Ustazah Asma Harun (kiri) dan wanita yang menginfakkan gelas emas kesayangannya untuk kegiatan dakwah serta kebajikan NGO Sahabat Alam Care di Seremban, Negeri Sembilan. - Kredit foto: FB Ustazah Asma Harun.
KEIKHLASAN seorang wanita menginfakkan harta kesayangan untuk membantu kerja-kerja dakwah meninggalkan kesan mendalam hingga menitiskan air mata pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun pada pertemuan bersama wanita yang beliau sifatkan bersemangat kental dan tabah, pada pagi pertama Ramadan Al-Mubarak.
Malahan beliau yang juga pengasas dan penaung badan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Amal Care seolah-olah rasa hatinya tertampar dan terkesima berikutan kenyataan wanita itu bahawa harta yang diinfakkannya tersebut bukanlah yang mencukupkan keperluan dia dan anak-anak, tetapi Allah suka memberikan apa yang kita sayang.
Catatan ini terkandung dalam status Ustazah Asma Harun melalui laman sosial FB peribadi beliau yang menceritakan pertemuannya dengan seorang memang dikenali berstatus ibu tunggal pada pertemuan pada pagi Ramadan sewaktu dalam perjalanan ke pejabat, pada Selasa 13 April 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ustazah Asma Harun
Melalui wanita yang menginfakkan harta kesayangannya iaitu gelas emas, Ustazah Asma Harun (kiri) mendapat suatu pengajaran berharga.
Rakan berkenaan memang beliau kenali latar belakang kehidupannya dan sentiasa memberi sokongan serta membantu aktiviti dakwah yang dijalankan NGO naungannya hingga sanggup menginfakkan antara harta kesayangannya.
Memulakan ceritanya, menurut Ustazah Asma, pada awal pagi hari pertama Ramadan sewaktu dalam perjalanan ke pejabat dari jauh kelihatan seorang yang dikenali melambainya.
Dia merupakan seorang wanita ibu tunggal yang kuat semangat, suaminya pergi menghadap illahi ketika usia 30-an dan dalam usia semuda itu terlalu awal meninggalkan dia dan anak-anak masih kecil.
Beberapa ketika berbual wanita berkenaan seperti biasa bila berjumpa akan sebak dan menangis. Bagi Ustazah Asma, beliau memahami banyak beban yang ditanggung oleh wanita itu seorang diri membesarkan anak-anak dalam kehidupannya.
Tiba-tiba dia membuka gelang emas yang dipakainya dan terus menyerahkan ke tangan Ustazah. Beliau betul-betul nekad.
"Ustazah, ini gelang kesayangan, saya tiada simpanan tunai. Gelang ini biasa saya gadai bila memerlukan duit untuk membiayai anak belajar dan apa-apa keperluan lainnya," ujarnya.
Ustazah Asma menjadi bertambah berat untuk menerimanya bila wanita itu menyatakan demikian.
"Kak jangan begini, kami terima apa sahaja bentuk sumbangan walaupun kecil. Gelang ini sangat besar nilainya. Inikan untuk menampung keperluan akak dan anak-anak bila diperlukan," tambahnya.
Bagi wanita yang menginfakkan gelang emasnya untuk kegiatan dakwah dan kebajikan NGO Sahabat Amal Care, semoga wanita tersebut mendapat ganjaran lebih baik di dunia dan akhirat nanti.
Nilai gelang emas yang ingin diinfakkan bagi tujuan sumbangan dakwah oleh wanita berkenaan dalam lingkungan RM6,000 (beratnya 28.1 gram).
Ketika itu, Ustazah Asma betul-betul sudah mengalirkan air mata sebab mengetahui kisah kehidupan beliau yang bersusah payah untuk meneruskan kehidupan dan memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak.
Ustazah menangis bukan terharu mendapat infak gelang emas tetapi hati wanita itu yang luar biasa. Memberi bukan kerana dia berada tetapi disebabkan cinta kepada kerja-kerja dakwah.
Lebih-lebih lagi bila wanita berkenaan berkata, suatu yang terus membuat hati Ustazah Asma terkesan dan tertampar.
"Ustazah, tolonglah ambil, bukan gelang ini yang mencukupkan keperluan saya dan anak-anak , tapi Allah. Bukankah Allah suka kita beri apa yang kita sayang. Saya yakin Allah akan gantikan dengan sesuatu jauh lebih baik, cukuplah Allah jaga anak-anak saya dan hari pertama Ramadan ini jadi saksi, moga Allah terima pemberian saya ni," rayu wanita berkenaan.
Tindakan wanita bersemangat kental yang menyumbang gelang emas untuk kegiatan dakwah dan kebajikan NGO Sahabat Amal Care wajar menjadi tauladan kepada mereka yang ingin melihat aktiviti dakwah di negara berkembang maju.
"Ustazah, akak ikuti usaha dakwah dan kebajikan oleh team dan NGO Sahabat Amal Care, tapi tak boleh nak bersama turun padang. Moga sedikit infak boleh menjadi saksi sumbangan ke jalan dakwah dan kebajikan," pinta wanita itu.
Selepas itu, terus Ustazah Asma membacakan firman Allah S.W.T dalam Quran Surah Ali-Imran: Ayat 92 yang maksudnya: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi."
Ustazah Asma mengakhiri ceritanya, beliau dan wanita bersemangat kental itu sama-sama menangis pada pagi pertama Ramadan yang mulia dan seperti seolah-olah ditegur Allah S,W,T melalui insan istimewa ini untuk berikan suatu pengajaran berharga. - KitaReporters
Gelang emas yang diinfakkan oleh wanita berkenaan untuk NGO Sahabat Amal Care dibawah naungan Ustazah Asma Harun bagi kegiatan dakwah dan kebajikan berharga kira-kira RM6,000.