan Persijilan Kolej Islam As Sofa.

Menurut Ustazah Suria, hakikat perkahwinan dalam Islam adalah untuk meraih reda Allah semata-mata. Lantaran itu, para wanita yang bergelar isteri perlu bertindak bijak dalam menghadapi pelbagai kemelut alam rumah tangga.

“Wanita sering dikaitkan dengan permainan emosi melampau apabila berlakunya perbalahan dalam rumah tangga. Memang ini satu kebenaran yang sukar dinafikan kerana kelemahan wanita itu sendiri. Namun, kita tidak boleh menjadikannya alasan untuk terus melakukan kesilapan sekali gus mendapat dosa kerana bersikap derhaka terhadap suami. 

“Sebaliknya seorang isteri apabila teruji, mereka perlu lebih banyak bersabar kerana ia merupakan rahmat dari Allah agar kita lebih mencintai-Nya,” jelas beliau.


Ustazah Suria (tengah) mengupas persoalan bagaimana seseorang isteri itu perlu bertindak bijak mengawal emosi ketika berdepan ujian rumah tangga.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyelidikan Institut Imam Ahmad Ibn Idris, Ustazah Rozimah Dros turut berucap dan mengupas tentang persoalan ketaatan seorang isteri. Jelas beliau, ketaatan seorang isteri adalah kepada suaminya dan ia datang selepas ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

“Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, maka masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki. Subhanallah, nampak mudah laluan seorang isteri untuk ke syurga-Nya. Namun, hakikatnya untuk bergelar isteri solehah tidak mudah. Ia perlu kepada mujahadah yang tinggi kerana Allah. 

“Semoga kita sentiasa berusaha memperbaiki diri agar menjadi isteri solehah penyejuk hati suami pada saat susah dan senang. Paling utama, berdoalah pada Allah agar mengurniakan kita ketabahan apabila berdepan ujian dalam rumah tangga,” tuturnya.


Ustazah Rozimah menjelaskan perihal ketaatan seorang isteri kepada suaminya hadir selepas taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran dan persembahan selebriti jemputan, Datuk Nora Ariffin

Program tersebut dihadiri kira-kira 70 orang muslimat dengan sebahagian yuran penyertaan telah diinfaqkan kepada Maahad Tahfiz As Sofa Hulu Langat yang terjejas akibat banjir pada Disember 2021 lalu.

Memetik tafsir Imam Al-Qurthubi mengenai makna wanita solehah itu ialah: “Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat dan apabila ketiadaan suaminya, dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.” - KitaReporters


Selebriti jemputan, Datuk Nora menghiburkan peserta dengan lagu-lagu bersifat ketuhanan.

Barisan ahli panel bersama tetamu jemputan berharap majlis tersebut memberi manfaat buat para wanita yang menyertainya.

8
11
0
11
0
You will be interested